Penguatkuasaan kerajaan itu bertujuan menjaga kebajikan rakyat negara ini daripada terus menjadi mang­sa kepada pemandu mabuk dan yang memandu secara berbahaya. Penyebaran pelbagai jenis fitnah juga dikesan berpunca daripada telefon bimbit, terdapat segelintir mahasiswa dan pelajar sekolah yang mendera serta membuli sesama mereka hingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

Terdapat juga restoran tidak menjaga kebersihan juadah hingga berlaku banyak kes keracunan makanan, sementara itu terdapat pemilik pasar raya dan pasar malam menaikkan harga barangan dengan sesuka hati, manakala terdapat kedai dobi 24 jam menjadi tempat lepak remaja kerana wujudnya kemudahan Internet berkelajuan tinggi.

Sebagai tambahan, jika ada kepemimpinan kerajaan yang sedang memerintah menerima rasuah, maka haram­kan terus parti politik yang diwakilinya, bubar kerajaan dan buat pilihan raya umum baharu. Boleh?

Penulis ingin bertanya, bolehkah tindakan seperti di atas dilaksanakan? Ia tidak mustahil jika pendekatan berpilih-pilih semberono dilakukan tanpa terlebih dahulu kajian secara holistik dilakukan. Untuk berlaku adil, jika cada­ngan agar semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup kerana kononnya tidak memberikan harapan masa depan kepada generasi baharu Islam, maka alasan dangkal sama seperti disebutkan di atas juga wajar diambil perhatian serius oleh kerajaan. Untuk menyenangkan cerita, haramkan semua!

Berdasarkan pengalaman penulis yang diberikan nikmat nyawa oleh Pencipta lebih daripada 40 tahun, setiap sesuatu yang berlaku di atas dunia ini ada kaedah kitaran alam yang perlu dipatuhi. Tidak boleh semuanya mahu dipukul borong. Contohnya, adakah logik bayi yang baru lahir terus dipaksa oleh ibu bapa untuk terus membaca buku, bayi itu dirotan kerana gagal mencapai kehendak penjaganya? Apabila ditanya, pendekatan luar kotak jawapannya atau pendekatan tiada otak sebenarnya.

Kaedah terbaik menangani masalah bukan dengan me­larikan diri tetapi perlu menghadapinya. Selaju mana berlari, maka sederas itulah masalah akan tetap mengekori rapat dari belakang. Tindakan menutup atau mencantas terus institusi keagamaan tidak semestinya menjadi langkah penyelesaian terbaik, malah dikhuatiri bakal menambahkan lagi kemudaratannya.

Aplikasi media sosial sebagai contoh dicipta untuk menghubungkan manusia tetapi kerana tiadanya kebijaksanaan, maka ia dibanjiri dengan pelbagai fitnah yang langsung tidak terjangkau oleh akal waras. Sama juga dengan situasi senjata canggih yang dibangunkan untuk mempertahankan diri dan negara, namun disalahgunakan untuk membunuh jutaan manusia tidak berdosa.

Sebab itulah manusia dikurniakan akal yang waras untuk memanfaatkan kebijaksanaan atau hikmah (wisdom) yang dianugerahkan Allah kepadanya.

Pusat tahfiz yang telah wujud sejak 1961 sehingga kini dianggarkan berjumlah 1,281 buah maahad tahfiz di seluruh negara dengan pelbagai pembaharuan untuk memperkasakannya seiring dengan tuntutan semasa, duniawi dan ukhrawi.

Antaranya, pewujudan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara oleh kerajaan pada 2016 untuk mengangkatnya masuk ke dalam arus pendidikan negara. Maahad Tahfiz Sains juga telah melahirkan ramai graduan huffaz dalam bidang profesional seperti perubatan dan kejuruteraan.

Sistem sekolah tahfiz diakui ada kekurangan. Ini lazim kerana ciptaan manusia jauh daripada kesempurnaan berbanding Pencipta manusia itu sendiri. Jika ada kelemahan, sepatutnya perlu bersama-sama perbaiki, insya-Allah kerja-kerja agama bakal dikurniakan ganjarannya di akhirat kelak.

Kita semua bakal menjadi arwah yang semestinya memerlukan bantuan orang lain untuk dikebumikan, di alam barzakh nanti ‘mata wang’ perbelanjaan adalah melalui amalan semasa di dunia. Tetapi, jika selepas mati, dapat bangun untuk gali kubur, tanam diri dan baca talkin semuanya dilakukan sendiri...maka silalah berlagak sombong!