UKE: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak menyemir (berinai) uban mereka, maka selisihlah mereka.” (Muttafaqun ‘alaihi, HR. Bukhari dan Muslim)

Maka jika beruban disuruh kepada kita agar menginaikan rambut supaya dapat membezakan dengan uban orang Yahudi dan Nasrani.

Justeru, diharuskan berinaikan rambut dengan warna merah kekuningan. Pada masa sama terdapat hadis yang melarang kita menghitamkan rambut yang beruban.

Bagaimanapun ada juga pendapat yang mengharuskan inai rambut dengan warna hitam bagi orang muda yang belum layak beruban tetapi rambut mereka telah putih disebabkan faktor penyakit atau genetik. Namun begitu ulama aliran Mazhab Syafie tetap mengatakan bahawa warna hitam bagi pemuda perlu dielakkan berdasarkan hadis Rasulullah yang melarang menghitamkan rambut sekiranya telah beruban. Maka sebaik-baiknya pemuda yang beruban menginaikan rambut mereka dengan warna seperti merah kekuningan.

Jika ingin mewarnakan rambut haruslah diperhati kepada perkara-perkara berikut:

  • Menggunakan bahan yang halal dan suci.
  • Dimaksudkan untuk satu tujuan yang benar secara syarak.
  • Mendatangkan maslahat yang tidak bertentangan dengan syariat.
  • Kandungannya tidak menghalang resapan air ke dalam rambut ketika bersuci.
  • Tidak membawa mudarat kepada pengguna.
  • Menghindari pemilihan warna hitam atau warna-warna lain yang melahirkan unsur tipu daya (khida’) atau nampak negatif.