Cuma saya ingin bertanya benarkah semut mati dianggap najis dan sekiranya berada dalam kocek baju tidak sah digunakan untuk bersolat? Mohon penjelasan ustaz?

* ADIB, Temerloh

UKE: Menurut mazhab Syafie, bangkai haiwan yang darahnya tidak mengalir atau tidak ada darahnya hukumnya tetap najis akan tetapi dimaafkan dalam keadaan tertentu. Misalnya, apabila ia jatuh ke dalam air atau benda cair.

Dengan sendirinya keadaan itu tidak menajiskan selagi air dan benda cair tersebut tidak berubah. Bagaimanapun jika bangkai berkenaan dimasukkan ke dalam air atau benda cair dengan sengaja sekali gus mengubah keadaannya maka hukumnya menjadi najis. 

Tentang bangkai semut termasuk dalam kocek seperti mana soalan yang anda kemukakan, ia sukar untuk dilihat malah kadang-kadang kita tidak tahu pun ada semut maka dimaafkan kerana kesukaran melihatnya. Namun jika bangkai tersebut senang dilihat maka hendaklah anda membuangnya sebelum bersolat.

Sungguhpun begitu ada juga mazhab yang mengatakan bangkai semut itu termasuk dalam najis dimaafkan kerana tergolong dalam kategori binatang yang tidak mengalir darahnya.


Hukum belajar tajwid

Saya telah berusia 60 tahun. Sekarang baru timbul kesedaran untuk mempelajari ilmu tajwid. Bagaimana kedudukan bacaan al-Quran saya sebelum ini yang mungkin banyak salahnya dari segi hukum tajwid. Paling saya khuatir bacaan dalam solat. Mohon pencerahan ustaz?

*  ZAKI, Mersing

UKE: Alhamdulillah semoga niat anda dapat diteruskan dan dapat memberi manfaat kepada anda. Adapun belajar tajwid adalah fardu kifayah manakala membaca al-Quran dengan bertajwid adalah fardu ain. Dalam solat jika bacaan rukun qauli anda betul maka sahlah solat anda tersebut. Misalnya bacaan al-Fatihah anda betul maka sah solat anda.

Begitu juga dengan bacaan-bacaan wajib yang lain. Tidak terkecuali rukun-rukun yang lain. Apapun perkara yang lepas itu lepaslah. Mohonlah ampun kepada Allah SWT jika ada kekhilafan dalam bacaan al- Quran anda sebelum ini. Selepas ini jadilah yang terbaik dalam pembacaan al-Quran kerana yang terbaik ialah orang yang belajar dan mengajar al-Quran.