Pada ketika itu, kita dapat melihat bahawa peningkatan harga barang dikaitkan dengan peningkatan permintaan terhadap kebanyakan barang keperluan. Pada ketika itu, berlaku kenaikan gaji kakitangan kerajaan yang menyaksikan ada yang terus menukar kenderaan baharu dan da­ripada bermotosikal mampu membeli kereta.

Peningkatan harga barang turut berlaku pada ketika itu dan berlaku juga pada setiap kali pengumuman bonus pada hujung tahun. Ramai yang merungut ketika itu kerana dapat sahaja bonus, harga barang dan perkhidmatan naik. Malangnya, bagi mereka yang tidak bekerja dengan sektor awam dan swasta akan berasa tertekan dengan kenaikan ini.

Sehingga sekarang isu ini tidak pernah selesai. Walaupun pelbagai faktor dilihat sebagai penyebab kenaik­an harga barang seperti pertambahan penduduk yang membawa kepada permintaan tinggi, kekurangan bahan, perubahan cuaca dunia, kejatuhan nilai mata wang serta pelbagai kos yang tinggi seperti pengeluaran serta penghantaran, orang ramai tetap inginkan harga barang dan perkhidmatan yang murah dan sesuai dengan pendapatan mereka. Sedangkan faktor-faktor di atas menjadi penyebab berlakunya peningkatan harga barang dan kos sara hidup.

Selain itu, kenaikan harga petrol dan diesel di pasaran turut mempengaruhi kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Pada suatu ketika, pantang harga minyak naik walaupun 10 sen, pelbagai harga barang naik termasuk harga makanan dan minuman. Jika harga gula naik, selalunya harga minuman di restoran-restoran akan dinaikkan 10 atau 20 sen.

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 1 April 2015 menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat. Ramai yang menganggap cukai ini membebankan walaupun harga barang dikawal oleh kementerian. Malah, apabila harga barang di pasaran masih meningkat ketika pelaksanaan GST, orang ramai menyatakan rasa tidak puas hati sehingga ramai yang menganggap kejatuhan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berkait rapat dengan GST.

Kini apabila GST digantikan dengan SST, orang ramai bakal menunggu harga barang apa yang bakal dinaikkan dan apa yang tidak. SST masih di peringkat permulaan dan sesetengah premis perniagaan belum menaikkan harga barang kerana sedang dibuat pelarasan harga. Walaupun kerajaan sudah menetapkan apa barang yang dinaikkan harga dan apa yang tidak tetapi orang ramai mesti memahami bahawa faktor kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang disebutkan tadi berupaya mengubah harga barang, sama ada dinaikkan, dikekalkan atau diturunkan.

Usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup dan kenaikan harga barang bergantung kepada pengguna itu sendiri. Salah satunya ialah kesedaran terhadap isu-isu berkaitan kepenggunaan yang perlu ada dalam diri setiap pengguna.

Kunci utama ialah berjimat dalam soal perbelanjaan. Ketepikan barang-barang yang tidak diperlukan, kurangkan tabiat makan di luar bagi yang berkemampuan me­lakukannya dan pilih premis perniagaan yang mengadakan jualan murah dan tawaran potongan harga.

Walaupun semua memahami bahawa bukan mudah untuk berjimat dalam dunia yang serba mencabar ini, tetapi mencuba dan mempraktikkan lebih baik daripada membiarkannya menjadi satu persepsi negatif dalam jiwa kita.

Contohnya, jika kita mengetahui bahasa caj untuk kad prabayar akan dikenakan SST, berusahalah untuk me­ngurangkan panggilan WhatsApp, menggunakan facebook dan sebagainya yang boleh menyusutkan wang.

Jika kita mengetahui bahawa kedai-kedai makan minum menaikkan harga makanan dan minuman, kurangkan makan minum di luar, apatah lagi bagi mereka yang mampu menyediakan makan minum di rumah.

Kuasa ada di tangan kita!