Karya beliau menepati tema kolum ini bagi mendedahkan disruptive knowledge (ilmu yang menimbulkan gangguan). Ilmu sedemikian adalah satu kebenaran yang mencabar budaya dan status quo masyarakat Malaysia. Status quo adalah keadaan sebagaimana yang sedia ada tanpa dibuat sebarang perubahan.

Dalam buku ini, Zaini yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam kejuruteraan alam sekitar mengajak semua rakyat Malaysia supaya berubah. Berubah untuk mengamalkan budaya baharu yang beliau gelar sebagai Japanese Ecosophy (falsafah ekologi Jepun).

Falsafah yang menekankan pemeliharaan alam sekitar telah menjadi teras budaya rakyat Jepun yang dikagumi seluruh dunia kerana mereka dapat memastikan sungai sentiasa bersih, longkang dijaga sehingga ikan boleh hidup dan memastikan sampah sarap tiada di tepi-tepi jalan.

Bagi sesetengah orang, falsafah adalah subjek sangat berat dan tidak menarik. Sebab itu, menurut Zaini, beliau menulis dengan cara penyampaian sangat bersahaja dalam bentuk anekdot (cerita pendek) catatan kembara ketika berkunjung ke Jepun.

Beliau bukanlah asing dengan masyarakat Jepun kerana banyak menghabiskan masa di sana sejak 33 tahun lalu termasuk mengadakan perbincangan dengan profesor dan pemikir negara itu.

Dalam buku ini, beliau mendedahkan lima komponen utama falsafah ekologi Jepun yang perlu dijadikan cara hidup rakyat Malaysia. Pertama adalah ikigai iaitu matlamat hidup di dunia ini adalah bagi memberi sumbangan kepada alam sekitar selain tanggungjawab untuk bekerja, berbuat baik dan sebagainya.

Sebab itulah penduduk Jepun cenderung untuk melakukan kerja sukarela seperti menjaga sungai dan mengutip sampah supaya persekitaran sentiasa bersih.

Kedua adalah wa iaitu hidup secara harmoni dengan alam sekitar seperti memastikan hanya 20 peratus muka bumi Jepun dibangunkan dan 80 peratus selebihnya dibiarkan dalam keadaan semula jadi.

Ketiga adalah kami iaitu kepercayaan bahawa alam sekitar seperti pokok dan gunung adalah benda hidup. Penduduk Jepun tidak akan menebang pokok sebaliknya membiarkannya tumbang dengan sendiri.

Keempat adalah mottainai iaitu tidak melakukan pembaziran seperti memastikan penggunaan air yang minimum dan kelima adalah kaizen iaitu penambahbaikan secara berterusan yang dapat memelihara alam sekitar.

Hasil jualan buku ini akan disumbangkan kepada Tabung Endowmen UTM bagi membantu pelajar universiti itu yang menghadapi masalah kewangan. Tempahan buku boleh dibuat melalui e-mel [email protected]

> Judul: Japanese Ecosophy: A Traveller’s Notes

> Penulis: Profesor Datuk Seri Dr. Ir. Zaini Ujang

> Jumlah halaman: 132

> Tahun terbitan: 2019

> ISBN: 978-967-460-824-8

> Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

> Harga: RM120