Setiap amalan manusia di atas muka bumi ini akan menentukan untung nasib mereka di akhirat. Dunia adalah mazratul akhirat’ - jambatan menuju ke akhirat.

Teringat saya akan pesanan Imam Al-Ghazali “Ketahuilah dunia ini adalah tempat singgah untuk sementara waktu, bukan tempat tinggal yang sebenarnya, sedangkan manusia di dalamnya selaku musafir yang sedang berkelana”.

Saya terpanggil untuk menukilkan dua peristiwa yang begitu menyentuh perasaan saya dalam bulan Ramadan penuh barakah yang masuk hari ke-16 ini.

Pertama, pembukaan Masjid Al-Ghazali di Jalan Depo, Petra Jaya, di Kuching, Sarawak pada malam kelapan Ramadan lalu.

Rupanya, kos pembinaan masjid dengan reka bentuk serba moden berwarna kelabu bernilai RM3.5 juta itu sebahagian besarnya daripada wang pampasan kesemua enam mangsa yang maut dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia, 17 Julai 2014.

Tambah sebak perasaan saya bercampur baur keinsafan dan kagum, adik bongsu kepada salah seorang mangsa (Allahyarham Ariza Ghazalee), iaitu Sumardi dalam satu temubual dengan Bernama, menyatakan, semua itu bermula daripada ibu mereka, Jamillah Noriah Abang Anuar yang ingin melihat wang yang diterima itu disalurkan kepada perkara yang memberi manfaat kepada semua arwah.

Masya-Allah. Begitu tulus, penuh keyakinan seorang ibu kepada rahmat dan kekuasaan-Nya demi menginginkan kesejahteraan anak, menantu dan cucu-cucunya di sana.

Serta-merta terpapar di depan saya wajah enam beranak itu dalam sekeping foto mereka bergambar dengan masing-masing saling pandang memandang (saya sertakan di atas catatan ini).

Selain Ariza, 46, insiden pilu itu meragut suaminya, jurutera petroleum, Tambi Jiee, 49, serta empat anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13. Wakaf ikhlas itu didoakan menjadi dana akhirat para arwah sekeluarga.

Nahas menimpa MH17 yang turut mengorbankan 292 penumpang dan anak kapal lain berlaku pada 19 Ramadan semasa keluarga Ariza mahu pulang berhari raya di Kuching, serentak mengikuti suaminya bertugas di Kuala Lumpur dari Kazakhstan.

Juga, peristiwa kedua yang cukup menyentuh hati saya ialah kemalangan mengorbankan pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40, di Thailand, Sabtu lalu.

Berita pemergian Faziani ke rahmatullah yang hinggap di telinga saya termasuklah menerusi laporan akhbar dan media sosial hanya menyebut perihal yang baik-baik sahaja mengenai arwah.

“Allahyarham (Faziani) banyak menderma hartanya ke jalan Allah sepanjang hayat, banyak yang disumbangkan kepada madrasah dan pondok termasuk madrasah saya di Bentong,” kata Mudir Madrasah Darul Saadah Al Islamiyah, Kampung Lebu, Bentong, Pahang, Zahari Al Yamani.

Kata seorang rakan baik Allahyarham, Natasha Maria Akhamat: “Arwah selalu berpesan kepada saya jika kita hendak beri sedekah atau zakat, jangan beritahu orang sebaliknya kita buat secara senyap-senyap, biar Allah SWT yang nilai.”

Dalam kejadian jam 10.30 pagi waktu tempatan di Pattani itu, arwah dan suaminya (cedera) yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sedang menuju ke beberapa buah pondok agama di Yala untuk memberi sumbangan.

Sesuatu yang kita semua termasuk diri saya ambil iktibar dari dua peristiwa ini adalah kita perlu banyak mengorbankan masa, fikiran dan tenaga dalam mempersiapkan bekalan ke alam akhirat.

Ini selaras dengan firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 73:
Maksudnya: “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa masuk ke syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan kekal.”

Dan bersempena Nuzul al-Quran yang akan disambut esok, marilah kita turut bersama-sama mengkaji sejarah al-Quran yang memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi SAW khasnya. Membaca al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat sunnah.

Mudah-mudahan para arwah dalam dua peristiwa yang disebutkan tadi diampuni Allah dan dilimpahi dengan kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat. Al-Fatihah.