Bagaimanakah nasib 112, 635 peneroka dan keseluruhan 2.6 juta warga tanah rancangan itu kerana kemelut hutang, pinjaman tidak dibayar menghantui Felda sehingga dikatakan tidak mempunyai aliran tunai?

Beberapa pihak sebelum ini menagih tindakan segera daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar segera menyusun langkah memulihkan Felda berbanding hanya mendedahkan penyelewengan yang berlaku dalam agensi tersebut.

Peneroka amat berharap kemelut dan permasalahan yang melingkari Felda selama ini agar dapat jalan penyelesaiannya. Kertas putih ini sudah tentu berdasarkan diagnosis atau ‘bedah siasat’ yang dijalankan ke atas Felda harus dibentangkan kepada warganya dengan telus.

Semua masalah Felda termasuk isu perumahan generasi kedua, hutang peneroka Felda serta pembangunan infrastruktur serta governan terhadap Felda sendiri pastinya menjadi intipati penting dalam agenda Felda Baharu.

HUTANG TERTUNGGAK

Warga Felda juga mahukan pelan rancangan untuk pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang, atas nama penjenamaan Felda Baharu. Dalam hal ini, kerajaan perlu berterus terang berdasarkan fakta dan data.

Biarlah segalanya dapat dicari jalan keluar terutamanya berkaitan dengan ‘hutang tertunggak’ yang ditanggung oleh peneroka. Peneroka juga perlu memahami beberapa kekangan yang timbul oleh pihak Felda dalam menangani isu ini. Peneroka juga perlu lebih bersedia dan tidak meminta-minta dan faham kedudukan kewangan Felda.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diyakini masih mampu menterjemahkan komitmen mereka melaksanakan dua janji berkaitan Felda seperti terkandung dalam manifesto parti itu walaupun masih lagi tidak memenuhinya dalam tempoh 100 hari.

Begitu juga dalam proses berhubung janji menghapuskan hutang, tidak wajar peneroka menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal Felda, namun peneroka dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masih menaruh harapan terhadap kerajaan.

Untuk rekod, ketika pembentangan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang menjanjikan pemansuhan 50 peratus hutang peneroka Felda, Mohamed Azmin dalam satu laporan sebelum ini menyatakan kerajaan sedia memansuhkan semua hutang yang tidak wajar sahaja.

Malahan ujar beliau, kerajaan perlu baca konteks sepenuhnya dalam manifesto PH dan adalah tidak wajar dihapuskan semua hutang Felda kerana ia satu akad yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam Islam. Selain itu, Felda hanya menghapuskan kadar faedah hutang peneroka dan itu pun ikut keadaan ekonomi semasa.

 

KERTAS PUTIH

Dalam kenyataan pada 9 Ogos lalu, Mohamed Azmin berkata, tumpuan segera Lembaga Pengarah dan pengurusan baharu Felda adalah memulihkan aliran tunai melalui perbincangan dengan pemiutang, bagi menstruktur semula pinjaman agensi itu yang sudah mencecah RM8.025 bilion.

Dalam hal ini pengurusan tertinggi Felda perlu memastikan terlebih dulu penyata hutang peneroka dimuktamadkan bagi mengetahui jumlah sebenar.

Menurut Pengurus Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar, peneroka berhutang dengan Felda mencecah RM7.5 bilion. Dianggarkan keseluruhan hutang peneroka yang telah dimuktamadkan bernilai RM5.5 bilion manakala RM2 bilion belum dimuktamadkan.

Tetapi dari sudut mekanismenya mestilah melalui proses pembentangan penyata sebenar yang perlu mendapat persetujuan Felda dan peneroka. Selagi penyediaan penyata sebenar gagal dikemukakan, kerajaan tidak boleh mengumumkan pemansuhan hutang.

Mungkin juga Kertas Putih ini akan dibuat secara berperingkat, bukan selesaikan masalah sekali gus. Kerajaan perlu bersikap adil kepada peneroka, jangan ambil alasan hutang negara sehingga peneroka menanggung beban yang ditanggung selama ini.

GLAMOUR

Dengan kejatuhan harga komoditi khususnya getah dan kelapa sawit, ia telah memberi impak besar Felda itu sendiri. Harga getah sebenarnya ditentukan oleh pasaran global. Malahan kejatuhan harga getah juga menjadi isu besar kepada penoreh di Thailand, Indonesia, India dan pengeluar getah lainnya.

Maka pembaharuan dan penjenamaan Felda perlu memperkenalkan teknologi baharu industri pertanian. Contohnya, teknologi mengutip buah menggunakan mesin. Kurangkan kebergantungan pengutip buah warga asing.

Selain merancang mengenai tenaga kerja yang akan mengusahakan tanaman dan pengurusan ladang. Ini disebabkan peneroka terdiri daripada warga tua dan kekurangan pekerja dan tenaga anak muda mengusahakan ladang mereka.

Harapan kita agar jadikan Felda sebagai industri perladangan moden yang mempunyai status yang lebih baik dan berjaya. Kita perlu promosikan kerja dalam industri pertanian dengan penggunaan teknologi baharu secara lebih sistematik.

Paradigma Felda baharu juga diharapkan merubah pemikiran dan nilai yang diletakkan terhadap pekerjaan sebagai peneroka. Diharapkan agar menjadikan industri ladang kelapa sawit atau ladang getah itu satu kerjaya dibanggakan dan kelihatan glamor.

Apatah lagi dengan penggunaan teknologi terkini di ladang Felda meletakkan industri perladangan ini setanding seperti di negara maju.

Rata-rata pekerja ladang di luar negara seperti di Australia, New Zealand dan lainnya berbangga apabila mereka menguruskan ladang sehingga ia diminati oleh generasi muda.

Rakyat khususnya peneroka Felda ternanti-nanti kertas putih akan dibentangkan Rabu ini untuk mengetahui hala tuju dan perancangan masa depan dan segala isu terperinci mengenai masalah serta usaha-usaha kerajaan bagi menanganinya.

Mereka masih optimis akan wujud sinar baharu dalam menyelesaikan kekusutan dan kemelut yang selama ini membelenggu dan menghimpit kehidupan peneroka.

Profesor Madya Datuk Dr. Ismail Sualman

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara.