Semakin Pakatan Harapan mahu menyatu dengan satu simbol, semakin berselerak gerak mereka. Yang terlihat menyinar akhirnya ialah kepentingan kelompok, bukan prinsip seperti terucap dalam kata-kata mereka mahupun tertulis dalam Perlembagaan parti.

Selangor masih mengekalkan kekuasaan Pas dalam kerajaan negeri, walaupun parti berlambang bulan itu sudah menjadi seteru nombor satu di peringkat pusat. Bertali arus serangan dan kecaman dari dalam Pakatan Harapan tidak memberi apa-apa kesan.

DAP dan PAN terutamanya serta pimpinan PKR yang bukan dari kem Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya ternganga. Berbeza dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang, Pas telah dibersihkan daripada pentadbiran kerajaan DAP negeri itu.

Situasi di Kelantan lagi parah. Dari bulan ke bulan, arahan Presiden PKR supaya semua lantikan politik oleh kerajaan Pas Kelantan meletakkan jawatan serta merta tidak diendahkan. Arahan itu malah terkesan tetapi sengaja diperlekehkan.

Ada sahaja alasan untuk bertangguh. Mulanya punca disebut sebagai masalah teknikal dan tuntutan elaun tertunggak. Setelah kerajaan Kelantan menjelaskan tiada tuntutan tertunggak alasan bertukar pula kepada "urusan kerajaan dan rakyat".

Jumlahnya pun tidaklah banyak. Hanya tujuh orang terlibat. Mengapalah sukar sangat. Dari bulan Mei membawa kepada Julai dan kini tarikh akhir meletak jawatan diundurkan lagi sehingga 31 Ogos.

Terlalu banyak drama dicipta dalam isu peletakan jawatan ahli majlis pimpinan PKR Kelantan ini. Kenyataan bercanggah antara sesama pemimpin, bergantung kepada kepentingan mana pemimpin itu datang.

Hari ini kenyataan dike­luarkan, esok dinafikan oleh kumpulan lain. Jadilah arahan yang perlu dikuatkuasa serta-merta menjadi berbulan-bulan lamanya.

Dan. sehingga sekarang be­lum ada tanda positif ara­han Presiden PKR itu akan dipa­tuhi.

Sebenarnya tiada siapa lagi peduli mereka letak jawatan atau tidak. Tiada beza pun. Hanya pemimpin tertinggi PKR yang sibuk-sibuk konon de­mi menjaga maruah dan ke­wibawaan parti. Kebenaran sudah terserlah.

Mengeliru rakyat

Di Pulau Pinang, Ketua Men­teri Lim Guan Eng menerima kejutan bukan kepalang. Kesombongannya mendabik dada konon Pulau Pinang negeri paling bersih rasuah dan salah guna kuasa tercabar.

Tidak terbayang Guan Eng sanggup meletakkan dirinya 'berperang' dengan SPRM. Prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) yang dicipta beliau sejak 2008 mahu digambarkan lebih berkesan daripada program SPRM.

Apa yang mahu digambarkan, beliau lebih ke hadapan berbanding SPRM. Tetapi mereka yang sudah biasa dengan Guan Eng, tidak hairan dengan perangai menunjuk-nunjuk dan arogan itu.

Sikap arogan itu semakin terserlah apabila Jumaat lalu, exco kepercayaan beliau, Phee Boon Poh ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lalu.

Sebagaimana orang yang mahu menjadi hero membanteras rasuah dan salah guna kuasa, tindakan Guan Eng membawa penyokong ke bangunan SPRM tempat Boon Poh ditahan adalah tidak wajar.

Perbuatan itu sangat bertentangan dengan pendirian beliau, kerajaan DAP dan parti yang dipimpinnya sendiri. Percanggahan itu sangat jelas.

Tidak mungkin Guan Eng boleh berbicara mahu mem­banteras rasuah dan salah guna kuasa tetapi berkumpul membawa sepanduk sebaik sahaja ada ahlinya ditahan pihak berkuasa.

Tidak mungkin Guan Eng berjanji tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang didapati bersalah kerana rasuah tetapi pada masa sama percaya exconya itu tidak bersalah.

Mengapa tidak berlapang dada? Jika benar bagai di­kata, kotakan segaja prinsip dan ikrar. Tidak perlulah mengumpulkan kekuatan sehingga ratusan penyokong yang tujuannya untuk menunjukkan solidariti.

Guan Eng semasa mengulas penahanan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri itu mahu siasatan dilakukan dengan betul, adil dan saksama tetapi tekanan yang beliau lakukan dengan berkumpul di pejabat SPRM tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Tetapi begitulah sikap bercanggah Guan Eng. Begitulah perangai Pakatan Harapan. Sikap dan perangai yang semakin konsisten dan menebal ini tambah mengelirukan rakyat. Apakah sebenarnya yang mereka perjuangkan? Rakyat atau kepentingan sendiri?

Benarlah seperti yang dikata banyak orang, parti politik ini semakin tebal hipokrasinya. Mereka seakan-akan berlumba-lumba memuliakan kepura-puraan.