Saban tahun bilangan graduan yang dihasilkan oleh universiti di negara ini semakin meningkat. Dalam hal ini persoalan yang sering menjadi perhatian apakah hubungan universiti dengan bekas pelajarnya ataupun alumninya ini terputus sejurus konvokesyen tamat? Ini kerana majoriti graduan didapati tidak lagi berhubungan dengan universiti ataupun alma mater mereka setelah tamat pengajian. Ini boleh dibuktikan melalui rekod penyertaan mahupun sumbangan alumni kepada program mahupun aktiviti yang dianjurkan oleh alma mater mereka melalui pejabat perhubungan alumni universiti masing-masing.

Bilangan graduan yang terus berhubung dan datang kembali ke universiti untuk menyalurkan pelbagai sumbangan secara relatifnya masih terlalu kecil jika dibandingkan de­ngan sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh alumni di universiti luar negara. Hubungan alumni dan alma mater mereka cukup mantap sehingga boleh mengumpul dana yang begitu besar bagi pelbagai tujuan pembangunan dan kebajikan.

Dalam hal ini apa yang perlu ada pada graduan kita adalah budaya untuk menyumbang kembali kepada alma mater. Mereka perlu sedar bahawa hubungan universiti dan alumni adalah umpama air yang dicincang tidak akan putus. Universiti sering kali melihat alumni mereka sebagai aset yang sangat berharga. Ini kerana mereka boleh memainkan peranan dan menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan demi kemajuan universiti.

Dalam hal ini alumni perlu sedar bahawa pihak universiti tidaklah hanya mengharapkan bantuan berbentuk kewangan semata-mata. Universiti juga sedar bahawa dalam keadaan dan persekitaran ekonomi sekarang peluang pekerjaan adalah agak terhad. Maka adalah tidak rasional untuk universiti meminta ataupun memaksa alumni untuk menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan ter­utamanya kepada graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian dan memasuki pasaran pekerjaan.

Sebaliknya apa yang universiti harap adalah sumbangan dalam bentuk idea, maklum balas, masa ataupun tenaga untuk sama-sama membantu memajukan universiti dalam melestarikan tradisi kecemerlangan universiti. Alumni juga boleh menjadi mentor kepada bakal graduan supaya dapat memberi tunjuk ajar, berkongsi pengalaman serta membimbing bakal graduan agar dapat berjaya seperti mereka suatu hari kelak. Sumbangan sebegini adalah jauh lebih bermakna dan penting di samping sumbangan berbentuk kewangan.

Ringkasnya bagi yang mampu dan telah berjaya boleh menyalurkan bantuan dalam bentuk kewangan yang pas­tinya dapat memberi pelbagai manfaat kepada adik-adik mereka yang bakal menjadi graduan. Tetapi bagi yang baru bergelar graduan dan belum kukuh dari segi kedudukan pekerjaan mahupun kewangan salurkanlah sumbangan dari segi idea dan perkongsian pengalaman.

Setiap universiti menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menarik alumni kembali ke kampus. Misalnya, di UPM sendiri tarikh 21 Mei diiktiraf sebagai Hari Alumni UPM dan bersempena dengan itu pelbagai aktiviti dianjurkan setiap tahun seperti majlis kesyukuran, forum, majlis makan malam dan juga aktiviti sukan seperti ragbi, golf dan juga boling bagi meraikan alumni UPM. Namun bilangan alumni yang menyertai program sebegini adalah masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah graduan yang dihasilkan sekian lama.

Malah saban tahun boleh dikatakan hanya orang yang sama saja menyertai program seperti ini. Program lain yang dianjurkan khusus untuk membimbing bakal graduan se­perti The Alumni Mentoring Program dan juga bengkel Get That Job yang turut menagih sumbangan dan peranan alumni turut menerima nasib hampir sama. Ini menimbulkan persoalan apakah alumni tidak berminat untuk menyertai program sebegini atau sudah tidak mempedulikan lagi alma mater mereka setelah tamat pengajian? Apapun universiti tidak pernah jemu untuk menghubungi alumni mereka. Pelbagai platform terus diwujudkan agar alumni dapat kembali ke kampus dan menyalurkan bantuan yang mereka mampu.

Di kesempatan ini, penulis ingin menyeru kepada semua alumni di negara ini agar gunakanlah peluang dan platform yang alma mater masing-masing sediakan ini untuk kembali berbakti kepada tempat yang banyak berbudi kepada kita. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat yang telah memberikan seribu satu kenangan dan pengalaman serta tempat yang membentuk kita menjadi insan yang berilmu dan berguna.

Justeru luangkanlah sedikit masa untuk menjenguk kembali apa yang sedang berlaku di kampus masing-ma­sing. Berhubunglah sentiasa dengan universiti agar dapat terus menjalin dan merapatkan hubungan silaturahim antara universiti dan alumni.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).