Inilah dikatakan bagai bulan jatuh ke atas riba apatah lagi buat lelaki gelandangan dari Bradford, England, Allah Ditta, 49.

Ekoran kesilapan perisian yang masih belum diketahui puncanya, Ditta ‘berkenduri’ menggunakan kad itu untuk membeli pelbagai barangan selama 25 hari bermula 21 Januari tahun lalu di pasar raya Tesco termasuk beberapa cawangannya sehingga mencecah hampir 60,000 pound (RM314,412).

ALLAH DITTA
ALLAH DITTA 

Kisahnya bermula apabila dia yang mengetahui akaun kad debit miliknya tidak mempunyai wang mencuba nasib menggunakannya untuk membeli barangan bernilai 68 pound (RM356) di sebuah pasar raya besar, Tesco.

Percaturan dilakukan itu tanpa disangka berjaya apabila transaksi barangan dibelinya diluluskan malah dia membuat lagi cubaan menggunakan kad tersebut di Tesco cawangan lain di Bradford.

Hasilnya tetap sama, dia berjaya melakukan transaksi, justeru tanpa mahu membuang masa Ditta menggunakan sepenuhnya kad itu untuk membeli pelbagai barangan.

Bukan sahaja di Tesco Bradford, malah dia menggunakan `kad ajaib’ berkenaan untuk berbelanja sebanyak 167 kali di seluruh cawangan Tesco di utara England.

Yang menariknya, Ditta yang juga seorang penagih dadah `berhati mulia’ meminjamkan kad itu kepada rakan-rakannya untuk turut berbelanja.

Kesemua mereka sakan berbelanja di 14 pasar raya Tesco di Bradford, Leeds, Garforth, Oldham dan Manchester.

Secara keseluruhan, lelaki itu dan rakan-rakannya berjaya memenuhkan troli masing-masing dengan barangan mewah seperti barangan elektrik, telefon serta komputer bernilai 56,683 pound (RM297,031).

Malah melalui pembelian yang dibuat mereka turut menerima ganjaran wang tunai.

Walau bagaimanapun, kegembiraan itu tidak berpanjangan sebaliknya membawa padah kepada Ditta apabila ditahan pihak polis ketika sedang berbelanja di sebuah cawangan Tesco di Bradford pada 15 Februari.

Dia didakwa atas tuduhan menipu gara-gara berlaku kesilapan perisian semasa proses transaksi yang sepatutnya tidak diluluskan.

Namun tidak pasti sama ada kesilapan perisian itu berlaku pada pihak Tesco atau bank.

Pada masa sama, Ditta mempertahankan dirinya dan memberitahu pihak polis bahawa dia tidak menyedari berlaku kesilapan malah menegaskan dia tidak berbuat apa-apa kesalahan.

“Siapa yang tidak mahu berbelanja mewah jika diberi peluang seperti ini? Masih ada lagikah orang yang jujur sekarang?’’ ujarnya.

Menurut peguam, Geraldine Kelly yang mewakili Ditta, anak guamnya adalah penagih dadah sejak 30 tahun lalu dan telah berkahwin serta mempunyai seorang anak perempuan.

“Dia melalui kehidupan yang sukar dan kini menjadi gelandangan malah tidak dapat bertemu isteri dan dua anaknya,’’ katanya.

Lelaki gelandangan itu turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk tiga kes mencuri dan merompak pada tahun lalu.

Hakim Mahkamah Bradford, Robert Bartfield sebelum menjatuhkan hukuman menegaskan, tertuduh menyedari wujud masalah terhadap kad debit tersebut selepas berjaya membuat transaksi sedangkan akaunnya tidak mempunyai wang.

“Kamu pantas melihat peluang yang ada di hadapan mata kerana kamu percaya jika berlaku kesilapan pada transaksi awal maka akan berlaku perkara sama kemudian, lantas kamu segera menggunakan sepenuhnya peluang tersebut,’’ katanya.

Ditta akhirnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan dijatuhkan hukuman penjara selama 27 bulan.