ALLAHYARHAM ZULKIFLEE MUHAMMAD

Tumpang akui kelemahan itu memang ada. Tapi apabila selalu didendang, berulang kali pula, takut benda itu jadi kepercayaan baharu pula kepada generasi muda Melayu - bahawa inikah bangsa Melayu?

Bimbang selepas ini mereka malu pula menjadi Melayu. Mahu jadi Malaysian Malaysia pula. Padahal sudah terlalu banyak kejayaan diraih orang Melayu. Mengapa malu untuk dicanang-canang.

Lagipun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah lama peringatkan orang Melayu dalam sajaknya Melayu Sudah Lupa 18 tahun lalu. Takkanlah tak hadam langsung ke telinga orang Melayu lagi.

Khamis lepas, kenalan Tumpang dalam satu grup WhatsApp Agenda Melayu Mahawangsa, Datuk Mohamed Dahan Abdul Latiff melayangkan suatu peringatan daripada seorang tokoh pejuang Melayu yang begitu ‘menangkap’ perasaan Tumpang.

Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad (1927-1964) namanya. Dari carian Tumpang berhasil menemukan siapa arwah.

Sepanjang 1959 hingga 1964, penglibatan Zulkiflee sebagai pemimpin Pas paling menonjol. Beliau antara Ahli Parlimen yang terulung pada zamannya.

Wakil rakyat Bachok itu lantang menyuarakan pandangannya dalam pelbagai isu masyarakat. Sama ada persidangan berjalan selama satu minggu, dua minggu atau sebulan mahupun dua bulan, Zulkiflee tetap berada dalam Dewan. Demikian sama ada persidangan berakhir pada pukul 6:30 petang atau 10 malam atau 1 pagi, kelibat Zulkiflee tetap di situ.

Zulkiflee mencatat sejarah apabila berucap selama empat jam di Dewan Rakyat berhubung Rang Undang-undang Malaysia. Beliau pernah mendesak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menarik balik pengiktirafan ke atas Israel kerana menafikan hak rakyat Palestin.

Diredahnya soal membanteras amalan rasuah, menggalakkan masyarakat desa terlibat dalam industri kecil, ancaman getah tiruan dan memajukan industri getah serta pembangunan bandar agar tidak tertumpu di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Zulkiflee sering secara tajam di Parlimen menyeru kerajaan wajib berhemah dan berhati-hati menggunakan wang negara. Beliau mahu tidak sesen pun wang negara dikeluarkan sia-sia. Wang negara hasil titik peluh rakyat, katanya.

Pernah seorang ahli Parlimen Perikatan dari Pahang secara rahsia menemui Zulkiflee meminta beliau menyuarakan hak istimewa bangsa Melayu dalam sidang berikutnya. Ini kerana tidak ada ahli Parlimen yang mampu berucap selantang Zulkiflee apabila menyentuh kedudukan orang Melayu, agama Islam.

Begitupun Allah lebih menyayanginya. Zulkiflee dipanggil Ilahi pada usia 37 tahun. Pemergian Zulkiflee dan isterinya ke rahmatullah akibat tragedi kemalangan pada 6 Mei 1964 mengejutkan seluruh negara. Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak mengarahkan jenazah Zulkiflee dan isteri diterbangkan dengan penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia dari lapangan terbang Kuantan ke lapangan terbang Ipoh - sebelum dibawa ke rumah bapa Zulkiflee di kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Pada hari pengebumian, lebih 10,000 orang termasuk pemimpin-pemimpin negara, para duta negara asing, rakan-rakan seperjuangan Pas, ahli-ahli UMNO dan orang ramai membanjiri tanah pusara tempat kedua-duanya disemadikan.

Allahuakbar. Al-fatihah. Sungguh benar Tumpang ‘tersentak’ dengan kisah, terutama pesanan Allahyarham Zulkiflee tentang perangai buruk yang jauh dari sifat rahmah yang harus ditolak oleh bangsa.

Ini pesanan/peringatan arwah buat orang Melayu:

Beriman di mulut hati berlumut.

Beriman di lidah hati menyalah.

Lidah bercabang langkah menyilang.

Tamak harta mabuk dunia.

Lupa bangsa lupa akhirat.

Kemaruk puji lupa diri.

Ke tengah memfitnah ke tepi mendengki.

Ke laut menghasut ke darat mengumpat.

Ke hulu menipu ke hilir menyindir.

Ke atas mengampu ke bawah melapah.

Ke gunung menyombong.

Ke lurah menyumpah.

Berkawan dengan setan.

Berguru dengan nafsu.

Beraja pada selera.

Bersahabat pada maksiat.

Dalam musyawarah berbantah-bantah.

Dalam berunding tuding menuding.

Dalam helah cacat mencacat.

Sesama keluarga laga melaga.

Sesama kawan makan memakan.

Sesama sahabat sebat menyebat.

Sesama bangsa paksa memaksa.

Dan Tumpang berharap selepas ini jangan dicanang-canang lagi ‘orang Melayu itu pemalas, lembik atau macam-macam yang negatif’.

Mari kita buka lembaran baharu - bagi jalan, idea atau apa sahaja yang baik-baik bagaimana untuk meroketkan kemajuan dan perangai positif orang Melayu.