Semangat orang Rantau untuk memastikan anak jati Rantau itu terus menjadi wakil rakyat mereka cukup tinggi. Pada masa sama tepukan dan sorakan kuat bergema setiap kali Mohamad bercakap soal hubungan erat UMNO dan Pas.

Senario seumpama inilah yang membimbangkan Pakatan Harapan (PH). Dengan mempertaruhkan calon daripada PKR, Dr. S. Streram, mereka berharap mampu menumbangkan Tok Mat yang dianggap ‘kerbau liar’.

Ini sekali gus menghentikan momentum kemenangan BN dalam pilihan raya kecil selepas Cameron Highlands dan Semenyih.

Mereka juga mahu menjadikan ia bukti kerjasama UMNO-Pas tidak berjaya. Sebab itulah awal-awal lagi Streram yang dilahirkan di Kluang, Johor melaungkan amaran akan ‘kebumikan’ Mohamad yang merupakan anak jati Rantau.

Bagaimanapun Mohamad, 62, ternyata tidak terganggu dengan ‘ancaman’ Streram yang dikatakan baru tiga tahun aktif di situ.

Sebagai seorang yang dilahirkan, dibesarkan dan menumpahkan baktinya di Rantau, Timbalan Presiden UMNO itu bertanding bukan demi kepentingan politik peribadinya tetapi demi penduduk Rantau dan rakyat keseluruhannya.

Ketika pemimpin PH begitu teruja mahu menumbangkan Mohamad sehingga sanggup melakukan pelbagai serangan peribadi dan provokasi, Mohamad lebih selesa bercakap apa yang beliau mahu lakukan jika terus diberi mandat menjadi wakil rakyat di Rantau.

“Saya tak akan lari. Pada 13 April ini, tuan-tuan pilihlah saya, lepas tu saya ‘goreng’ mereka cukup-cukup kerana banyak janji yang PH Negeri Sembilan buat, sekarang mereka dah jadi kerajaan, saya nak pastikan janji-janji itu ditunaikan,’’ katanya dalam ceramah tersebut.

Atas sebab itulah Negeri Sembilan memerlukan pembangkang yang kuat bagi memastikan kerajaan negeri menunai janji-janjinya. Perlu diingat, Mohamad bukan ahli politik atau pembangkang yang akan mempolitik segala-galanya.

Sebelum ini ketika sidang DUN selepas PRU-14 lalu, beliau sudah membuktikan sikap berhemahnya sebagai pembangkang yang benar-benar berfungsi sebagai check and balance kepada kerajaan negeri.

Mohamad berhujah bukan sembrono tetapi berfakta, apatah lagi sebagai seorang yang menjadi pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun.

Mohamad mengetahui segala selok belok pentadbiran negeri dan apa yang perlu diperjuangkan demi kepentingan rakyat.

Inilah yang meresahkan PH khususnya pentadbiran kerajaan negeri. Mereka bimbang terpaksa berhadapan dengan seorang ketua pembangkang yang bukan calang-calang dalam keadaan banyak janji tidak ditunaikan.

Mereka memahami apabila Mohamad berjanji kepada penduduk Rantau bahawa beliau akan menjadi pembangkang berkesan, ia bukan cakap kosong.

Mereka sudah lihat ‘bisanya’ Timbalan Presiden UMNO itu ketika berucap kali pertama sebagai ketua pembangkang di DUN Negeri Sembilan penghujung tahun lalu.

Dalam ucapannya itu Mohamad sudah menegaskan beliau akan tuntut satu persatu janji yang dibuat oleh Kerajaan PH di Negeri Sembilan.

Malah seperti mana kata beliau pada Sabtu lalu, adalah penting beliau kembali menjadi Ketua Pembangkang kerana “Saya tahu selok belok pentadbiran kerajaan negeri A to Z, tak boleh mereka hendak temberang”.

Keazaman Mohamad itu merisaukan PH apatah lagi ketika banyak janji PH di Negeri Sembilan tidak ditunai, janji baru pula ditabur ketika kempen PRK itu.

Justeru mahu tidak mahu, segala usaha harus dilakukan habis-habisan termasuk serangan peribadi bagi memastikan Mohamad ‘dikebumikan’ di Rantau.

Isu lama diungkit kembali manakala fakta dipesongkan untuk memberi gambaran kepada rakyat ketika menjadi Menteri Besar, Rantau ketinggalan dari segi pembangunan, biarpun akhirnya tuduhan itu menampakkan betapa jahil orang luar mengenai keadaan kawasan DUN itu apabila berkempen di situ.

Selain itu, PH juga bercita-cita mahu menjadi Streram sebagai Giant Killer untuk menamatkan karier politik Mohamad sekali gus memastikan kerjasama UMNO dan Pas tergugat.

Gandingan dua parti besar orang Melayu itu sememangnya membimbangkan PH kerana ia akan mewujudkan satu gelombang sokongan orang Melayu terhadap blok pembangkang.

Berikutan kebimbangan itulah kerjasama UMNO-Pas cuba diburukkan habis-habisan dan tumpuan mereka sudah tentulah bagi meraih sokongan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina dan India.

Biarpun terpaksa membentangkan berunsur fitnah dan perkauman bagi menyakinkan kelompok pengundi berkenaan seperti mana dilakukan oleh beberapa pemimpin PH ketika berkempen di Rantau, mereka tidak peduli yang penting Mohamad perlu ‘dikebumikan’ dengan Streram dijadikan sandaran.

Sedangkan ketika menjadi ADUN Rantau dan Menteri Besar selama 14 tahun, Mohamad tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di kawasan berkenaan.

Oleh itu pengundi-pengundi DUN Rantau perlu memastikan mereka tidak terperangkap dengan agenda PH yang bertanding di situ semata-mata kerana politik dengan ‘menghantar’ orang luar bagi ‘mengebumikan’ anak jati Rantau yang sudah terbukti banyak berjasa kepada mereka.