Apabila bencana seumpama ini berlaku, pastinya sedikit sebanyak mencalarkan imej dan mengundang persepsi negatif terhadap peranan badan-badan berkaitan pengurusan alam sekitar yang terlibat di negara ini. Antara persoalan yang pastinya timbul adalah membabitkan kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan pemantauan badan-badan alam sekitar terlibat.

Kejadian yang lepas usah dikenang, sebaliknya jadikan ia sebagai iktibar dan pedoman untuk kita memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan di pihak masing-masing ke arah yang lebih baik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah SWT; dan sesiapa yang beriman kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah At-Taghaabun, ayat 11).

Walaupun insiden ini mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia, namun setidak-tidaknya kejadian bencana yang berlaku ini menjadi wake-up call kepada semua pihak terlibat.

Rentetan daripada bencana Sungai Kim Kim juga telah membawa kepada pengumuman oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengumuman pemindaan akta ini perlu disambut baik semua pihak, dengan harapan akta baharu yang bakal digubal dapat menjadi senjata ampuh untuk membela nasib alam sekitar

Walau bagaimanapun, penggubalan akta baharu semata-mata bukan merupakan jaminan bahawa insiden ini tidak berulang sekiranya tidak disusuli dengan aspek penguatkuasaan mantap.

Badan-badan berkaitan alam sekitar terlibat perlu memperkasa aspek penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing-masing bagi mencegah insiden ini berulang.

Jabatan alam sekitar umpamanya perlu bersiap sedia dengan tenaga kerja yang mencukupi bagi memastikan pemantauan secara berkala yang lebih kerap dapat dilakukan. Ini bukan untuk mengelak tragedi sama berulang, sebaliknya bagi memastikan jenayah alam sekitar lain dapat dibendung.

Selain itu, pegawai penguatkuasaan yang terlibat juga perlu dipastikan dapat bertindak lebih cekap dan pantas terhadap laporan-laporan berkaitan jenayah alam sekitar diterima, serta melakukan pemeriksaan susulan agar tindakan segera yang sewajarnya dapat diambil.

Manakala, di peringkat orang awam pula mereka perlu diberi pendedahan untuk berani bertindak membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat perubahan-perubahan yang mencurigakan terhadap alam sekitar yang berlaku di sekeliling mereka.

Keprihatinan daripada orang awam juga penting dalam memastikan maklumat tepat berkaitan jenayah alam sekitar dapat disalur dengan kadar segera kepada pihak berwajib untuk tindakan susulan.

Dari segi aspek pengurusan bencana pula, insiden pencemaran Sungai Kim Kim dilihat memberi isyarat jelas bahawa prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu dinilai semula dan ditambah baik. Ini kerana, SOP yang ada kini hanya tertumpu kepada pengurusan bencana seperti banjir dan jerebu sahaja.

Ini bermakna, tanggungjawab besar perlu digalas oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menambahbaik SOP sedia ada dengan menambah satu lagi tumpuan iaitu penyelarasan pengurusan bencana akibat pencemaran kimia. Penambahbaikan SOP ini penting memandangkan negara kita masih belum ada SOP yang lengkap dalam menghadapi pencemaran kimia, biologi dan radiologi.

Malah, cadangan daripada pelbagai pihak agar NADMA menubuhkan satu majlis penasihat untuk menasihati kerajaan mengenai pengurusan kesan kimia, biologi dan radiologi juga dilihat sangat relevan, terutamanya bagi memastikan kerajaan lebih bersedia sekiranya insiden seumpama ini berulang.

Antara tujuan cadangan penubuhan majlis penasihat ini adalah bagi menyediakan pelan tindakan pengurusan bencana yang lengkap meliputi beberapa aspek seperti: i) persampelan; ii) ujian makmal; iii) mengenalpasti bahan pencemar yang terlibat; iv) pembersihan dan pengurusan sisa bahan pencemar; v) pemantauan kualiti alam sekitar secara berkala dan berterusan; dan vi) rawatan dan pengawasan perubatan kepada mangsa yang terdedah kepada pencemaran.

Dengan terhasilnya pelan pengurusan bencana yang komprehensif dan mantap kelak, pastinya dapat mempersiap siagakan negara untuk lebih cekap dan terkehadapan dalam aspek pengurusan bencana pada masa hadapan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM.