Saya tidak bercadang menuding jari kepada mana-mana pihak bagaimana harga minyak kelapa sawit boleh jatuh merudum sejak setahun lalu. Sebaliknya mahu berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan penduduk kampung asal saya di sekitar daerah kecil Kampung Gajah, Perak yang kini masih berada pada tahap kemiskinan tegar berikutan harga komoditi berkenaan jatuh merudum.

Sebelum Mei tahun lalu, harga runcit setan kelapa sawit mentah ialah antara RM580 dan RM600 tetapi kini hanya tinggal sekitar RM280 dan RM300. Kemerosotan harga minyak kelapa sawit menyebabkan pekebun kecil kehilangan banyak pendapatan bulanan sehingga mereka tergolong dalam kumpulan rakyat termiskin iaitu memperoleh pendapatan kurang RM1,000 sebulan. Dalam keadaan harga barangan lain yang semakin meningkat, sudah pasti pendapatan sedemikian tidak mencukupi bagi mereka membiayai kos makanan dan pakaian ahli keluarga masing-masing. Sehubungan itu dapatlah dikatakan bahawa harga kelapa sawit menjadi faktor penentu kepada kemiskinan rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar termasuk penduduk yang menyertai penempatan baharu di Felcra dan Felda.

Keadaan hidup penduduk Kampung Gajah yang miskin dan menderita kerana kejatuhan harga minyak kelapa sawit adalah sebahagian daripada kisah kemiskinan Melayu di negara ini yang perlu diberikan perhatian. Kampung Gajah terletak dalam Parlimen Pasir Salak sememangnya sinonim dengan sejarah penentangan anak Melayu tempatan terhadap penjajahan Inggeris yang akhirnya mengorbankan dua pahlawan terbilang di tepi tebing Sungai Perak iaitu Datuk Sagor dan Datuk Seri Maharajalela. Setelah kematian Residen British, JWW Birch pada 1875, kedua-duanya dibicarakan Inggeris di Matang, Taiping kerana dikatakan bertanggungjawab terhadap peristiwa pembunuhan itu. Mereka didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di sana.

Kematian Birch memberi tamparan hebat kepada kerajaan Inggeris di Tanah Melayu ketika itu. Sebagai tindak balas kepada kematian itu, akhirnya Inggeris mengambil keputusan tidak membangunkan kawasan berkenaan sehingga negara ini mencapai kemerdekaan. Inggeris hanya membangunkan kawasan yang ada kepentingan mereka di sekitar kawasan industri melombong bijih timah di Lembah Kinta, Taiping dan Bidor. Penduduk di sekitar tebing Sungai Perak termasuk Bota, Parit, Teluk Intan dan Bagan Datuk yang merupakan kawasan pertanian tidak dimajukan Inggeris seperti mana di tempat lain, Sistem pertanian sara hidup yang diamalkan penduduk tempatan menyebabkan mereka terus berada dalam kelompok kemiskinan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan.

Ketika Tan Sri Ramli Ngah Talib menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah dan Menteri Besar Perak sekitar 1983 hingga 1999, kawasan berkenaan mula mendapat perhatian dan dibangunkan dengan pesatnya. Infrastruktur seperti jalan raya, pembinaan sekolah dan pembukaan tanah terbiar secara ladang melalui agensi Felcra mula digiatkan. Corak ekonomi pertanian penduduk tempatan bertambah baik apabila sebahagian mereka dipindahkan ke Rancangan Pembangunan Tanah Felcra Seberang Perak dan Cangkat Lada dengan mengusahakan tanaman padi dan kelapa sawit secara estet. Penduduk tempatan mula menebang pokok getah yang harga susunya turut jatuh teruk ketika itu dan menggantikannya dengan tanaman kelapa sawit.

Pembinaan beberapa sekolah menengah memberi peluang anak tempatan belajar ke peringkat lebih tinggi dan berjaya menyertai kerjaya makan gaji di sektor awam dan swasta. Penduduk juga mula menanam pokok durian dan kelapa sawit atas tanah sendiri secara besar-besaran bagi meningkatkan hasil pendapatan keluarga. Apabila berlaku lambakan hasil durian yang mempengaruhi harganya semakin menurun, mereka menukarkannya kepada pokok kelapa sawit. Sehubungan itu harga durian kembali stabil di samping harga kelapa sawit juga kian meningkat.

Bagaimanapun pada 2014, kebanyakan pokok durian musnah akibat banjir yang berlaku dalam jangka masa agak panjang. Oleh itu mereka terpaksa hidup bergantung kepada hasil kelapa sawit yang memberikan pulangan lumayan sebelum pilihan raya 2018.

Tanpa diduga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), harga kelapa sawit jatuh merudum apabila China mengurangkan import minyak kelapa sawit ke negara berkenaan. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba sedaya upaya menyelamatkan keadaan dan meningkatkan semula harga komoditi ini. Namun belum menunjukkan tanda-tanda yang lebih positif.

Apa pun, kerajaan harus terus berusaha tanpa jemu meningkatkan permintaan minyak kelapa sawit di peringkat antarabangsa agar harganya meningkat dan stabil, sekali gus mengeluarkan rakyat di luar bandar daripada kepompong kemiskinan tegar.

DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah perunding media dan penyelidik sains politik tanah air