Selang beberapa hari sahaja selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017 memperakukan sebulat suara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak dicabar dalam pemilihan parti akan datang, di sebuah bahagian di Perak masih bergelut dengan ‘kesamaran’.

Di bahagian berdekatan de­ngan Selangor itu, ketua bahagiannya sibuk meraikan perwakilan dan pemerhati bahagian sebelum malam berikutnya, timbalan ke­tua bahagiannya pula tanpa kelibat si ketua, menganjurkan majlis untuk Pemuda dan Puteri sahaja. Bahkan, undangan ke majlis timbalan ketua bahagian itu dibuat secara berpilih-pilih pula.

Gejala bagaikan ‘lahar Gunung Agung di Bali sebelum meletus’ inilah yang menghairankan. Malah cukup membimbangkan penulis sedangkan isu kepimpinan UMNO Pusat telah disepakati oleh orang nombor satu (Najib), dua (Ahmad Zahid) dan ketiga (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein).

Bukankah dalam tempoh beberapa bulan ini UMNO akan berdepan dengan satu peristiwa besar, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) - bapa segala pilihan raya? Sedih! Mengapa kesepakatan di peringkat Pusat ini tidak dijelmakan di bahagian?

Takkanlah ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian yang penulis tidak namakan bahagian terbabit ‘buta’ atau sengaja buat tak nampak kemesraan tiga orang penting UMNO berkenaan hadir menyertai Pertandingan Golf Piala Ahmad Zahid Hamidi 2017 di The Mines Resort & Golf Club sehari selepas perhimpunan agung parti selesai?

Kelibat Hishammuddin yang berjiwa besar disertai 129 peserta terdiri daripada barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan pimpinan seluruh negara, menyertai Najib yang diiringi Ahmad Zahid melakukan tee-off pada pukul 8 pagi Ahad berkenaan, sekali gus memulakan pertandingan.

Timbalan ketua bahagian ber­kenaan belajarlah daripada Ahmad Zahid - sebagai orang nombor dua untuk membantu ketua tanpa sebarang syarat. Memberi wala’ sepenuhnya.

Begitupun ketika menukilkan kemelut di bahagian tertentu yang tidak enak ini, penulis dimaklumkan satu berita lagi yang kurang molek di Sabah. Dikatakan sentimen anti-Semenanjung agak agresif digerakkan terutama dalam kalangan geng-geng yang keluar dari DAP dan PKR untuk bersekongkol dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Dari segi kerja keras Kerajaan Pusat memajukan Sabah dan Sarawak memang tidak dapat dipertikaikan. Pusat melalui komitmen tinggi Perdana Menteri dalam Bajet 2018 menyediakan peruntukan RM6.5 bi­lion untuk pembinaan infrastruktur asas terutama luar bandar di ke­dua-dua negeri itu.

Daripada jumlah itu, RM2 bi­lion adalah untuk projek Le­buh Raya Pan Borneo dengan semua 11 pakej pembinaan sudah diagihkan di Sarawak manakala lima daripada 35 pakej Fasa Pertama di Sabah sudah dianugerahkan dan 12 dalam proses tender

Cuma berbeza di Semenanjung, situasi politik di Sabah yang terbaharu, lain lagak tarinya. Dikatakan, lagi luar bandar, lagi kuat pula pengaruh pembangkang. Inilah yang menjadi topik perbualan dengan sentimen Sabah for Sabahan berlegar dalam kalangan Kadazandusun atau KDM (Kadazan, Dusun, Murut)

Ia seolah-olah pembangunan yang dibawa masuk Kerajaan Pusat tidak ada makna. Malah ko­nonnya Sabah dianaktirikan.

Bukankah keterbukaan Najib apabila bercakap isu-isu sensitif termasuk berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) belum pernah lagi dilihat dalam kalangan Perdana Menteri sebelum ini, khususnya yang berkuasa selama 22 tahun itu?

“Berhubung dengan MA63, saya tidak berhak untuk mengambil hak rakyat Sabah dan kalau kita terambil dahulu, kita kena pulangkan,” demikian ditegaskan beliau ketika menyampaikan ucapan sempena kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-32 pada 18 November lalu. Juga ditegaskan sekali lagi pada ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO pada 9 Disember lepas.

Harus diingatkan, sentimen Sabah for Sabahan di kawasan luar bandar di negeri berkenaan tidak boleh diremehkan.

Bukan mudah untuk memastikan 21 kerusi Parlimen yang diperoleh BN Sabah dalam PRU-13, ditambah ke 24 atau kesemua 25 kerusi disapu. Di peringkat kerusi DUN pula, laluan masih berliku untuk menambah 48 kerusi yang dimenangi - melepasi 50 kerusi daripada keseluruhan 60 kerusi.

Adakah kemelut yang melanda PKR dan DAP di Sabah memboleh­kan BN tidur lena? Tidak sama sekali kerana senario politik di Sabah agak unik. Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membuktikan tiada yang mustahil.

Datuk Harris Salleh yang me­nubuhkan Parti Berjaya baharu dua bulan pada 1973, berhasil menewaskan parti USNO pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Kemudian, Datuk Joseph Pairin Kitingan yang keluar beramai-ramai bersama pemimpin Kadazandusun lain dari Berjaya membentuk PBS. Hanya tiga bulan beroperasi, PBS menumbangkan Parti Berjaya dalam pilihan raya negeri 20-21 April 1985.

Datuk Lajim Ukin, pemimpin-pemimpin PKR dan DAP lain yang keluar parti pasti bergabung dengan Mohd. Shafie. BN negeri diketuai Datuk Seri Musa Aman dan barisan kepimpinannya ja­ngan ambil mudah.

Waima apa sekalipun - sama ada kemungkinan pergeseran orang nombor satu dan dua di bahagian berdekatan Selangor tadi atau ‘letusan sentimen luar bandar’ di Sabah - eloklah dihindari kewujudan kem-kem dalam UMNO.

AHMAD FARIS ABDUL HALIM
Penganalisis isu-isu semasa