Perkara ini semakin berleluasa sekali gus memberi impak kepada tujuan sebenar sesebuah IPT diwujudkan, iaitu untuk “mendidik pelajar”. Apatah lagi IPT kini sanggup mengambil langkah-langkah drastik untuk memastikan segala kemudahan, tenaga pengajar dan penyelidikan semuanya mematuhi kehendak agensi-agensi ranking tersebut.

Apa yang lebih membimbangkan adalah sejauh mana sistem ranking agensi-agensi asing ini mempengaruhi penggubalan dasar kerajaan. Ancaman daripada pemberian geran penyelidikan kerajaan berlandaskan ranking global.

Menurut Higher Education Policy Institute of UK, kerajaan Perancis, Jerman, Rusia dan China, antara lain, telah memperkenal polisi baharu untuk mengukuhkan kedudukan IPT-IPT mereka di dalam penyenaraian ranking tersebut.

Untuk tujuan ini, IPT terpilih akan menerima bantuan kewangan khusus untuk tujuan penyelidikan – pelaburan yang sepatutnya boleh digunakan untuk memperbaiki mutu pendidikan di universiti secara menyeluruh.

“Antara pengajaran utama dari sistem ranking global adalah sejauh mana dasar pengajian tinggi dan strategi institusi dipengaruhi agenda pihak luar.

“Bahaya menanti sekiranya kita tidak mengendahkan perkara ini.” ujar Ellen Hazelkorn, Penasihat Dasar di Higher Education Authority (HEA), dan Pengarah di Higher Education Policy Research Unit (HEPRU), Dublin Institute of Technology, Ireland.

Namun, Singapura semakin mengambil berat akan perkara ini. Panel penasihat akademik antarabangsa di negara itu, yang terdiri daripada Presiden dan Naib Canselor universiti-universiti di Eropah, Amerika Syarikat dan Asia serta CEO daripada syarikat-syarikat global telah menasihatkan agar Singapura harus membangunkan rangka kerja penilaian holistik untuk universiti-universitinya dan tidak terlalu memikirkan tentang ranking antarabangsa.

Menurut seorang profesor di Norwegian University of Science and Technology, Andrew Perkis, metrik yang digunakan oleh agensi-agensi ranking ini tidak mengambil kira program-program sains EU. Ini khususnya melibatkan Horizon 2020, yang menekankan inovasi dan kolaborasi industri, di mana hasilnya tidak dapat diukur dan dimuatkan di dalam indeks sistem ranking mereka.

Kini, timbul keperluan mendesak untuk menangani pengaruh agensi-agensi ranking ini daripada menular demi melindungi kepentingan jangka panjang negara.

Perspektif Malaysia dan Asia harus menjadi komponen penting di dalam dialog kampus agar generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan baharu negara, benar-benar mampu membina masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia.

Sejauh mana sistem ranking ini membantu kepentingan Malaysia perlu dikaji dengan lebih mendalam dan dibincangkan lebih lanjut. Apa yang benar-benar kita perlukan sekarang adalah membangunkan kecekapan.

Diharapkan kecekapan ini mampu menjana visi yang membawa perubahan, membentuk budaya nasional berteraskan empati, membudayakan daya kreatif dan mengutamakan dasar-dasar yang dapat membantu meluaskan kapasiti Malaysia untuk maju dan berdaya saing mengikut cara dan kehendak kita sendiri.

PROF. EMERITUS TAN SRI DR. LIM KOK WING ialah Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing.