Oleh itu, beliau men­ca­da­ng­kan satu jawatankuasa khas (di­pengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri) dapat ditubuhkan, lengkap dengan ‘elemen penguatkuasaan’ terdiri daripada LKIM, Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Pe­rikanan, Jabatan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Jawatankuasa itu diharap dapat meningkatkan koordinasi an­tara pelbagai agensi selain ber­kongsi kelengkapan, sekali gus menghantar mesej bahawa negara ini tidak berkompromi terhadap nelayan asing yang mencuri hasil laut.

Sehubungan itu, pada 8 Oktober lalu, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mengesahkan ke­menteriannya bersedia mencadangkan kepada kerajaan agar Akta Perikanan 1985 (Akta 317) disemak semula dan dipinda. Pindaan ini perlu dijalankan kerana pada masa ini akta itu langsung tidak mendatangkan perasaan gerun kepada nelayan asing.

Terbaharu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi mendedahkan mengenai nelayan tempatan yang membenarkan pengusaha (nelayan) asing menggunakan bot dan lesen mereka untuk mengaut hasil lautan negara ini.

Beliau memberi amaran bahawa perbuatan ini menyalahi undang-undang dan nelayan terbabit boleh dikenakan tindakan iaitu lesen mereka boleh dibatalkan, selain kapal (bot) mereka disita dan mereka pula dikenakan denda antara RM100,000 hingga RM1 juta jika disabitkan kesalahan.

Munir mengesahkan sejak 2015, sebanyak 472 lesen bot laut dalam dibatalkan dengan Sarawak mencatatkan jumlah pembatalan lesen bot tertinggi (260 kes), di­ikuti Kelantan (90), Pahang (46), Terengganu (31), Perlis (28), Perak (10), Johor (tiga), Selangor (tiga), dan Labuan (satu).

Pada 22 Mei 2017, Maritim Malaysia menahan 23 nelayan asing dan merampas dua bot mengan­dungi hasil tangkapan bernilai RM2.5 juta di 70 batu nautika Pantai Sabak, Kota Bharu. Kedua-dua bot tersebut menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Menurut Kapten Maritim, Ro­bert The Geok Chuan (Pegawai Memerintah KM Pekan) pihaknya telah melakukan pemantauan selama satu jam sebelum menahan mereka dan merampas dua tan ikan, satu tan baja ikan dan 300 ­kilogram sotong bernilai RM2.5 juta.

Kegiatan salah nelayan tempatan menyewakan permit mereka kepada nelayan asing ini diakui Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. Katanya, sehingga hari ini, 190 permit daripada 1,100 permit dikeluarkan untuk nelayan laut dalam dibatalkan setelah pemiliknya terbabit dengan kegiatan salah ini.

Selain itu, seramai 7,634 anak kapal nelayan bot asing telah ditahan dalam tempoh 2006 hingga Februari 2017; mereka ini berasal dari Indonesia, Vietnam, Thailand dan sebagainya.

Dalam usaha menjaga keselamatan nelayan daripada ancaman asing, sebanyak 2,630 unit Automated Identification System (AIS) telah dibekalkan oleh kerajaan kepada nelayan pukat tunda Zon B (antara 8 hingga 15 batu nautika).

Selain itu, nelayan juga dilengkapi dengan button alert yang boleh digunakan oleh mereka sekiranya berada di dalam ke­a­daan kecemasan. Sehingga kini 286 unit telah dipasang ke atas vesel pukat tunda Zon B di Perlis, Kedah dan Terengganu.

Di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut (United Nations Convention on the Law of the Sea, UNCLOS) 1982, sebuah negara pesisir (seperti Malaysia) punyai hak dan kedaulatan sepenuhnya sehingga 12 batu nautika wilayah laut dari pinggir pantainya.

Selain itu, negara mempu­nyai hak tunggal mengeksploitasi sumber asli sehingga 200 batu nautika (dinamakan zon ekonomi eksklusif, EEZ) yang merangkumi hak perikanan eksklusif (untuk dinikmati nelayan tempatan sahaja, tidak boleh diceroboh oleh nelayan asing).

Malangnya, mengikut Munir lagi, nelayan tempatan ­nam­paknya enggan menangkap ikan di kawasan perairan lebih 100 batu nautika dan faktor ini menyebabkan kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut itu sering diceroboh nelayan asing.

Kekurangan bot laut dalam milik nelayan tempatan menangkap ikan di perairan 100 hingga 200 batu nautika menyumbang kepada kebanjiran bot nelayan asing menceroboh kawasan ini.

Kesimpulannya, jika tindakan segera tidak diambil oleh kerajaan, kehilangan hasil laut negara yang kita alami sehingga sekarang akan terus berlaku. Nelayan asing akan terus menceroboh kawasan EEZ yang kaya dengan hasil laut, disebabkan nelayan tempatan kita tidak sanggup atau tidak mampu menjalankan pe­nangkapan ikan di situ.

Selain bermaharajalela di kawasan EEZ, nelayan asing juga menceroboh kawasan ber­dekatan pantai dengan menggunakan le­sen dan bot nelayan pantai (atas persetujuan nelayan tempatan). Nelayan asing akan terus berani melakukan semua ini kerana hasil yang diperoleh lumayan berbanding risiko dihadapi mereka.

Walaupun di bawah Akta 317, hukuman yang disebutkan adalah berat (denda sehingga RM1 juta, bot dirampas dan kebelakangan ini dibakar dan dimusnahkan oleh agensi penguat kuasa) ada kes di mana pesalah hanya dikenakan kompaun yang kecil sekali, nyata sekali tidak sepadan dengan kesalahan dilakukan.

Barangkali hukuman mandatori (bot dirampas dan dimusnahkan, denda ditambah dan nakhoda bot/ anak kapal dikenakan penjara minimum tiga tahun) perlu difikirkan.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.