Tarikh 16 Mei dipilih sebagai “Hari Guru” kerana pada tarikh inilah dalam 1956, Laporan Jawatankuasa Pelajaran yang dikenali sebagai “Laporan Razak” yang telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan telah diterima oleh Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu.

Objektif sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di negara kita adalah:

1. Menitikberatkan peranan guru da­lam pembinaan kebangsa­an, pembangunan negara dan per­khidmatan kepada ma­sya­rakat.

2. Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.

3. Memupuk semangat perpa­duan ikhtisas dan muhibah di an­tara guru.

4. Meninggikan martabat dan ta­raf guru dalam masyarakat.

5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru me­la­lui seminar, persidangan, me­­­­lanjutkan pelajaran dan sebagainya.

6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya pera­nan itu lebih berkesan.

Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Pemacu Transformasi Pendidikan.

Tema ini dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam menjayakan transformasi pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, guru ialah agen penting dalam merealisasi transformasi melalui peringkat akar umbi pendidikan. Pada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020), guru perlu memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi negara dapat dicapai de­ngan lebih cepat dan berkesan.

Guru berperanan menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan. Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat yang tinggi bagi memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasio­nal seperti yang dirangka dalam PPPM 2013-2025. Dalam usaha menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50), guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah menjadi negara maju yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.

Tema ini bertepatan dengan peranan guru sebagai pemacu dan penterjemah dalam usaha menuju dan mencapai matlamat dan hasrat Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Demi merealisasikan agenda transformasi pendidikan, pera­nan guru amat diperlukan berkor­ban masa serta menempuh pelbagai cabaran dalam menjayakan misi ini dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Prasyarat utama membina sebuah negara bangsa yang teguh, harmoni dan sejahtera dalam se­buah negara majmuk seperti Malaysia ini, adalah melalui pe­ngukuhan perpaduan, pembinaan identiti nasional, persefahaman dan saling meraikan kepelbagaian resam budaya dan keutuhan semangat kebangsaan bersesuaian dengan kepesatan pembangunan negara dalam menghadapi era dunia tanpa sempadan.

Peranan dan perjuangan guru telah terpahat dalam sejarah negara ini sebelum mencapai kemerdekaan lagi. Semangat perjuangan guru yang tulus gigih berjuang dan berani menentang pihak penjajah sentiasa terpahat dalam sejarah negara.

Kini, peranan guru telah ber­ubah kepada menyuntik perasaan perpaduan dan pembangunan negara, memperkukuh perkongsian nilai dan menyemarakkan lagi se­mangat patriotisme dan sifat cintakan negara dan bangsa dalam kalangan anak-anak kita. Sekolah-sekolah merupakan agen perpa­duan dan medan penyubur nilai sosial seperti semangat kekitaan, sifat toleransi, demokratik, saling hormat menghormati, taat setia kepada raja dan negara dan mempunyai keazaman untuk hidup bersama dengan bersepakat, rukun dan harmoni dalam masyarakat majmuk negara Malaysia.

Guru merupakan penggerak kepada pembangunan pendidikan dengan menyahut cabaran transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Menerusi transforma­si tersebut, peradaban bangsa boleh diperkukuhkan lagi melalui penghasilan modal insan yang dinamik. Guru juga berperanan memastikan generasi muda diberikan pendidikan berkualiti seiring era kemajuan terkini. Warga pendidik perlu melestarikan pembangunan profesionalisme bagi menyokong usaha pelaksanaan transformasi pendidikan negara ini. Melalui pendidikan berkualiti dan mantap, kita dapat menghasilkan murid bertaraf dunia dan mempunyai pemikiran kritikal abad ke-21 sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Kerjaya guru masa kini memerlukan guru sentiasa me­lakukan anjakan minda dan per­u­bahan budaya kerja dengan memperbaharui pengetahuan dan mempertingkatkan kemahiran me­lalui pembelajaran berterusan. Akhlak dan budi pekerti yang telah dipelihara sekian lama ini perlu kita teruskan supaya guru terus dipandang tinggi dan menjadi teladan kepada anak didik dan masyarakat. Kita juga perlu menyayangi profesion keguruan kerana bakti luhur dan jasa murni guru sesungguhnya tidak terbalas.

Tanggungjawab kita sememangnya semakin hari semakin kompleks serta mencabar selaras dengan perkembangan yang amat pesat pada masa kini. Setiap ge­rak laku, tutur bicara dan tindakan para guru sentiasa menjadi perhatian dan dinilai oleh masyarakat. Marilah kita bersama-sama memastikan martabat profesion keguruan dipelihara, disanjung dan sentiasa dipertingkatkan. Jasa dan pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan segunung intan dan emas permata.

Guru itu umpama lautan luas

Menghampar ilmu tak terluas

Bagai hempasan keras gelombang

Kepada murid mendamai tenang

Guru itu laksana gunung agung

Tinggi berbukit sabar iktibar

Persis batu dan pasir terdampar

Tugasnya mulia mendidik 
me­­ngajar

Selamat “Hari Guru” kepada semua kaum guru dan warga pendidik di Malaysia.

PENULIS ialah pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu.