Bro bersimpati dengan lelaki atau wanita yang tidak dapat bersatu kerana masalah seumpama itu. Bro tak kata wang hantaran tidak perlu diberikan kepada pengantin perempuan tetapi berpada-padalah.

Sudah banyak cerita yang kita dengar bagaimana ada terpaksa menipu apabila gagal menyediakan wang hantaran, apa yang Bro sedih itu majoritinya melibatkan orang Islam. Bro bukan ustaz tetapi Bro pun faham Islam tidak pernah menyusahkan dalam bab kahwin ini.

Tetapi malangnya ada dalam kalangan orang kita yang masih meletakkan nilai hantaran tinggi, kadang kala Bro terfikir mereka nak jual anak ke atau nak bagi anak menikah. Sepatutnya ada tolak ansur dan kompromi.

Bro tahulah sekarang ini ekonomi tengah tak stabil, harga barang pun mahal tetapi takkanlah letak jumlah wang hantaran terlalu tinggi sampai bakal pengantin lelaki pun tidur tak lena? Cantik sangatkah anak kita tu sampai kena bagi hantaran tinggi? Hebat sangatkan gadis tu?

Buat apa letakkan hantaran tinggi lepas tu bila berkahwin rumah tangga jadi porak peranda kerana masalah kewangan. Masa tu jangan salahkan lelaki sebab keluarga perempuan gatal letak hantaran mahal-mahal tu buat apa?

Adakah kita boleh beri jaminan anak perempuan kita itu boleh bagi kebahagiaan dunia dan akhiratnya kepada pasangan dan anak mereka nanti. Kalau setakat bergantung muka sahaja cantik, goreng telur pun hangus, apa faedahnya? Dan paling penting boleh ke si perempuan itu ajar anak-anak mengaji al-Quran dan mempunyai ciri-ciri jadi isteri solehah.

Bro setuju kalau lelaki tu berkemampuan tetapi yang Bro kasihan lelaki-lelaki biasa. Mereka terpaksa berhutang untuk bagi hantaran. Bila kahwin pula kena makan kat luar sebab si isteri nak masak nasipun lembik! Harap muka sahajalah.

Jadi Bro minta kepada keluarga perempuan, agak-agaklah kalau nak letak wang hantaran. Kasihan kat anak-anak, mereka dah bercinta bagai nak `rak’ ke hulu ke hilir bersama-sama macam belangkas tetapi akhirnya tak dapat kahwin.

Apa yang Bro pelik itu ada juga perempuan yang setuju keluarga dia letak hantaran mahal walaupun dia tahu, kekasih atau bakal suami dia tu naik motosikal kapcai sahaja. Patutnya dia sedarlah buat apa hantaran mahal, buat kenduri besar-besar, bila hidup sebagai suami isteri nanti sengsara.

Oleh itu kepada gadis-gadis dan keluarga mereka, bertimbang rasalah bila nak letak jumlah wang hantara. Jangan seksa mereka yang nak berkahwin, wang memang penting tetapi ia bukanlah jaminan kebahagiaan sebuah rumah tangga.

Kena ingatlah bila kita dah letak hantaran tinggi, esok kalau menantu kita buat yang bukan-bukan kat anak kita jangan marah sebab puncanya kita sendiri yang cari pasal mengukur segala-galanya dari segi material.

Tengok-tengoklah anak kita tu sesuai atau tidak dikenakan hantaran mahal. Kalau mukapun harap kat alat solek saja, kemas rumahpun pemalas, masakpun tak pandai, tak payahlah letak nilai hantaran macam nak jual anak. Kalau rasa anak kita hebat sangat, timbang kilo sahaja lagi bagus, mungkin itu lebih untung. Apa nak jadi selepas itu jangan menyesal!

Bro - tak suka jual-jual.