Bagi sesetengah orang kampung, ia bukan sesuatu yang asing dan telah digunakan sejak turun temurun untuk mengembalikan kesegaran tubuh umpama energy booster atau tonik, setelah sehari suntuk bekerja di ladang atau ke laut, membanting tulang empat kerat untuk mencari rezeki me­nyara keluarga.

Dalam kalangan orang bandar pula, yang baru mendengar nama daun ketum, ia sudah cukup untuk membawa konotasi yang menjijikkan, dadah yang berupaya melakukan pelbagai kemusnahan kepada diri mereka yang menggunakannya.

Bagaimanapun, dalam kalangan ahli sains pula, daun ketum adalah herba yang mempunyai nilai perubatan dan ia telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Melalui kajian yang dijalankan itu juga mendapati kandungan kimia dalam daun ketum bernilai tinggi.

Di Kalimantan Indonesia, kha­barnya, bahan yang sama dieksport ke Eropah dan ia menjana pendapatan berjumlah RM10 juta sebulan.

Menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan, pokok ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa adalah sejenis tumbuhan liar di sekitar kampung dan ia adalah daripada keluarga Rubiaceae.

Tumbuhan ini banyak terdapat di negeri-negeri di utara dan Pantai Timur Semenanjung.

Pokok ketum boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter dan garis pusat batang pokok boleh mencapai sehingga satu meter. Bahagian yang digunakan daripada pokok ketum adalah daunnya.

Umumnya air rebusan daun ketum digunakan secara tradisional untuk mengeluarkan angin da­lam badan, meningkatkan tenaga untuk melakukan kerja berat.

Malahan, laman web itu turut menyebut, air daun ketum juga digunakan sebagai ubat tradi­sional untuk merawat sakit belakang, demam, batuk dan penyakit cacing serta sebagai penawar diabetes, darah tinggi dan lain-lain.

Namun air daun ketum disalahgunakan oleh penagih dadah berikutan mengandungi bahan-bahan psikoaktif mitragynine yang memberi kesan stimulan, sedatif dan euphoria yang boleh menyebabkan penagihan.

Awal Disember lalu, sekumpulan penyelidik daripada Pusat Dadah dan Ubat-ubatan (CDR), USM telah mengadakan seminar bagi merungkai bukti saintifik mengenai daun ketum dan kandungan bahan kimia yang terdapat di dalamnya.

Menurut laporan, pakar-pakar CDR USM bersependapat ketum berpotensi menggantikan penggunaan methadone dalam me­rawat ketagihan dadah khusus­nya dalam kalangan mereka yang mahu berhenti menggunakan bahan terlarang itu.

Polemiknya berlaku apabila Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan mengusahakan tanaman ketum secara terkawal untuk tujuan eksport.

Usaha secara komersial tamanan tersebut dilakukan bagi meningkatkan pendapatan pekebun getah yang kini sedang melalui zaman suram apabila harga komoditi itu kini diparas rendah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar dilaporkan sebagai berkata, di Kalimantan, eksport daun ketum ke Eropah telah menjana pendapatan sekitar RM10 juta sebulan.

“Jika kerajaan benarkan penanaman ketum secara terkawal, RISDA yakin dapat membantu pekebun kecil memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan, sekali gus menjimatkan wang agensi itu sebanyak RM130 juta untuk membantu golongan berkenaan ketika harga getah jatuh,” kata Zahidi pada satu majlis RISDA di Padang Besar akhir tahun lalu.

Pada masa sama, Zahidi turut dilaporkan sebagai berkata, kerajaan boleh memperoleh kutipan cukai daripada hasil eksport daun ketum dan pendapatan itu boleh digunakan sebagai dana untuk memerangi masalah penyalahgunaan dadah di negara ini.

Bagaimanapun, cadangan RISDA itu tidak dipersetujui oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Azlan dilaporkan menolak cadangan agar tanaman ketum dikomersialkan walaupun secara terka­wal atas alasan khuatir ia akan menyebabkan masalah sosial akibat penyalahgunaan bahan itu.

Beliau juga dilaporkan mahu supaya ketum yang diletakkan bawah Akta Racun 1952 ditukar kepada Akta Dadah Berbahaya 1952.

Isu daun ketum menarik untuk diikuti bagi mengetahui apa kesudahannya.

Hasrat Zahidi untuk ‘menghalalkan’ ta­naman ketum dibuat secara terkawal adalah untuk membantu pekebun getah meningkatkan pendapatan selain mengurangkan per­belanjaan RISDA yang bukan kepalang jumlahnya setiap tahun.

Pada masa sama, pandangan Azlan juga tepat ke­rana ketum memang telah diisyti­harkan dadah berbahaya yang boleh mencetuskan kemudaratan sosial jika ia disalahgunakan.

Penulis tertanya-tanya apakah jalan keluar kepada polemik ini.

Apakah isu penagihan ketum ini hanya terjadi di Malaysia sahaja? Di Kalimantan bagaimana?

Jika pihak berkuasa ‘menghalalkan’ penanaman pokok ketum secara terkawal, apakah negara boleh melihat kelahiran ramai jutawan-jutawan baharu yang menjadi pengeksport daun ketum.

Bagaimanapun biarlah pertimbangan yang wajar dibuat.

Antaranya, membantu pekebun getah yang perlu diutamakan atau berdepan risiko penyalahgunaan jika ketum ini jatuh ke ta­ngan mereka yang tidak bertanggungjawab.