Pameran antarabangsa yang berakhir 10 September lalu de­ngan penyertaan 115 negara itu ternyata berjaya mempromosi kerjasama dan perdagangan dalam pelbagai bidang termasuk tenaga hijau dengan Kazakhstan serta negara-negara lain.

Nilai pelaburan dan perdaga­ngan sebanyak RM1 bilion di­sasarkan diperoleh tetapi dengan komitmen diberikan, Ma­laysia berjaya mencatatkan potensi pe­­laburan kira-kira RM3 bili­on me­lalui 15 memo­randum per­se­fahaman (MoU) yang ditandata­ngani.

Menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, MoU yang ditandatangani itu antara lain meliputi kerjasama dalam bidang teknologi hijau, pendidikan, minyak dan gas, inovasi, air, air kumbahan dan keusahawanan.

“Walaupun masih di peringkat perbincangan, saya yakin dengan sokongan kerajaan dan syarikat-syarikat terlibat, MoU yang ditandatangani itu akan menjadi ke­nyataan,” katanya.

Ini turut dipersetujui oleh Duta Besar Malaysia ke Kazakh­s­tan, Syed Mohamad Bakri Syed Abd.Rahman.

Menurutnya, perdagangan an­tara Malaysia dan Kazakhstan diunjur terus berkembang pada tahun ini dengan dagangan dari Januari hingga Mei sebanyak AS$28.2 juta (RM118.4 juta).

Beliau menjangkakan jumlah dagangan bagi tahun ini lebih tinggi dari tahun lalu iaitu seba­nyak AS$49.2 juta (RM206.6 juta).

Eksport utama Malaysia ke Kazakhstan termasuklah produk berasaskan minyak sawit, makanan diproses dan barangan elektrik sementara import utama adalah barangan besi keluli dan produk mineral.

Syed Mohamad Bakri berkata, pada masa ini tidak banyak syarikat dari Kazakhstan yang me­labur dalam jumlah yang besar tetapi beliau percaya dengan inisiatif diberikan kerajaan dan promosi dilakukan, keadaan itu akan berubah.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) jelas beliau, menyediakan pelbagai insentif untuk menarik syarikat-syarikat Kazakhstan melabur di Malaysia.

Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh dikongsi dengan komuniti perdagangan dan pelaburan antaranya dalam sektor tenaga hijau, pendidikan tinggi, perbankan Islam, pelancongan serta minyak dan gas.

Selain ekspo, turut diadakan Forum Perniagaan Tenaga Malaysia-Kazakhstan yang disertai lebih 200 pengurusan dan peneraju perniagaan dari kedua-dua buah negara.

Malaysia dan Kazakshtan bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam merealisasikan komitmen melaksanakan pembangunan tenaga masa depan yang mampan selaras dengan tiga dapatan hasil perbincangan dalam forum itu.

Ia termasuklah memper­tingkatkan pelaksanaan pemba­ngunan tenaga masa depan yang mapan, sasaran penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 50 peratus menjelang 2050 dan teknologi tenaga hijau.

Sementara itu, menurut Pengarah Pavilion Malaysia, Michelle Lau Sook Yee, Pavilion Malaysia adalah antara yang paling aktif dengan pelbagai aktiviti dan dikunjungi ribuan pelawat setiap hari.

Pavilion Malaysia berkeluasan 727 meter persegi terletak dalam tapak ekspo seluas 25 hektar berkonsepkan futuristik itu dikunjungi lebih 600,000 pelawat me­ngatasi sasaran awal iaitu 200,000 pengunjung sepanjang tiga bulan penganjurannya.

Malah lebih membanggakan Pavilion Malaysia mendapat anugerah Sebutan Khas Interpretasi Terbaik Ekspo 2017 kategori tema oleh majalah berprestij Amerika Syarikat, Exhibitor Magazine.

Pavilion Malaysia juga menerima kunjungan lebih 20 juta orang menerusi perbualan Pertumbuhan Hijau #MyButterflyEffect.

Perbualan menerusi media sosial #MyButterflyEffect itu membolehkan pelbagai pihak berkongsi idea dan pandangan hasil daripada Ekspo 2017 kepada dunia.

Pameran dwitahunan yang ber­akhir 10 September lalu itu ternyata memberi banyak manfaat dalam memperkenalkan Malaysia kepada dunia. Dua tahun lagi Dubai menjadi lokasi pe­nganjuran ekspo berprestij ini.