Ini kerana Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah lama menggesa pihak berkuasa sejak empat dekad lalu supaya mengambil langkah tegas untuk mengawal penjualan arak tetapi gesaan itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan. Sebenarnya sudah menjadi pengetahuan umum sejak sekian lama bahawa ada sesetengah kedai menjual arak seludup.

Kejadian keracunan metanol ini bukanlah yang pertama kali berlaku di negara ini kerana kejadian sedemikian telah dilaporkan pada 1977 yang menyebabkan 18 kematian, 1979 (21 kematian) dan 1981 (32 kematian). Sebab kepada kejadian ini adalah arak telah dicampurkan dengan metanol murah tetapi beracun (yang dijual secara komersial dengan nama methylated spirit).

Pada 2005, rakyat Thailand keluar beramai-ramai ke jalan raya di Bangkok untuk membantah terhadap permohonan bagi penyenaraian di pasaran saham oleh syarikat pembuat bir terbesar negara itu. Mereka berjaya setelah permohonan syarikat berkenaan ditolak.

Tindakan itu kerana rakyat Thailand menyedari kesan buruk ketagihan arak yang boleh menyebabkan keluarga berpecah-belah, meningkatnya kadar kemalangan yang berpunca daripada pemandu mabuk dan kes-kes pergaduhan yang berlaku selepas mengambil alkohol.

Seperti rakyat Thailand, penduduk Malaysia seharusnya mengambil berat mengenai isu ini dan bukannya mengambil sikap ‘tidak apa’. CAP merayu kepada pembuat dasar supaya menggubal undang-undang yang lebih ketat dan tegas bagi mengawal penjualan arak memandangkan sekarang kita boleh melihat kedai arak semakin banyak dibuka dan beroperasi dengan kawalan sedikit oleh pihak berkuasa.

Walaupun kerajaan menaikkan had usia minimum yang dibenarkan bagi pengambilan arak daripada 18 kepada 21 tahun pada 1 Disember 2017, langkah itu tidak menangani masalah yang berkaitan dengannya. Contoh yang jelas adalah sukar untuk memantau jika kedai runcit yang menjual arak mematuhinya untuk membuat pengesahan usia pembeli muda yang mencurigakan.

Perangkaan di Malaysia menunjukkan pengambilan arak perkapita (liter setahun) semakin meningkat daripada 0.8 liter pada 2005 kepada 1.7 liter pada 2015. Mereka berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan tinggal di kawasan luar bandar cenderung untuk membelanjakan lebih banyak daripada pendapatan ke atas arak berbanding penduduk bandar pada 2016. Daripada penduduk bandar yang mengambil arak, kumpulan usia termuda yang dikesan adalah antara 13 hingga 14 tahun.

Ia satu perkembangan yang amat membimbangkan disebabkan mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 adalah dalam kategori isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Tabiat minum arak akan menjejaskan perbelanjaan mereka ke atas makanan dan keperluan lain bagi keluarga. Menurut laporan 2016, rakyat Malaysia membelanjakan lebih daripada RM2 bilion ke atas arak setiap tahun, menjadikan kita pengguna ke-10 terbesar di dunia.

Pengambilan arak menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Majlis Keselamatan Jalan Raya turut menganggarkan memandu ketika mabuk menyebabkan 30 peratus daripada kemalangan jalan raya di negara ini dengan 38 peratus mengakibatkan kematian.

Sehubungan itu, CAP mencadangkan:

• Kedai menjual arak tidak dibenarkan dalam lingkungan 500 meter daripada sebarang kawasan perumahan, hospital, institusi agama dan pendidikan.

• Arak seharusnya tidak dijual di Perwira Niaga Malaysia (Pernama) iaitu kedai runcit yang memberikan perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia sejak 1983.

• Waktu operasi kedai yang menghidangkan arak mestilah dihadkan contohnya dari pukul 1 petang hingga 9 malam, dan perabot seperti meja dan kerusi tidak ditempatkan di luar kedai (termasuk kaki lima jalan).

• Memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi mereka yang menjual arak campuran atau yang diseludup yang mana dutinya tidak dibayar.

• Mengenakan ‘cukai dosa’ (sin tax) ke atas arak (sama seperti yang dikenakan kepada rokok) dan hasil cukai ini digunakan untuk tujuan promosi kesihatan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MHPB).

• Melarang penjualan arak dan rokok bebas cukai termasuk di lapangan terbang.

• Mengharamkan sepenuhnya iklan arak.

Pengambilan arak perlu dihadkan bagi memastikan rakyat Malaysia lebih sihat.

PENULIS ialah Presiden CAP.