Memang Ramadan datang setiap tahun. Namun, bukan semua kita direzekikan bertemu dengannya. Bagi yang dipanjangkan usia bertemu bulan mulia ini hendaklah kita merancang dan menyusun strategi supaya dapat memaksimumkan ibadat di dalamnya. Mereka yang berpuasa dengan ikhlas dan mengharapkan pengampunan Allah bergembiralah dengan janji Nabi SAW menerusi sabdanya yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa Ramadan karena iman dan mengharapkan pahala, diampuni dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Selain berpuasa, antara yang perlu kita perhebatkan dalam penghulu segala bulan ini adalah seperti berikut:

  • Membaca dan mentadabbur al-Quran. Antara keistimewaan Ramadan adalah diturunkan al-Quran di dalamnya sebagai petunjuk bagi manusia daripada kegelapan menuju cahaya. (rujuk ayat 185 al-Baqarah). Dengan Al-Quran ini, Allah memperlihatkan kepada mereka kebenaran (al-haq) dari kebatilan.

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan berusaha untuk khatam al-Quran di hadapan Jibril a.s sekali setahun. Daripada Abu Hurairah r.a ia berkata, “Jibril itu (saling) belajar al-Quran dengan Nabi SAW setiap tahun sekali (khatam). Ketika di tahun beliau wafat, dua kali khatam. Nabi SAW biasa pula beriktikaf setiap tahunnya selama 10 hari. Namun di tahun saat baginda akan meninggal dunia, beliau beriktikaf selama 20 hari.” (Riwayat Bukhari)

Tokoh ulama iaitu Muhammad bin Idris Asy-Syafie yang kita kenal sebagai Imam Syafie pula khatam al-Quran sebanyak 60 kali pada Ramadan. Berkata Al Humaidi: “Asy Syafie khatam al-Quran pada Ramadan dengan 60 kali khatam, tidak termasuk bacaannya dalam solat.” (Manaqib Asy Syafi’i 2/159)

Ibnu Abdul Hakam pula memberitahu tentang Imam Malik. Katanya: “Apabila masuk Ramadan, biasanya Imam Malik meninggalkan membaca hadis dan majlis-majlis ilmu untuk mengkhususkan diri membaca al-Quran dengan melihat mushaf. Katanya: “Ini bulan al- Quran, jadi tidak patut ada perkataan yang menyibukkan daripada al-Quran.”

  • Solat tarawih berjemaah. Ibadat ini hanya ada dalam Ramadan. Ia ditunaikan selepas umat Islam mengerjakan solat fardu isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Satu lagi kelebihan Ramadan adalah amalan sunat diberi ganjaran pahala ibadat fardu, yang fardu diberi ganjaran 70 kali ganda. Ini persis bonus oleh majikan kepada pekerjanya yang rajin, produktif dan istiqamah menjalankan tugas.
  • Banyak bersedekah. Rasulullah SAW adalah manusia paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan dalam bulan Ramadan. Sifat pemurah baginda ibarat kebaikan daripada angin yang berhembus dengan lembut. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan”. (Riwayat al-Tirmidzi)

Sedekah tidak semestinya sepinggan nasi campur. Bersedekah sebiji tamar dan segelas air pun sudah memadai. Apatah lagi jika kita mampu bersedekah memberi makan orang berbuka puasa, ganjarannya lebih hebat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang memberi makan orang berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang berpuasa tadi tanpa dikurangi pahalanya sedikit pun.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi)

  • Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

Matlamat puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi fokusnya adalah melemahkan nafsu yang keji dan seterusnya mendam­pingi Allah SWT. Oleh itu kita mesti mengawal diri daripada melakukan perkara keji semasa berpuasa. Memerangi nafsu dan berjuanglah menjaga semua disiplin dalam Ramadan selain makan, minum, seks, jagalah lidah, mata, telinga, anggota lain daripada perbuatan yang sia-sia. Sebab itu, Nabi SAW menasihatkan para pemuda yang tidak mampu berkahwin agar berpuasa untuk menghalang daripada syahwatnya.

Cabaran lebih hebat dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah mudahnya kita ‘terjebak’ dan ‘tewas’ kepada laman-laman sosial. Adalah penting untuk kita berusaha mencapai tahap puasa khusus bukannya hanya puasa orang awam. Bersedialah dengan fire wall terhadap kandungan-kandungan yang lagha dan mudah diakses menerusi telefon pintar masing-masing. Pendek kata, kurangkan ‘membawang’, banyakkan zikir dan istighfar.

Kata pepatah Arab: “Nafsumu jika engkau tidak menyibukkan­nya dengan kebenaran, nescaya dia akan menyibukkan dirimu dengan kebatilan.” Hendaklah kita sibukkan diri dengan program dan aktiviti yang bermanfaat. Masa yang terbiar kosong akan menggalakkan hawa nafsu menyibukkan dirinya dengan perkara yang melalaikan dan merosakkan. Akibat kejahatannya itu, ramai manusia yang diperdaya dan bertuhankan hawa nafsu.