Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, PROF. DR. ASAN ALI GOLAM HASSAN dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjelaskan mengenai langkah terbaharu kerajaan berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat sebagai Pengurus Projek GST, Kementerian Pendidikan dari 2014 hingga 2015.

 

UTUSAN: Apakah maksud GST berkadar sifar dan benarkah cukai berkenaan sudah dimansuhkan?

ASAN ALI: Ada dua jenis cukai. Cukai langsung seperti cukai pendapatan dan cukai perniagaan. Cukai pendapatan dibayar oleh pekerja terus kepada kerajaan dan cukai perniagaan yang dibayar oleh peniaga juga terus kepada kerajaan. Jenis cukai yang kedua ialah cukai tidak langsung seperti cukai kepenggunaan.

Cukai kepenggunaan inilah seperti cukai jualan dan perkhid­matan (SST) dan GST. Cukai kepenggunaan ini dibayar oleh pengguna kepada peniaga dan peniaga membayarnya kepada pihak kerajaan. GST yang dilaksanakan mulai April 2015 meliputi tiga kategori bakul barang dan perkhidmatan. Kategori dike­cualikan, kategori kadar 0 peratus dan kategori kadar 6 peratus. GST masih ada cuma pada kadar sifar, kadar sifar bermaksud pengguna akhir tidak membayar apa-apa cukai kepenggunaan.

Bagi barang atau perkhidmatan dalam kategori dikecualikan dan kategori kadar 0 peratus tetap ada dan tiada apa-apa perubahan. Cuma untuk barang yang dahulunya pengguna perlu membayar cukai penggunaan sebanyak cukai 6 peratus, kini tidak lagi perlu membayar GST 6 peratus.

Dengan GST kadar sifar, ada­kah ia benar-benar akan menjadikan harga barang turun?

Harga barang di pasaran bukan hanya ditentukan oleh cukai. Harga juga ditentukan oleh kos pengeluaran, margin keuntu­ngan peniaga dan musim dalam setahun. Walaupun GST sifar, jika kos pengeluaran iaitu kos bahan mentah termasuk upah meningkat, harga barang akhir juga akan meningkat. Jika peniaga menaikkan margin keuntungan, harga barang akhir juga akan meningkat.

Selain itu, harga juga ditentukan oleh permintaan dan penawaran. Semasa musim perayaan permintaan terhadap sesuatu barang akan meningkat menyebabkan harga meningkat. Penawaran sesuatu barang yang berkurangan juga boleh menyebabkan harga akan meningkat. Faktor musim dalam setahun, contoh bukan musim buah, harga buah ter­tentu akan menjadi mahal kerana kurangkan penawaran.

Selain itu, faktor nilai ringgit yang menyusut juga boleh menyebabkan harga barangan yang diimpot menjadi mahal. Kita bukan sahaja mengimport barang akhir, kita juga mengimport barang perantaraan yang kemudiannya diproses menjadi barang akhir, kesannya harga barang akhir akan meningkat.

Tumpuan dasar harus diberi kepada peningkatan produktiviti/teknologi/inovasi internet/maya dalam proses pengeluaran dan pemasaran. Dalam masa sama menstabilkan nilai ringgit dan memudahkan proses perniagaan dan penjanaan modal perniagaan.

Tumpuan kepada peningkatan upah pekerja tanpa peningkatan produktiviti juga boleh mening­katkan kos pengeluaran dan harga barangan akhir di pasaran. Peningkatan upah minimum pula dijangkakan lebih banyak memberi kesan kepada pekerja asing dalam pasaran pekerja tidak mahir. Oleh itu, cadangan upah minimum harus diikuti dengan cadangan nisbah (ratio) bila­ngan pekerja asing dengan pekerja tempatan.

Selaku pengguna yang lebih penting ialah kos sara hidup yang murah. Peningkatan upah yang kemudiannya akan meningkatkan kos pengeluaran dan akhir­nya harga akan meningkat tidak akan mengubah kos sara hidup. Upah minimum harus sampai kepada golongan sasaran iaitu pekerja tempatan kerana upah pekerja di Malaysia tidak murah, yang murah adalah upah pekerja asing yang bekerja di Malaysia.

Oleh itu, dengan GST kadar sifar, adakah ia benar-benar akan menjadikan harga barang turun hanya benar boleh berlaku jika kita mengandaikan faktor-faktor lain yang menentukan harga barang adalah tetap tidak berubah, hanya cukai penggunaan sahaja berkurangan dari 6 peratus kepada 0 peratus oleh itu harga barang juga akan berkurangan sebanyak 6 peratus. Walau bagaimanapun dalam keadaan sebenar ia sangat bergantung kepada tindak balas yang berlaku dalam pasaran.

SST dikatakan akan diperke­nalkan kembali dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi. Adakah ia penyelesaian yang baik bagi menggantikan GST?

Pada pendapat saya, ia bergantung kepada struktur cukai SST yang akan diperkenalkan. Struktur SST baharu ini seharusnya lebih baik daripada GST yang te­lah ada. Bagaimanapun kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperbaiki sistem GST yang telah ada. Kadar GST dan jenis-jenis barang yang dikenakan cukai juga boleh ditentukan semula. Perbaiki pelaksanaan dari segi pematuhan peniaga, pemantauan dan mengawal kegiatan mengambil untung berlebihan.

Kerajaan boleh memperkenalkan kadar GST yang berbeza, yang lebih rendah kepada barang-barang (dan perkhidmatan) yang memberi impak besar kepada kos sara hidup. Dalam masa sama menilai kembali/menambah senarai barang dalam kategori GST dikecualikan dan GST sifar.

Diakui, GST berjaya meningkatkan pematuhan membayar cukai yang diukur daripada kutipan GST dan peniaga yang mendaftar GST. Bagaimanapun matlamat melaksanakan GST bukan hanya untuk meningkatkan kutipan cukai tetapi juga untuk menjadikan sistem cukai penggunaan yang lebih mesra kepada peniaga dan pengguna, lebih telus, memudahkan pemantauan harga di pasaran dan berupaya menstabilkan harga di pasaran. Iaitu suatu sistem cukai kepenggunaan yang dapat memudahkan urusan para peniaga tetapi dalam masa sama dapat memantau harga dan margin keuntungan peniaga.

Melalui kaedah ini kerajaan lebih mudah untuk melaksanakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan yang telah ada bagi mengesan peniaga yang mengambil untung berlebihan dan meningkatkan lagi pematuhan peniaga untuk membayar cukai perniagaan.Amnya, GST ini bukan kitab yang tidak boleh dipinda, ia seharusnya memudahkan urusan perniagaan, tidak membebankan rakyat, dalam masa sama boleh meningkatkan hasil kutipan cukai dan peka serta dipinda berdasarkan keperluan semasa.