Bola kini berada dalam kawasan Bersih 2.0 untuk mempengaruhi hala tuju sistem pilihan raya seperti yang diimpikan mereka. Wartawan Utusan Malaysia, FADZIL ZAINOL mengajukan beberapa persoalan kepada Pengerusi Bersih 2.0, THOMAS
FANN
baru-baru ini untuk mendapatkan pandangannya.

UTUSAN: Adakah kemenangan PH dalam PRU-14 bukti Malaysia melalui pilihan raya yang adil?

THOMAS: Kemenangan PH dalam PRU-14 disebabkan gabungan pelbagai faktor politik, ekonomi dan sosial seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, cukai barang dan perkhidmatan (GST), peningkatan kos hidup akibat susut nilai ringgit serta faktor kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tambahan pula, penyertaan blok ketiga yang telah memecahkan undi BN dan PH dan lebih banyak menjejaskan undi BN. Ketidakadilan berstruktur dari segi sempadan kawasan pilihan raya disebabkan malapportionment dan gerrymandering (manipulasi jumlah pengundi atau sempadan) serta beberapa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyebabkan PRU-14 tidak adil buat pembangkang pada masa itu.

Jika bukan disebabkan faktor-faktor yang saya nyatakan tadi, PH tidak akan menang terutama dengan kehadiran Pas sebagai blok ketiga. Namun saya tidak merasakan keadaan sama akan berulang dalam PRU-15.

Bagaimana anda melihat komitmen kerajaan PH memenuhi hasrat pilihan raya yang adil dan bersih?

Dalam Buku Harapan (manifesto PH), mereka menyatakan banyak komitmen untuk memperbaharui institusi awam dan sistem pilihan raya. Selepas PRU-14, SPR juga telah berubah menjadi lebih telus dan sedia melibatkan diri dengan pihak berkepentingan seperti Bersih dan parti politik dan kita dapat melihat kemajuannya dalam pelaksanaan pilihan raya kecil (PRK).

Perdana Menteri juga telah membentuk Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) untuk mencadangkan pembaharuan sistem pilihan raya dalam menjadikannya berkelas dunia. ERC mempunyai mandat dua tahun untuk menyelesaikan laporan mereka, iaitu pada akhir 2020.

Baru-baru ini, Bersih 2.0 mengeluarkan kad laporan mengenai prestasi tahun pertama PH dalam memperbaharui pilihan raya dan politik dan kami memberikan mereka 36.4 peratus untuk tahun pertama.

Maksudnya daripada mandat lima tahun, mereka memenuhi 36.4 peratus janji-janji untuk reformasi pilihan raya dan politik. Bagi kami, ia adalah ‘prestasi yang baik’.

Bagaimanapun, kami menjangkakan kepantasan untuk melakukan pembaharuan akan lebih perlahan untuk tahun-tahun mendatang kerana banyak pembaharuan berstruktur memerlukan pindaan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang lebih sukar dicapai tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen.

Secara ringkas, terdapat beberapa kemahuan politik untuk mendapatkan pilihan raya yang bebas dan adil tetapi hasrat itu masih jauh lagi buat masa ini.

Adakah Bersih sedia mengadakan perhimpunan jalanan sebelum PRU-15 bagi mengingatkan kerajaan PH tentang pilihan raya yang adil dan bersih?

Sama ada Bersih akan mengadakan perhimpunan besar untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil bergantung kepada prestasi SPR dan usaha kerajaan PH terhadap reformasi pilihan raya. Sekiranya masih tidak melihat apa-apa perubahan yang ketara pada tahun ketiga atau keempat mereka memerintah, maka dengan itu jawapannya ialah ya (mengadakan perhimpunan besar).

Komen anda tentang prestasi SPR dan Pengerusinya, Azhar Azizan Harun?

SPR hari ini lebih telus dan terbuka bertemu dengan pihak berkepentingan untuk memperbaiki proses dan sistem pilihan raya. Anggota baharu suruhanjaya juga lebih profesional dan bekerja keras berbanding sebelum ini yang lebih dianggotai oleh pesara penjawat awam. Keanggotaan hari ini meliputi ahli akademik, masyarakat sivil, kakitangan awam yang lebih dinamik berbanding sebelum ini.

Azhar juga dilihat membawa pembaharuan SPR dan saya yakin beliau bekerja keras untuk menaikkan integriti SPR selaku badan bebas. Tetapi mesti ada pindaan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan SPR benar-benar bebas daripada campur tangan politik dan hal ini boleh berlaku jika Perdana Menteri dan Parlimen sendiri mencadangkan pindaan. Jika tidak, Perdana Menteri mempunyai pengaruh dalam melantik pesuruhjaya, kakitangan dan peruntukan kepada SPR.

Komen anda selepas negara melalui lapan pilihan raya kecil sejak PRU-14?

Berdasarkan pentadbiran PH, kita perhatikan keadaan kini lebih peka terhadap peraturan-peraturan pilihan raya berbanding sewaktu pentadbiran BN. Tetapi masih berlaku lagi kesalahan peraturan oleh PH sendiri dan pihak lain.

Antara sebabnya ialah kurang kefahaman tentang apa yang dikatakan sebagai pelanggaran peraturan pilihan raya selain masih ada budaya politik lama ketika berkempen. Paling utama ialah berkenaan apa yang dianggap sebagai penyalahgunaan aset-aset kerajaan (ketika berkempen).

Setiap kerajaan yang mempunyai akses kepada aset-aset negara, mereka nampak menyalahgunakannya dan PH tidak terkecuali dalam hal ini. Bersih sedang bekerjasama dengan ERC dan parti-parti politik untuk menjelaskan peraturan-peraturan pilihan raya dan mencadangkan pembaharuan undang-undang mengenai hal itu.

Komen anda tentang komitmen parti pembangkang dalam memenuhi hasrat pilihan raya yang adil dan bersih?

Pembaharuan sistem pilihan raya dan institusi mesti diperjuangkan oleh pembangkang kerana menjadi kepentingan mereka untuk mempunyai pilihan raya yang adil dan bebas serta institusi tidak menjadi alat politik pemerintah untuk menindas pembangkang.

Ada pembangkang yang memberi perhatian terhadap usaha ini, namun kebanyakan masih gemar memainkan isu-isu politik dan skandal.

Bersih berharap semua parti pembangkang dan ahli politik mendesak pembaharuan pilihan raya, politik serta kerajaan PH terhadap janji-janji mereka dalam Buku Harapan. Bersih sedia membantu pihak yang ingin tahu apa bidang pembaharuan yang diperlukan demi menjadikan demokrasi Parlimen lebih kukuh.