Laporan Digital 2017 menyebut, setelah lebih 25 tahun sejak Sir Timothy John Berners-Lee menghasilkan World Wide Web, internet kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian manusia sejagat bukan sahaja dalam hubungan sosial, tetapi juga terhadap pemba­ngunan ekonomi dan politik seluruhnya dalam pelbagai aspek.

Malah ada melihat pemba­ngunan pesat teknologi sedia ada telah melangkaui IR 4.0 de­ngan pelbagai cabaran sedangkan dahulu dianggap sebagai kisah sains fiksyen yang tidak dapat di­bayangkan orang. Dunia masa depan itu adalah masa kini yang akan segera menjadi tidak re­levan dalam beberapa tahun akan datang jika kita tidak bersedia dengan sewajarnya.

Internet menjadi keperluan baharu seperti juga pakaian, makanan dan tempat perlindungan dalam dunia hari ini. Sebahagian besar urusan pentadbiran, perniagaan dan pelbagai urusan menjadi kacau-bilau apabila ia tergendala atau ada pihak yang sengaja melumpuhkan sistem teknologi internet.

Rangkaian hotel terbesar di dunia kini dikendalikan melalui aplikasi yang membantu pengguna membuat pilihan termurah di pasaran. Perkhidmatan teksi konvensional semakin tidak relevan apabila Grab dan Uber menggunakan aplikasi di telefon pintar mengambil alih.

Kita kini boleh menyewa kenderaan tanpa bertemu penyedia perkhidmatan dengan menggunakan aplikasi seperti Go-Car, daripada membuat tempahan hinggalah kita mendapatkan kunci kereta, membayar secara atas talian dan mengembalikannya semula.

Beberapa tahun lalu penulis mencadangkan kepada pengusaha kafetaria dalam kampus untuk bergabung memberikan per­khidmatan penghantaran makanan menggunakan khidmat penghantar terutamanya pelajar secara sambilan kepada hampir 5,000 kakitangan universiti, dan lebih 10,000 pelajar sebagai strategi menghadapi persaingan untuk kekal relevan.

Malangnya cadangan ini tidak diterima dan sebahagian mereka kini telah gulung tikar. Hari ini terbukti khidmat penghantar makanan menjadi satu perniagaan besar menggunakan pelbagai aplikasi yang ada dengan promosi di media sosial.

Keselamatan siber menjadi antara isu penting organisasi perniagaan, pengurusan dan perkhidmatan yang memerlukan dana dan kepakaran untuk menghadapi serangan siber yang kerap dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Beberapa bulan lalu, apabila perkhidmatan satu aplikasi media sosial terhenti seketika, seluruh dunia menjadi kecoh dan me­laporkan begitu banyak perniagaan yang terjejas. Tentu sahaja kesannya juga amat besar terhadap budaya hidup manusia, ke­selamatan peribadi malah negara, politik, proses pendidikan dan pembelajaran serta perbankan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pusat Transformasi Insan Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia (USM).