Namun, bagi Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) & Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROFESOR DATUK DR. TEO KOK SEONG,
pembatalan sementara ini memperlihatkan keputusan itu dibuat tidak lain tidak bukan kerana akur kepada sentimen amarah kaum Melayu yang mempercayai kepentingan mereka di tanah watan  mereka sendiri bakal terjejas lalu terhapus sekiranya ICERD diratifikasi.
Semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, SAHIDAN JAAFAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, beliau menegaskan, sesungguhnya Perlembagaan negara yang digubal semasa penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Persekutuan Malaysia (1963), begitu cakna sekali terhadap perimbangan baik lagi adil antara kepentingan majoriti Melayu- Muslim dengan kepentingan minoriti bukan Melayu dan bukan Muslim.

 

 

MINGGUAN: Walaupun ada kenyataan daripada menteri dan pemimpin PH bahawa ICERD tidak akan menjejaskan kedudukan Melayu dan bumiputera tetapi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mengatakan ICERD agak mustahil untuk dilaksanakan kerana memerlukan majoriti dua pertiga dalam Parlimen bagi meminda Perlembagaan. Apakah ini antara punca ia dibatalkan?

KOK SEONG: Tidak dapat dinafikan antara punca penting dalam pembatalan ini ialah bantahan keras lagi agresif daripada penentang ratifikasi ICERD. Walaupun ini adalah keputusan tepat yang mengambil kira ketenteraman awam dan juga keselamatan negara, ia sebenarnya satu kompromi sementara antara kerajaan yang ingin meratifikasi ICERD dengan pihak yang menentang hasrat kerajaan itu.

Pembatalan sementara ini memperlihatkan keputusan dibuat tidak lain tidak bukan kerana akur kepada sentimen marah kaum Melayu, yang mempercayai kepentingan mereka di tanah watan mereka sendiri bakal terjejas lalu terhapus sekiranya ICERD diratifikasi.

Untuk penyelesaian isu ini dan kalau boleh, untuk selama-lamanya, saya kira kerajaan perlu membuat keputusan pembatalan ini dengan cara yang lebih rasional yang dipersetuju semua pihak, iaitu dengan mengangkat keunggulan Perlembagaan Persekutuan kita.

Sesungguhnya Perlembagaan negara yang digubal semasa penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan Persekutuan Malaysia pada 1963, begitu cakna sekali terhadap perimbangan baik lagi adil antara kepentingan majoriti Melayu-Muslim dengan kepentingan minoriti bukan Melayu dan bukan Muslim.

Ini dapat dilihat dengan jelas sekali pada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti yang berkenaan dengan agama Islam, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa kaum Melayu serta anak negeri Sabah dan natif Sarawak.

Sebenarnya peruntukan ini yang memperlihat keadilan, yakni tiada diskriminasi kaum dan rasisme, adalah hasil persetujuan perjanjian etnik yang secara longgarnya sering dikenali sebagai kontrak sosial.

Ada pihak melihat usaha untuk meratifikasikan ICERD oleh kerajaan PH adalah satu cubaan untuk mengkhianati kontrak sosial yang diasimilasikan dan diharmonikan sejak merdeka. Komen Prof?

KOK SEONG: Kontrak Sosial ini yang dibuat dengan begitu teliti adalah masih relevan dan akan terus relevan. Ini kerana ia bukan hanya persetujuan bersama yang adil, ia konsesi kaum Melayu kepada kaum bukan Melayu.

Dengan ini, kaum Melayu selaku kelompok majoriti serta dominan selain asal, memberi kaum bukan asal kemudahan dan kelebihan istimewa tertentu dalam bernegara di tanah watan mereka. Antaranya adalah hak untuk terus hidup sebagai kaum Cina dengan kebenaran bukan sahaja mengadakan, tetapi juga mengembangkan pendidikan ibunda mereka untuk tujuan pelestarian etnik Cina mereka.

Konsesi begini yang sifatnya murah hati tidak diberikan dengan mudah oleh kaum watan kepada kaum bukan asal di kebanyakan tempat. Namun ia berlaku di negara ini!

Jadi kontrak sosial ini atau lebih tepat lagi pemberian daripada kaum Melayu bukan sahaja perlu difahami, lebih penting lagi ia hendaklah dihargai!

Ia pemberian yang paling demokratik, iaitu kebebasan hidup secara asal di negara bukan asal!

Apakah kesan baik dan buruknya terhadap negara jika usaha meratifikasikan ini menjadi kenyataan?

KOK SEONG: Sebenarnya, tiada keperluan langsung untuk kita meratifikasi ICERD ini pada masa sekarang ini. Ini kerana kalaulah ICERD itu berkenaan dengan keadilan, yakni tiadanya diskriminasi, kita sebenarnya sudah lama “ICERD” daripada ICERD itu sendiri yang baharu digubal pada 1965 dan mula diperkenal pada 1969.

Perlembagaan Persekutuan kita yang digubal pada 1957 dan disesuaikan semasa Penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963, sesungguhnya memberi perhatian yang amat hemat tentang isu keadilan kaum dalam negara majmuk, agar tidak berlaku diskriminasi daripada apa-apa jua sisi.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas lagi mudah dalam cara keadilan ini diungkapkan. Sebagai contoh, lihat Perkara 3 tentang kegiatan beragama di negara ini – “Islam ialah agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh dianuti secara aman di mana-mana dalam Persekutuan ini”.

Keadilan ini bukan sahaja dinyatakan dengan jelas dan dijamin pula, ia diungkapkan melalui penggunaan kata “tetapi” dan bukannya “dan”. Ini kerana dengan menggunakan kata “tetapi”, jaminan yang diberikan itu lebih bersifat tegas, nyata dan pasti.

Dengan ini, apa-apa yang dikatakan pada ungkapan yang mengandungi kata “tetapi”, bersifat untuk menidakkan isi ungkapan sebelumnya. Sebenarnya, sudah memadai jaminan yang mahu diberikan itu dibuat dengan menggunakan kata “dan”. Namun, kata “tetapi” dipilih untuk memberi jaminan yang lebih jitu sifatnya.

Jadi dengan penggunaan kata “tetapi”, maksud yang ingin disampaikan dalam hal kegiatan beragama di negara ini ialah “walaupun Islam ialah agama negara, agama-agama lain boleh terus dianuti di segenap pelosok negara”.

Begitu juga halnya dengan terma mengenai bahasa Melayu dan kedudukan istimewa kaum Melayu serta anak negeri Sabah dan natif Sarawak.

Bukan sahaja perimbangan kepentingan antara kaum itu sebanding, ia ikut dinyatakan dalam peruntukan itu juga, yakni perkara yang sama dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini membuktikan betapa caknanya kita dalam hal keadilan kaum ini. Kita yang sudah lebih lama cakna tentang hal diskriminasi ini, sebetulnya tidak perlu pun meratifikasi ICERD ini, yang bukan sahaja wujud dalam terma sejagat yang banyak didapati tidak sesuai dengan keadaan di negara ini. Justeru banyak perkara yang perlu dikesampingkan.

Oleh sebab keperluan mengesampingkan banyak hal dalam ICERD, ratifikasi Malaysia kepada ICERD ini akan “melemahkan obligasi Malaysia” dalam usaha libat sama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dengan ini, reputasi Malaysia semacam terjejas kerana tidak dapat melakukan komitmen penuh akibat terlalu banyak kekangan untuk kita patuhi.

Oleh itu, lebih baik kita tidak meratifikasinya dalam keadaan yang boleh menjejaskan nama baik Malaysia. Yang lebih penting dalam soal ratifikasi ini ialah kita tidak pun mengamalkan diskriminasi dan rasisme di Malaysia.

 

Apa pandangan Prof. terhadap kebimbangan pihak tertentu bahawa ICERD bakal menjadi Malayan Union 2.0?

KOK SEONG: Kekhuatiran ini meskipun dianggap sebagai spekulasi oleh sesetengah pihak, memang berasas sekali. Ini kerana dengan ratifikasi ICERD, kita akan terikat dengan ikrar yang wajib dipatuhi dan dipantau pula oleh badan dunia yang berwibawa.

ICERD yang ingin menghapuskan segala bentuk diskriminasi menganjurkan kesamaan hak didapati senada dengan Gagasan Malayan Union yang juga mencadangkan pemberian hak yang sama dalam kalangan kaum Melayu-Cina-India di negara ini. Oleh itu, kekhuatiran ICERD menjadi Malayan Union 2.0 memang berasas.

Gagasan Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikan Malayan Union, walaupun menganjurkan kelebihan istimewa diberikan kepada kaum Melayu sebagai kelompok watan, secara tegasnya ikut memastikan kepentingan sah kaum bukan asal tidak sesekali diabaikan.

Oleh itu, konsep Persekutuan pada 1948 semasa menubuhkan Malaya dan pada 1963 sewaktu menubuhkan Malaysia sebagai cara pemerintahan baik selama ini, perlu diteruskan tanpa sebarang perasaan was-was oleh mana-mana kaum di negara ini.

Prof. ada menyatakan sekiranya ICERD diratifikasikan, orang Melayu akan ‘mengamuk’. Sejauh mana Prof. yakin ia boleh berlaku dalam keadaan sekarang dan apa kesannya terhadap rakyat dan negara?

KOK SEONG: Kesabaran kaum Melayu dalam bertolak ansur dan melayan kerenah kaum bukan Melayu, lebih-lebih lagi pada waktu kebelakangan ini, dengan pemerintahan baharu yang bersifat liberal sekali, ada hadnya.

Selama 61 tahun, simbol dan proses sosiobudaya Melayu yang dipersetuju bersama dalam perjanjian etnik atau kontrak sosial, diangkat dan didukung sebagai identiti nasional.

Ini tidakpun menjadi masalah dan semua kaum menerimanya. Dengan ada peralihan pemerintahan dan wujudnya era Malaysia Baharu, identiti Melayu-Muslim untuk negara ini tidak dapat dinafikan sedang berubah dan menjadi identiti yang tidak lagi Melayu-Muslim kesemuanya sebagai identiti negara.

Inilah perubahan yang ingin dibawa oleh rejim baharu. Saya kira itu keutamaan pemerintahan mereka. Namun, perubahan ini tidak boleh sesekali menyebabkan kejutan budaya, khususnya dalam kalangan kaum Melayu.

Perubahan ini yang ingin dilakukan rejim baharu untuk merungkai cara dan citra lama, tidak boleh dilakukan secara mendadak, iaitu sejurus sahaja memegang tampuk pemerintahan negara.

Ini kerana rakyat dari semua kaum, lebih-lebih lagi kaum Melayu selaku kelompok majoriti dan dominan, akan terkejut besar, bahkan mengalami trauma, dengan perkembangan baharu yang bersifat liberal yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang sifatnya konservatif.

Perkembangan baharu yang liberal ini dan berlaku secara bertalu-talu pula akan beralih dari tahap terkejut besar kepada tahap kemarahan dan kegusaran dalam kalangan kaum Melayu.

Kemarahan dan kegusaran kalau berterusan akan akhirnya menyebabkan kaum Melayu menjadi berang sehingga boleh bertindak dengan ganas sekali.

Kebarangkalian ini ada, malah tinggi kalau kaum Melayu terus diasak bertubi-tubi dengan tindak-tanduk yang boleh mencabar maruah mereka dari pelbagai segi. Kesannya sudah tentu buruk apabila berlaku pertempuran antara kaum.

Ada yang bermain dengan api perkauman terutama di media sosial. Sekiranya berlaku pergaduhan kaum, sudah tentu semua akan rugi seperti pernah berlaku dalam Tragedi 13 Mei 1969. Apa nasihat Prof. kepada rakyat dan pihak berkuasa supaya tragedi berdarah sebegini tidak berulang lagi?

KOK SEONG: Tragedi Berdarah 13 Mei 1969 adalah rusuhan kaum yang walaupun berlaku di Kuala Lumpur sahaja dan hanya beberapa kawasan berdekatan di Selangor, menyebabkan banyak korban nyawa dan kemusnahan harta benda.

Bukan sahaja Parlimen digantung, negara berada bawah pemerintahan darurat.Sudah tentu kita tidak mahunya berulang. Tragedi 13 Mei ini tidak dapat dinafikan adalah konflik komunal, yakni pergaduhan kaum.

Apa yang sedang berlaku kini dalam kes ICERD ini adalah juga komunal, iaitu perlawanan antara kepentingan Melayu Muslim dengan kepentingan bukan Melayu dan bukan Muslim.

Yakni pertarungan antara kaum Melayu yang boleh dikatakan keseluruhannya menentang ratifikasi ICERD dengan kaum bukan Melayu yang rata-ratanya menyokong ratifikasi ICERD.

Keputusan pembatalan ratifikasi ICERD ini yang boleh dikatakan sedikit lewat oleh kerajaan, adalah tepat pada masanya.

Walau bagaimanapun, kita dapat melihat betapa sengit konflik antara kaum yang wujud akibat isu ICERD ini. Ini antaranya kerana wujud defisit kepercayaan antara kita semua, iaitu kita tidak percaya mempercayai antara satu sama lain.

Dalam kes ratifikasi ICERD ini, kaum bukan Melayu mahu pembelaan kepada diskriminasi yang kononnya wujud di Malaysia, dibawa ke muka pengadilan antarabangsa.

Dengan ini, mereka boleh dikatakan semacam tidak percaya kepada perundangan tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Kita semua adalah manusia biasa yang jauh sekali daripada kesempurnaan. Sudah tentu dalam kita melaksanakan keadilan kaum ini, ada kalanya kita tersasar.

Apabila ini berlaku, kita perlu menyelesaikannya sendiri secara bermuafakat melalui petua etnik kita yang kita amalkan selama ini, iaitu semua kaum yang diidentifikasikan dalam negara ini, sama-sama memperbetulkan landasan yang salah itu agar kita tidak terus terpesong.

Apakah Prof. Melihat tidak mustahil usaha meratifikasikan ICERD ini akan dilakukan semula pada masa depan. Apakah ia perlu dan perlukah provokasi sebegini diteruskan lagi?

KOK SEONG: Saya kira kerajaan semasa yang memperlihat komitmen serius untuk membawa reformasi, mampu menangani masalah yang wujud dalam proses pelaksanaan keadilan kaum ini apabila adanya kes tersasar dan terpesong ini.

Kita sebenarnya tidak perlu pun selalu akur kepada setiap obligasi antarabangsa, untuk semata-mata melibatkan diri agar kelihatan di persada dunia bahawa kita sebuah negara maju dengan peradaban yang tinggi.

Sebenarnya tidak ada diskriminasi dalam apa-apa jua bentuk yang perlu dihapuskan oleh ICERD di Malaysia.

Ini kerana kaum bukan Melayu biarpun merupakan kelompok minoriti, sesungguhnya tidak sesekali menikmati status rendah atau inferior di Malaysia.

Sehubungan ini, semenjak pembentukan negara ini, kaum bukan Melayu tidak pernah disekat oleh kaum majoriti dan dominan Melayu daripada mengamalkan budaya mereka dalam bentuk aslinya.

Mereka juga tidak pernah dihalang daripada penglibatan aktif dalam semua institusi negara, baik yang bersifat politik, ekonomi dan soiobudaya.

Dengan ini, memang tiada diskriminasi kaum dan rasisme yang wujud secara struktural di Malaysia, yakni direncanakan, sama ada secara tersurat mahu tersirat. Oleh itu, memang tiada keperluan langsung untuk Malaysia meratifikasi ICERD kini dan pada masa hadapan.