Pernah memegang jawatan tertinggi di Kedah pada suatu masa dulu, beliau (yang rapat dengan istana Kedah) boleh merasakan keresahan yang timbul baru-baru ini akibat tindak tanduk beberapa individu menghina Sultan Kelantan ekoran tindakan baginda meletakkan jawatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Nasib baik bila Sultan Kedah kita jadi Agong dulu perkara seperti ini tidak berlaku”, tambahnya lagi ketika bertandang ke rumah saya pada Sabtu lalu.

Saya katakan kepada sahabat saya itu bahawa selain Thailand, ada beberapa negara lain yang juga mempunyai undang-undang les majeste masing-masing. Di Asia, selain Thailand, undang-undang les majeste masih wujud di Kemboja.

Di Belanda, jenayah menghina raja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda. Di Kuwait, seorang lelaki telah dipenjara selama lima tahun dan kemudian diusir keluar negara kerana menghina raja dalam akaun Twitter.

Di Arab Saudi, menghina raja adalah satu kesalahan keganasan. Pada 2015, seorang lelaki ditangkap kerana menghina Raja Saudi, Saud Abdel Aziz Saud. Perbuatannya itu menyalahi satu undang-undang antikeganasan yang dikuatkuasakan pada 2014.

Intipati les majeste adalah elemen jenayah menghina raja. Istilah ini (berasal dari bahasa Latin) bermakna ‘raja yang cedera’.

HUKUMAN PALING BERAT

Di Thailand, jenayah ini disebutkan dalam Seksyen 112 Kanun Jenayah Thailand iaitu jenayah memfitnah, menghina atau mengugut raja, permaisuri, pemangku raja dan seluruh waris raja. Undang-undang les majeste Thailand wujud semenjak 1908 dan hukuman kesalahan ini dianggap satu-satunya hukuman paling berat di dunia iaitu penjara antara tiga hingga 15 tahun bagi setiap satu kesalahan.

Kekuatan serta keberkesanan undang-undang les majeste Thailand ini diasaskan kepada satu peruntukan dalam Perlembagaan negara itu yang menyatakan bahawa The King shall be enthroned in a position of revered worship and shall not be violated. No person shall expose the King to any sort of accusation or action.

Ringkasan beberapa kes di bawah menunjukkan betapa seriusnya kesalahan ini mengikut kaca mata pemerintah negara berkenaan.

Pada 1995, seorang warganegara Perancis telah mengungkapkan kata-kata menghina puteri raja Thailand sewaktu menaiki pesawat udara Thai Airways dari negaranya ke Thailand. Apabila pesawat udara itu mendarat di Bangkok, dia telah ditangkap dan kemudian dituduh melakukan les majeste. Setelah disabitkan, dia dikenakan hukuman penjara selama dua minggu.

Pada September 2008, seorang penulis dari Australia ditangkap apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok dan dituduh melakukan les majeste disebabkan dia telah menerbitkan sebuah buku menceritakan kisah cinta melibatkan raja. Dia mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara tiga tahun. Bagaimanapun, selepas menjalani hukuman penjara selama sebulan, dia telah diampunkan oleh raja dan dibenarkan pulang ke Australia.

Pada Mei 2011, seorang warganegara Amerika menulis sesuatu dalam blog yang menghina keluarga diraja. Pada Disember 2011, dia mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara lebih dua tahun. Pada Julai 2012, dia diampunkan oleh raja dan dibebaskan dari penjara.

Suatu kes paling serius berlaku pada 2012. Seorang warga Thai menghantar empat pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon bimbitnya yang menghina raja. Setelah ditangkap, dia terus ditahan reman selepas lapan permohonannya untuk dibebaskan dengan ikat jamin ditolak. Akhirnya dia disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun. Dia mati dalam hospital penjara pada usia 61 tahun.

BERBELAH BAHAGI

Undang-undang les majeste Thailand terus disokong oleh beberapa pihak atas tiga alasan berikut. Pertama, undang-undang les majeste negara itu dilihat sebagai equivalent kepada undang-undang fitnah - hanya bezanya undang-undang les majeste melindungi raja dan kerabatnya manakala undang-undang fitnah melindungi rakyat biasa.

Kedua, raja Thailand perlu dilindungi dari hate speeches (pengucapan yang membenci raja) serta maklumat yang sengaja dipalsukan untuk menimbulkan rasa benci rakyat terhadap institusi raja di negara itu. Ketiga, seorang yang dituduh melakukan jenayah les majeste diberi hak sepenuhnya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, peluang secukupnya untuk membela diri, hak mendapatkan khidmat guaman semasa perbicaraan dan hak untuk membuat rayuan.

Di Malaysia, ada perbezaan pendapat mengenai isu ini - ada yang mahu undang-undang les majeste diwujudkan dan ada pula yang berpendapat ia tidak perlu. Pihak yang menentang berkata, kita sudah ada cukup undang-undang untuk menangani perbuatan menghina raja. Lima tahun lalu, pakar sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam ada mengesyorkan satu undang-undang les majeste diwujudkan di negara ini bagi menghentikan penghinaan terhadap raja. Beliau berkata, perbuatan menghina raja tidak sama dengan kesalahan menghasut seperti yang disebutkan dalam Akta Hasutan.

“Kedua-dua kesalahan ini ‘hendaklah diasingkan kerana martabat institusi raja itu amat tinggi dalam masyarakat Melayu sejak era kegemilangan kesultanan Melayu”, tambahnya lagi.

Bagi Ramlah, penggubalan undang-undang itu bukan untuk ‘mendewakan raja’ sebaliknya menghormati peranan mereka sebagai ketua agama dan pelindung Melayu.

Pada hemah saya, terlalu awal bagi kita meramalkan apakah satu undang-undang baharu les majeste akan diwujudkan di negara ini ataupun tidak. Saya kira kerajaan mahu melihat terlebih dahulu reaksi rakyat. Selain itu, pastinya kerajaan akan mendapatkan pandangan Majlis Raja-Raja.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.