Abang Johari Tun Openg Ketua Menteri
Abang Johari Tun Openg

Sebagai pewaris legasi kepimpinan Adenan, Ketua Menteri Sarawak yang keenam ini cukup komited dalam usaha memastikan akujanji dibuat oleh Allahyarham dapat direalisasikan demi kepentingan dan masa depan rakyat negeri ini.

Memasuki tempoh 66 hari memerintah sejak mengambil alih jawatan pada 13 Januari lalu, rak­yat nampaknya semakin menerima baik kepimpinan Abang Johari atau lebih dikenali sebagai Abang Jo. Bukan itu sahaja, Abang Jo juga berjaya mengekalkan hubungan baik kerajaan negeri dengan Pusat terma­suk meraih kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar berterusan memberi ‘hadiah’ untuk rakyat Bumi Kenyalang.

Jika Lebuh Raya Pan Borneo dihadiahkan kepada Sarawak semasa pemerintah­an Adenan, Abang Jo pula berjaya menjadikan negeri ini sebagai pembekal sumber tenaga elektrik utama negara apabila mene­rima hadiah terbaharu daripada Perdana Menteri, iaitu penye­rahan atau pengambilalihan sepenuhnya Empangan Hidroelektrik (HEP) Bakun daripada kerajaan Pusat.

Keputusan Najib menyerahkan HEP Bakun iaitu empang­an hidroektrik terbesar negara merupakan berita yang amat menggembirakan kepada seluruh rak­yat Bumi Kenyalang kera­na bakal memberi manfaat cukup besar kepada pembangun­an ekonomi negeri ini dalam jangka panjang. Empangan tersebut sebelum ini nyaris menjadi projek Gajah Putih semasa era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan menyebabkan berlaku peningkatan kos pembinaannya.

Pada mulanya, projek pembinaan HEP Bakun menelan belanja RM6 bilion, namun meningkat kepada RM15 bilion selepas gagal disiapkan mengikut jadual. Punca kelewatan projek tersebut pernah didedahkan oleh Najib dalam ucapan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 (PRN-11) Sarawak yang lalu, iaitu kerana diserahkan kepada kontraktor yang tidak layak.

Walau bagaimanapun, hasil penstrukturan semula, HEP Bakun dapat disiapkan dan mengeluarkan tenaga elektrik ke seluruh Sarawak tanpa melalui banyak kerenah dan menggunakan kos agak minimum daripada apa yang telah dibentang pada era Mahathir. Semasa mengumumkan berita gembira tentang penye­rahan empangan itu kepada kerajaan negeri dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, Kuching, Abang Jo memberitahu, pengambilalihan HEP Bakun daripada kerajaan Pusat membolehkan Sarawak mengawal sepenuhnya tenaga demi manfaat rakyat serta ekonomi negeri dalam jangka panjang.

Beliau berkata, pengambilalihan HEP Bakun semestinya membantu syarikat milik penuh kerajaan nege­ri, Sarawak Energy Berhad (SEB) menambah baik kapasiti Sarawak untuk mengekalkan keselamatan dan kebolehpercayaan tenaga elektriknya.

“Pengambilalihan HEP Bakun yang mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2014 dengan kapasiti 2,400 megawatt ini juga membolehkan kecekapan operasi menerusi penyatuan HEP Bakun, HEP Murum dan yang akan datang HEB Baleh.

“Ini bermakna, kita (Sarawak) akan mempunyai empat empangan hidroelektrik, sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu HEP Batang Ai, HEP Bakun, HEP Murum dan HEB Baleh,” ujarnya.

Abang Jo yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri berkata, pengambilalihan HEP Bakun melibatkan kos RM2.5 bilion dan dijangka siap dalam masa dua bulan akan datang.

Jelasnya, kerajaan negeri menerusi SEB telah mencapai persetujuan untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (SHSB), pemilik dan operator HEP Bakun daripada Kementerian Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Tambahnya, pengambilalihan SHSB akan memboleh­kan kerajaan negeri dan SEB mempunyai pemilikan penuh terhadap semua kemudahan penjanaan elektrik di Sarawak, menjadikan SEB lebih fleksibel dalam mengoptimumkan pengurusan dan operasi bekalan elektrik di negeri ini.

“Langkah ini bakal menjadikan Sarawak kuasa tenaga sebenar di Borneo, sekali gus boleh dijual kepada pe­langgan di luar negeri ini. Ini (HEP Bakun) adalah satu penyerahan yang besar oleh Putrajaya dan saya mahu berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pemberian ini,” kata­nya yang ternyata berpuas hati dengan kejayaan pertama dicapai untuk rakyat negeri ini.