TUN HUSSEIN ONN dengan serius menegaskan pendirian ASEAN dalam sengketa Vietnam - China. Di sebelah kanan beliau Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kiri, Tan Sri Ghazali Shafie pada 1979. ARKIB UTUSAN

Gelagat bekas Perdana Menteri itu seolah-olah suatu seni politik ‘sapu sahaja, janji boleh’ - yang setara dengan inti pemikiran politik Machiavelli yang berteraskan kekuasaan.

Ikuti babak-babak yang pernah dicetuskan Dr. Mahathir semasa beliau berurusan dalam parti dan kerajaan dalam 10 siri yang dilaporkan wartawan Utusan Malaysia, ZULKI FLI JALIL.
 

KETIKA baru mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn berhadapan isu Bank Rakyat dengan Datuk Harun Idris dipenjarakan. Semasa itu kelihatan Harun sepatutnya menjadi Presiden UMNO. Tetapi apabila Hussein mengambil alih pentadbiran pada 1970-an, Harun masuk penjara. 

Inilah cabaran yang diharungi Hussein yang mana seorang ­Ketua Pemuda UMNO Pusat dipenjarakan.

Sebelum itu pada 1975, Dr. Mahathir Mohamad bertanding untuk salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden UMNO. Pertandingan itu dianggap sebagai pertempuran untuk penggantian kepimpinan parti, dengan kedua-dua Tun Abdul Razak dan Hussein yang waktu itu timbalannya dalam keadaan kesihatan yang menurun.

Setiap calon pilihan Tun Abdul Razak telah dipilih iaitu ketiga-tiga Naib Presiden UMNO - bekas Ketua Menteri Melaka, Ghafar Baba; Tengku Razaleigh Hamzah, seorang ahli perniagaan kaya dan ahli keluarga diraja Kelantan dan Dr. Mahathir.

Dikatakan ketika itu timbul desakan terhadap Hussein yang diberikan kata dua jika beliau tidak memilih kalangan tiga Naib Presiden parti sebagai timbalannya. Timbalan Perdana Menteri mestilah datangnya tidak boleh selain dari tiga Naib Presiden UMNO.

Ini ekoran Hussein lebih cen­derung untuk memilih seseorang yang mempunyai kepakaran dalam dan luar negara, yakni Tan Sri Ghazali Shafie atau ‘King Ghaz’. Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia pada tahun berikutnya, Hussein sebagai penggantinya terpaksa memilih kalangan tiga naib presiden berkenaan.

Tetapi keputusan Hussein tidak mudah. Hussein dan Dr. Mahathir bukanlah sekutu rapat. Dan Hussein sedar dengan memilih Dr. Mahathir akan tidak menyenangkan Tunku Abdul Rahman yang waktu itu masih hidup dan dihormati sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia.

Selepas enam minggu tidak dapat membuat keputusan, ramai yang terkejut apabila Dr. Mahathir dilantik sebagai timbalan Hussein. Pelantikan itu bermakna Dr. Mahathir yang mana dalam kedudukan Naib Presiden berada di tangga ketiga adalah pengganti kepada Perdana Menteri.

Itulah dilema ‘memilih timbalan’ dihadapi Hussein dan akhirnya Hussein menjadi Perdana Menteri yang paling singkat tempohnya sebagai presiden parti. Tempoh pentadbiran Tunku Abdul Rahman ialah 12 tahun, Tun Abdul Razak (tujuh), Hussein (lima), Dr. Mahathir (22), Abdullah Ahmad Badawi (enam). Mengapa tempoh jawatan dipegang Hussein singkat?

Hussein waktu itu dikatakan masih ada kekuatan untuk mentadbir dan memimpin negara. Ini lebih-lebih lagi dengan ilham beliau memperkenalkan Amanah Saham Nasional (ASN) yang sehingga hari ini telah terbukti mengangkat martabat pegangan ekuiti orang Melayu di seluruh negara. Namun, selepas itu beliau berhenti pula. Mengapa?

Dikatakan konflik dalaman pada era Hussein menjadi Perdana Menteri tidak diketahui ramai. Ramai tidak tahu sebenarnya Hussein bukan berundur kerana faktor kesihatan namun kerana tekanan yang kuat diberikan Dr. Mahathir.

Sebelum 1980, kelompok yang menyokong Harun dengan dibantu oleh Dr. Mahathir menekan kuat Hussein. Selepas Harun dipenjarakan kerana kesalahan rasuah, muncul pula Sulaiman Palestin yang menentang Hussein sebagai Presiden UMNO.

Sulaiman yang dikatakan proksi Dr. Mahathir dikatakan diminta untuk membuat gerakan beliau terhadap Hussein. Pada masa sama Dr. Mahathir memberitahu Hussein yang UMNO mahu Harun diampunkan dan dibebaskan dari penjara. Ini mengganggu Perdana Menteri (Hussein) yang sebelum ini mendesak UMNO untuk memilih antara Harun dan dia. Ini adalah apa yang telah dilaporkan pada masa itu.

Ketika itu Hussein hanya pemangku Presiden UMNO. UMNO Bahagian Sungai Besi satu-satunya bahagian UMNO yang mencalonkan Sulaiman bertanding menentangnya. Cabaran ini bukanlah cabaran yang ‘credible’ namun ia memecahkan tradisi UMNO.

Ramai yang hairan sebab apa Sulaiman sanggup menentang Hussein dalam keghairahan ­merebut jawatan presiden parti sedangkan Sulaiman adalah ­Ketua Penerangan UMNO, jawatan yang diberikan oleh Hussein. Siapa yang menjadi Wak Wira Karma di belakang tabir?

Ekoran cabaran dari ‘maverick’ itu, Hussein melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada 16 Julai 1981 kepada Dr. Mahathir. Jadi, apa yang Dr. Mahathir meramalkan enam bulan sebelum itu menjadi kenyataan. Dengan muslihat, beliau berjaya membuatkan Hussein meletakkan jawatan.

Jika ada pihak mengkaji cara Dr. Mahathir menurunkan Hussein, dengan menggunakan Sulaiman sebagai proksi untuk menentang Perdana Menteri, memang itulah kaedah sama digunakannya untuk menggulingkan Perdana Menteri - dengan menggunakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai proksi untuk menentang Najib.

Tujuh tahun selepas pengundurannya iaitu pada 1987, Hussein menyertai Tunku bersama-sama menyokong Team B yang menentang Dr. Mahathir.