Malangnya, keyakinan Najib mengenai prospek hubungan yang lebih baik antara dua negara nampaknya terlalu awal dimuktamadkan. Memang benar sebagai jiran tertangga terdekat yang berkongsi sejarah dan budaya yang sama, malah pernah `tidur sebantal’ antara tahun 1963-1965, kedua-dua negara seperti saudara kembar -meminjam kata-kata Dr. Mahathir baru-baru ini. Sudah tentu sebagai saudara kembar, kita begitu rapat tetapi dalam keadaan sama akan wujud juga ketegangan demi ketegangan. Malah dikatakan hubungan Malaysia boleh dilabelkan sebagai hubungan tegang tetapi stabil (stable tension).

Singapura tahu bahawa sebagai hanya sebuah red-dote (titik merah) di Asia Tenggara - meminjam rujukan yang diberikan oleh bekas Presiden Indonesia, Habibie kepada Singapura satu ketika dahulu, republik itu akan terdedah kepada perkembangan politik negara jiran dan serantau. Apabila Malaysia sebagai negara terbaharu di Asia Tenggara yang menyaksikan kekalahan pakatan politik yang diketuai UMNO yang mentadbir negara selama lebih 60 tahun lamanya, seca­ra tidak langsung, parti pemerintah Singapura akan merasa gusar. Persoalan sama ada parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan turut menerima nasib yang sama sepertimana Barisan Nasional (BN) maupun Golkar sudah mula dibincangkan dalam kalangan rakyat republik itu. Bahang pilihan raya umum Singapura telah mula dirasa walaupun mandat pentadbiran PAP adalah sehingga 2021.

Namun adalah terlalu awal untuk merumuskan bahawa PAP akan menerima nasib sama seperti mana BN maupun Golkar. Malah PAP sebenarnya akan menjadi lebih kuat dengan ketegangan diplomatik yang kini timbul dengan Malaysia.

Rakyat Singapura bukanlah pengembara politik yang berani seperti saudara mereka di Malaysia dan Indonesia. Sebagai rakyat metropolitan yang tinggal di dalam sebuah negara-pulau yang kecil, mereka lebih bimbang dengan kestabilan ekonomi dari segi kemampuan mereka dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Malah sebahagian besar daripada generasi baharu Singapura tidak berminat atau pun terlibat secara langsung dengan politik sehingga menyebabkan parti-parti politik agak bimbang dengan masa depan sistem politik republik tersebut.

Perdebatan juga telah memberi fokus kepada peranan pemimpin Malaysia sendiri di dalam menimbulkan ketegangan masa kini. Seperti kata pepatah Inggeris- semuanya telah tertulis di tembok dinding – bahawa apabila Dr. Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh dan untuk kali keduanya, negara jiran yang paling gusar dengan perkembangan tersebut sudah tentulah Singapura. Singapura percaya Dr. Mahathir adalah dalang di sebalik ketegangan ini.

Pengalaman Singapura dengan Dr. Mahathir pada 1980-an mengajar republik tersebut untuk lebih responsif dan peka. Singapura sebenarnya tidak dapat mengelak dengan mimpi buruk kerana terpaksa berhadapan buat kali keduanya dengan Dr. Mahathir. Walaupun ramai pemimpin republik itu menuduh pentadbiran Dr. Mahathir meletakkan Singapura sebagai “the bogeyman” (orang yang suka menakut-nakutkan), namun secara jenakanya Dr. Mahathir adalah Dr. Mahathir. Sama ada suka atau tidak, kita akan berhadapan dengan rentak, ragam dan idiosinkrisi Dr. Mahathir sebagai pemimpin. Beliau akan tegas apabila berhadapan dengan perkara yang membabitkan maruah dan kepentingan negara. Bermula dengan jambatan bengkok sehinggalah kepada isu yang membabitkan ruang udara dan maritim negara.

Bagi beliau isu-isu tersebut telah lama diperhatikan sebagai banyak memihak kepada Singapura. Malaysia sentiasa memberi terlalu banyak ruang kepada Singapura, contohnya, membiarkan republik itu membuat tambakan tanah dengan menggunakan pasir yang sebenarnya sebahagian besar diseludup dari Johor. Tambakan yang dilakukan Singapura memberi kesan kepada ekosistem maritim negara dari segi aliran air selat menjadi laju dan sumber perikanan nelayan kecil Johor turut terjejas.

Isu pengawalan ruang udara di selatan Johor juga bukanlah perkara baharu. Bagi Singapura, kawalan udaranya yang merangkumi Johor dan sebahagian dari kepulauan Riau dan Natuna dilakukan sejak 1974 lagi. Tetapi sewaktu pentadbiran pertama Dr. Mahathir, isu ini mula dibangkitkan apabila Malaysia mempunyai kuasa terhad terhadap ruang udaranya di selatan. Pergerakan udara tentera Malaysia dengan senang boleh dikesan Singapura apabila berada di ruang udara Johor. Malah Malaysia telah memohon kepada badan pengawalan udara antarabangsa untuk mengambilalih sepenuhnya kawalan ruang udaranya. Malaysia juga mula membina pusat kawalan trafik udara di Sepang dengan kos lebih RM700 juta sebagai langkah pengambil alihan.

Strategi dan langkah yang akan diambil Singapura sebenarnya adalah dijangkakan. Sifat kiasu (takut kalah) Singapura akan menyerlah dalam menyelesaikan sebarang isu diplomatik dengan Malaysia. Singapura akan mempertahankan apa yang dikatakan hak mereka. Sebagai langkah pertama, Singapura telah pun memberikan pendirian yang jelas terhadap perbalahan maritim berdekatan pelabuhan Tanjung Pelepas.

Dengan menggunakan Artikel 298, Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu UNLCOS, Singapura mendakwa kawa­­san maritim yang diper­tikai­kan telahpun diisyti­harkan sebagai wilayah repub­lik itu sejak 1999. Artikel 298 UNLCOS, menghalang negara lain secara sehala, adjudikasi atau arbitrasi menun­tut wilayah yang dipertikaikan. Ini bermaksud, kedua-dua negara mesti mendapatkan pihak ketiga menyelesaikan pertikaian mereka.

Adakah Malaysia akan bersetuju dengan cara Singapura di dalam menyelesaikan hal itu? Walaupun kritikan mula dilemparkan oleh pelbagai pihak terhadap cara kerajaan berhadapan dengan gaya kerja kiasu Singapura, Putrajaya setakat ini dilihat masih mahu mem­beri fokus kepada penye­lesaian diplomasi dengan bersetuju untuk meletakan ‘moratorium’ sehingga 7 Februari, kepada beberapa tindakan yang diambil sebe­lum ini.

Tapi apa yang penting sebarang penyelesaian yang diambil nanti janganlah dilihat sebagai langkah kebelakang atau satu konsensus yang merugikankan maruah dan kepentingan nasional negara. Sudah masanya kita dengan tegas mempertahankan hak dan kedaulatan kita.

Dr. Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor dan Felo Kanan di Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand, dan Singapura (ITS), Universiti Utara Malaysia, Sintok.