Setakat ini PBB mempunyai lebih dari 550 konvensyen dan perjanjian dan salah satu daripadanya ialah Konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) yang telah diluluskan ketika Mesyuarat Agung PBB (UNGA) 1989. Konvensyen ini dianggap paling mudah dan pantas dipersetujui oleh negara ahli dan secara logiknya sepatutnya mendapat sokongan 100 peratus. Tetapi sehingga hari ini Amerika Syarikat (AS) masih gagal mengesahkan (ratifikasi) secara rasmi perjanjian yang memberi jaminan hak kanak-kanak dalam perkara membabitkan politik, ekonomi, sosial, kesihatan dan kebudayaan. Malaysia telah mengesahkan perjanjian ini sejak 1995 lagi.

Antara sebab utama mengapa AS enggan mengesahkan UNCRC adalah kerana berpendapat konvensyen ini akan menghakis kedaulatan negara mereka dan pandangan sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa dalam kalangan ahli Kongres AS yang begitu curiga terhadap organisasi seperti PBB. Menjadi prinsip kebanyakan ahli Kongres bahawa AS akan hanya mengesahkan perjanjian antarabangsa jika ia tidak menongkah arus kehendak Perlembagaan AS, iaitu kepentingan rakyat dan negara mereka diutamakan.

Begitu juga dengan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang diperkenalkan pada UNGA 1979 dan sehingga kini telah disahkan oleh 189 negara termasuk Malaysia juga mempamerkan pendirian janggal kerana AS bersama-sama dengan Iran, Palau, Somalia, Sudan dan Tonga enggan mengesahkan perjanjian ini.

Seperti mana keengganan AS mengesahkan UNCRC kerana khuatir konvensyen tersebut akan menghakis kedaulatan negara mereka, dalil yang serupa digunakan untuk CEDAW terutama sekali dalam hal yang membabitkan isu wanita dalam membuat keputusan bersabit bayi dalam kandungan.

Bukan sahaja konvensyen yang berkait dengan hak asasi di mana AS berada dalam keadaan yang janggal dalam kalangan negara maju lain, AS juga enggan mengesahkan beberapa perjanjian berkaitan keselamatan antarabangsa. Paling ketara kedegilan AS mengesahkan Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) padahal AS dianggap sebagai kuasa besar yang pasti terbabit dalam persengketaan berkaitan maritim walau di mana sekali pun.

Seperti mana dalil kedaulatan yang terhakis dan sering digunakan AS bila enggan mengesahkan konvensyen antarabangsa, sebab yang sama juga diguna pakai dalam kes UNCLOS. Masalahnya ialah walaupun AS bukan sebahagian negara ahli UNCLOS tetapi dalam setiap pertikaian maritim yang mereka terlibat secara langsung atau tidak, AS sering menjadikan UNCLOS sebagai bahan rujukan mereka.

Ambil contoh pertikaian sempadan maritim Laut China Selatan antara empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam dengan kuasa besar China yang secara asasnya tidak melibatkan AS secara langsung. Penyelesaian melalui penggubalan Kod Tatalaku (CoC) yang berasaskan peruntukan UNCLOS pada ketika ini sedang diperhalusi di antara ASEAN dan China. Bukan menjadi rahsia lagi AS sering menyerapkan pengaruh mereka dalam ASEAN untuk campur tangan secara tersirat dalam rundingan CoC.

Ironisnya China dilihat begitu berat untuk menerima peruntukan UNCLOS dalam rundingan CoC sedangkan China adalah negara ahli UNCLOS manakala AS yang menolak UNCLOS cuba memaksa ASEAN dan China menerima sepenuhnya penggunaan UNCLOS dalam CoC.

Tidak menghairankan mengapa AS menarik diri dari Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPP) kerana Washington berpendapat penyertaan AS tidak memberi manfaat dari segi ekonomi. Begitu jua apabila Qatar membuat keputusan untuk keluar dari menjadi anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), berkemungkinan juga keputusan tersebut ada kena mengena dengan geopolitik rantau Arab atau pun kerana kepentingan ekonomi negara teluk tersebut.

Tetapi hakikatnya adalah setiap negara berhak membuat keputusan mengenai status penyertaan konvensyen atau perjanjian antarabangsa kerana paling penting adalah kedaulatan negara dan kepentingan rakyat masing-masing mesti didahulukan walaupun negara terbabit akan dituduh sebagai tidak menghormati suara majoriti masyarakat antarabangsa.