Setiap negara itu memperingati bagaimana mereka membebaskan belenggu penjajahan. Indonesia dari belenggu Belanda. Malaysia dari belenggu Inggeris dan Singapura dari jajahan Inggeris serta kuasa pengaruh Malaysia selepas 1965.

Kini selepas 71 tahun bagi Indonesia dan 59 tahun bagi Malaysia jeritan merdeka masih berkumandang mengikut musim di perhimpunan rakyat masing-masing. Singapura pula tidak melaungkan apa-apa jeritan merdeka lantaran rakyatnya lebih digalakkan menterjemahkan kebebasan kepada budaya kekitaan pulau republik itu.

Namun Singapura paling tampak isian merdekanya dengan kibaran bendera Majulah Singapura di setiap petak rumah pangsanya. Penuh disiplin, penuh intisari perjuangan negara bangsa.

Rumah bertingkat kita tidak ada senario itu. Jalur Gemilang semacam pudar dikibarkan dua tiga helai sahaja di sesuatu blok rumah pangsa di ibu kota. Semua program dan acara kemerdekaan dilangsungkan dengan pacuan kerajaan. Yang bersendikan badan politik, BBBK/NGO boleh dikatakan tiada kelihatan. Syarikat swasta juga amat hati-hati membuat acara perayaan merdeka. Adakah merdeka untuk kerajaan saja atau untuk rakyat jelata?

Erti merdeka atau kemerdekaan amat relevan bagi semua negara yang pernah dijajah, termasuk Amerika Syarikat (AS) yang lepas dari jajahan Inggeris pada tahun 1776. Semenjak tahun itu ke saat ini AS mengisi kemerdekaannya dengan menakluki dunia, dengan tenaga fikir, pengaruh ekonominya, diikuti ciptaan-ciptaan saintifiknya. Amat relevan kini ditanya kembali – bagaimana kemerdekaan bagi kita di Malaysia?

Dalam banyak hal kita masih belum merdeka. Salah satu arena yang kita dijajah terus ialah dalam bidang budaya atau cara hidup berbudaya tinggi. Bahasa Kebangsaan kita kian lama kian disaduri bahasa Inggeris lantas kita semacam mengaku bahawa bahasa Melayu/bahasa Indonesia tak boleh jadi bahasa ilmu; Bahasa Melayu hampir diInggeriskan setiap hari.

Kita segan hendak meletakkan bahasa Melayu dipersada teratas; undang-undang kita lumrah dengan common law dan civil law; kewangan kita terus di bawah hegemoni Dollar dan mata wang sekongkol dengannya. Amalan budi dalam kalangan warga nusantara kian melemah; komunikasi kita direncah media sosial.

Orang kita sedikit sangat mencipta atau membuat rekaan bahan-bahan kehidupan baru. Kita pelajari ilmu orang tapi mengenepikan ilmu tamadun sendiri atau apa yang boleh dinamakan nilai wataniah sendiri.

Cara berfikir kita pun lumus dengan air atma siraman Barat. Kita dihibur dengan musik dan wayang mereka. Kini hak asasi mereka yang kita pakai. Hak asasi penghuni 300 juta di Kepulauan Melayu bagaimana? Adat kita, bahasa kita dan budaya tinggi kita bagaimana? Pendidikan yang terus berpaksikan ilmu Barat tentu akan melahirkan idola nilai Barat.

Sementara itu, kita memang penganut Islam yang nyata, namun kita tidak menterjemahkan intisari Kitabullah kepada perbuatan harian. Semakin ramai berpakaian ala Arab, konon itu lebih Islam. Kecenderungan ini menambah kekurangan pakaian Melayu.

Sekolah tahfiz muncul seperti cendawan lepas hujan. Tapi apakah proses terjemahan ilmu hafalan kepada cara hidup kita? Cara dan kaedah praktikalnya masih mencerminkan kaedah luaran, tidak dalaman.

Cerminan

Sekolah Kebangsaan kita semakin ditinggalkan kaum lain. Murid kita ramai yang jadi kaki buli; pusat judi dilindungi. Majlis Fatwa ada disetiap negeri. Siapa yang menyelaraskan fatwa-fatwa itu? Percanggahan antara fatwa satu negeri dengan yang lain kian muncul sehingga Islam tampak semacam kurang konsisten.

Jika perjuangan menyelaras dalam bidang ini terus celaru dan berterusan masyarakat Islam berdepan dengan babak-babak kekeliruan. Pernyataan bahawa soal agama Islam tertakluk di bawah bidangkuasa sesebuah negeri justeru Persekutuan tak boleh campurtangan adalah reaksi mengalah dan merugikan.

Majlis Raja-Raja harus menampakkan kemampuan dan keberkesanan dalam bidang ini. Berkisar kepada arena politik, merdeka sepatutnya membawa kita kepada cara berjuang yang matang.

Sindiran vokal mengenai siapa yang lebih Melayu di peringkat pimpinan sedang jadi cerminan hodoh bangsa sendiri. Dalam Perlembagaan UMNO bahasa Melayu, Budaya Kebangsaan dan perpaduan dititikberatkan.

Tetapi bahasa Melayu kini terus merempat hanya sebagai bahasa komunikasi bawahan. Anak bangsa sudah melupakan bagaimana bertutur secara baik dalam bahasa ibundanya. Kini amat lazim didapati ayat percakapan bahasa Melayu direncah dengan ungkapan Inggeris. “Nanti call…ya” dan “Kejap lagi…lunch”. Anak kepada ayah, isteri kepada suami lantas menjadikan masyarakat disula sembilu globalisasi yang buruk padahnya kepada jati diri.

Bagaimana pula rakyat Malaysia kaum lain yang terus mendakap bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka sendiri? Program bahasa mereka berjalan baik, akhbar mereka laku dan meluas edarannya. Buat apa penat-penat belajar bahasa Melayu sedangkan sebahagian besar orang Melayu tidak lagi berbahasa ibunda?

Kalau pun bertutur dalam bahasa Melayu, buku nahunya sudah seperti buku nahu Inggeris. Lebih baik cakap bahasa Inggeris terus. Kita sendiri yang kurang meyakini kebolehan dan keutuhan bahasa kebangsaan sendiri.

Pengisian merdeka diakui bukan mudah. Tugas ini mesti dilakukan dengan azam, isian dan kaedah tersendiri. Diakui pejuang kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu rata-rata hampir tiada. Kalau adapun mereka tidak upaya berinteraksi lagi lantaran dimamah usia lanjut. Jadi, yang ada hanya generasi baru yang belum terlengkap lagi dengan asam garam merdeka.

Institusi pendidikan kita seharusnya berperanan utama dalam hal ini. Perlu dilatih guru dan profesor jati diri, genapkan pengajar budaya dan warisan, adat, olahan bahasa dan budaya tinggi sebagai pengaliran ilmu. Setidak-tidaknya mesti diwujudkan sukatan pelajaran jati diri, budaya, warisan, arena bahasa ilmu dan hal-ehwal perpaduan kaum yang utuh.

Lantaran Rukun Negara sudah diterima sebagai tiang seri negara, falsafah kebangsaan ini perlu dijadikan undang-undang yang berteraskan falsafah dan amalan terperinci. Selama ini kita hanya menceduk ilmu orang dan budaya orang. Bermegah-megah dengan olahan orang. Nama pekan, jalan dan taman kita dipeletok dengan nama yang bukan-bukan. Pihak berkuasa kita membiarkan saja.

Iklan di kiri kanan lebuh raya dipenuhi lambaian budaya asing dengan wajah asing dan bahasa asing. Laungan MERDEKA kita di zaman mendatang mesti dengan mantera kebangsaan sendiri. Transformasi 50 (TN50) mesti ada rohnya tersendiri. Jika tidak kita akan terus ditransformasi.

PENULIS adalah Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia.