Pada hemat penulis, untuk membantu menyelesaikan masalah ini, sekolah tahfiz yang tidak berdaftar di Malaysia boleh mengambil peranan baharu bukan sahaja dapat membersihkan cela yang mengotorkan imej mereka, tetapi juga dapat menghidupkan semula jihad untuk dakwah serta memperbaiki fungsi mereka.

Dasar yang baru-baru ini diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik adalah satu langkah tepat. Kementerian telah membuat komitmen untuk berusaha mendaftarkan semua anak tanpa kerakyatan di negara ini ke dalam sistem pendidikan kebangsaan. Melalui pengalaman penulis sendiri, beberapa sekolah alternatif di Sabah sudah pun menjalankan kerjasama mendaftarkan pelajar tidak bernegara dengan beberapa sekolah tahfiz bagi menyediakan kanak-kanak golongan rentan ini dengan pendidikan.

Bagaimanapun masih wujud masalah anak-anak pelarian yang tidak mendapat akses kepada pendidikan. Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), jumlah pelarian pelbagai latar belakang adalah 150,379,25,499 dan daripada jumlah ini merupakan pelarian di bawah umur 18 tahun, dengan 23,823 daripada mereka dalam umur persekolahan. Hanya 30 peratus daripada mereka berdaftar di pusat pembelajaran masyarakat.

Maka kira-kira 17,000 kanak-kanak pelarian tidak menerima sebarang bentuk pendidikan. Kebanyakan pelarian di Malaysia beragama Islam dari Pakistan, Afghanistan, Somalia, Syria dan Myanmar. Bagi menangani isu ini, UNHCR telah melaksanakan Program Anak Angkat Sekolah Pelarian.

Program ini adalah cara berstruktur untuk membantu menyelesaikan masalah dalam bidang pendidikan warga pelarian. Dalam program ini, penderma boleh menyokong sekolah pelarian melalui satu atau lebih aspek untuk tempoh masa yang ditetapkan. Para penderma, dijemput untuk melanjutkan kepakaran, perkhidmatan atau sumber mereka untuk mengisi atau melengkapkan keperluan kanak-kanak pelarian yang tidak dapat dipenuhi oleh sekolah terlibat kerana kekangan kewangan atau tenaga kerja.

Sokongan boleh diberikan dalam bentuk sumbangan kewangan atau sumber-sumber lain. Penderma juga boleh memilih untuk menyokong mana-mana sekolah komuniti sedia ada daripada senarai sekolah UNHCR atau memanjangkan bantuan dan kudrat ke arah penubuhan sekolah komuniti baharu di mana-mana kawasan yang memerlukan.

Penulis percaya model program ini juga sesuai untuk digunapakai oleh sekolah tahfiz yang tidak berdaftar. Dengan melaksanakan program ini, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang awam boleh memberi bantuan kepada sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dengan syarat sekolah ini berada di bawah pengawasan Kementerian Pendidikan dan ditadbir mengikut peruntukan Seksyen 52 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] yang membenarkan sumbangan sekolah agama Islam.

Pengawasan ini adalah untuk memberi keyakinan kepada penderma bahawa sekolah ini menjaga keselamatan anak muridnya dan sukatan akademik mereka juga ditadbir baik. Sekolah-sekolah tahfiz yang tidak berdaftar ini juga haruslah membuka pintu mereka untuk membantu golongan-golongan rentan kanak-kanak tidak bernegara termasuklah pelarian yang beragama Islam.

Hikmahnya, langkah-langkah ini dapat menyelesaikan pelbagai masalah. Yakni, memperkasakan sekolah tahfiz bagi membantu menyelesaikan masalah kanak-kanak tanpa pendidikan serta mengembalikan keyakinan orang ramai kepada sekolah tahfiz. Ini sekali gus membantu kerajaan dari segi kewangan untuk memastikan kelangsungan dan kesejahteraan pembelajaran murid-murid di sekolah tahfiz. Bukan sahaja langkah ini dapat membantu menghidupkan semula imejnya, usaha ini juga boleh menjadi jihad bagi dakwah mereka.

PENULIS ialah seorang peguam yang beramal di Kuala Lumpur serta Timbalan Pengerusi #Tagupimembaca.