Pakatan DAP, PKR, PAN dan PPBM yang dibubarkan sementara ini mahu pengundi percaya mereka boleh bekerjasama. Tiada runding-runding lagi maka logo mata PKR yang digunakan.

Mereka meniru cara BN menggunakan lambang seragam dacing yang terbukti berjaya selama mengharungi pilihan raya umum. Apa yang pakatan ini mahu gambarkan ialah mereka mampu menggantikan BN.

Tetapi bukanlah logo yang penting, yang menjadi cerminan. Yang orang nak tengok ialah bagaimana sebuah pakatan itu dapat menjalin kerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan.

Dahulu ada Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pun gagal lantas berkubur. Kini apakah peluang pakatan yang baharu ini?

Gabungan pembangkang PKR ini mempunyai banyak peluang untuk menunjukkan mereka lebih berkemampuan atau sekurang-kurangnya sama kemampuannya dengan BN.

Peluang itu ada di depan mata. Malang peluang itu disia-siakan. Mereka lebih gemar bekerja secara sendiri-sendiri. Satu logo tidak lebih hanya cerita atas kertas sahaja. Di lapangan tidak begitu.

Nyata idea dan kesungguhan Tun Dr. Mahathir Mohamad sukar untuk dilaksanakan. Barangkali benar analisis banyak pihak dalam konteks menyatukan parti-parti pembangkang ini Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih berwibawa.

Seharusnya selepas ber­se­pakat dengan satu lo­go, pakatan empat parti ini bergerak sederap dan senada.

Ini tidak, pengumuman calon pun diumumkan parti masing-masing.

Semuanya masih totok me­­negakkan kepentingan sen­­­diri.

DAP seperti lazimnnya terus angkuh dan bongkak. DAP sentiasa menunjuk-nunjuk merekalah ketua ke­rana inilah mereka yang se­benarnya. Kebenaran su­kar disorok. Kepura-puraan tidak selamanya boleh di­sembunyikan.

Dengan satu logo me­reka berfikir mampu meng­gambarkan tiada siapa yang lebih hebat dalam kalangan mereka. Sama rata dan sa­ma rasa. Tiada abang, tiada adik. Tiada taiko.

Lakonan

Tetapi belum pun kem­pen bermula secara rasmi, DAP mengumumkan dua ca­­lon mereka bakal Menteri Kabinet. Lantikan menteri ada­lah kuasa Perdana Menteri.

Dalam konteks ini mereka sendiri yang umumkan calon Perdana Menteri sementara ialah Dr. Mahathir. Tidak terbayang Dr. Mahathir yang mereka agungkan dan begitu berpengalaman itu pun boleh dipermain-mainkan.

Ini pun bukan rahsia. Da­lam ceramah di kawasan Cina, DAP perlekeh Dr. Mahathir. Dr. Mahathir umur sudah tua tidak lama boleh jadi Perdana Menteri. Guna Melayu untuk skru Melayu, kata mereka.

Kita pun hampir tidak men­dengar usaha untuk mengangkat kedudukan Islam dan Melayu. Benar ham­pir mustahil meminda apa yang termaktub dalam Per­lembagaan tetapi parti yang satu itu sentiasa ada dalih untuk menjayakan agenda mereka. Pas Pulau Pinang ada banyak cerita tentang agenda tersirat itu.

DAP nyatakan Dr. Mahathir hanya digunakan untuk parti itu menuju Putrajaya. Dr. Mahathir sekadar digunakan untuk mendapatkan undi Melayu.

Lebih membimbangkan parti-parti rakan satu logo diam sahaja. Tidak berketik. Mana suara Mohamad Sabu? Mana suara elegan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali?

Apabila DAP berkata-kata, Melayu senyap. Dengar dan akur sahaja. Ini diakui sendiri oleh Datuk Zaid Ibrahim yang baru 13 bulan bersana parti berlambang roket itu.

Belum pun kering kertas manifesto, pemimpin utama boleh kata ada janji tidak boleh ditunaikan. Janji hapus tol dan GST pun terpaksa diubah. Terlalu banyak pusingan U dan lakonan.

DAP tetap menunjukkan identiti parti Cina. Melayu sama ada masih bersama DAP mahupun yang sudah keluar merujuk DAP parti Cina.

PKR masih dikenali parti Anwar dalam keadaan reformasi yang kononnya diperjuangkan itu sudah mati. Wajah dua kem PKR pun semakin terserlah menjelang penamaan calon.

Mereka seperti bangga dilabel calon Azmin atau di pihak yang satu lagi.

PAN pula hanya sekadar parti ikut-ikutan. Keasyikan yang melampau menyerang pimpinan Pas hanya membawa parti ini ke sudut yang sempit.

Dalam alam realiti, seperti tiada apa yang PAN perjuangkan. Mereka tidak lebih hanya menjadi tukang memanjangkan kata-kata DAP, PKR dan PPBM.

Satu logo hanya gimik. Satu logo hanya ucapan kosong atas kertas. Satu logo tidak wujud dalam erti kata sebenar gabungan pembangkang PKR ini.

Satu logo tidak menggambarkan apa-apa. Nyata mereka telah melepaskan peluang terbaik itu. Nyata mereka pakatan yang tidak bokeh dipercayai.