Perasaan syak wasangka se­perti ini juga timbul apabila tersiar surat yang dihantar oleh Ketua Pe­ngarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) kepada Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), Gina Haspel.

Tidak memeranjatkan mengapa surat dari MEIO itu menimbulkan syak wasangka adalah kerana isi kandungan surat tersebut dan juga apa jua urusan dengan CIA sudah pasti menimbulkan keraguan kerana agensi risikan tersebut mempunyai sejarahnya yang tersendiri walaupun interaksi di antara MEIO dan CIA adalah lumrah dalam dunia geopolitik antarabangsa.

Kemelut polemik IRI pula timbul ekoran dakwaan Presiden IRI, Daniel Twinning dalam forum anjuran Center for Strategic and International Studies (CSIS) bahawa penglibatan IRI dalam proses demokrasi Malaysia bermula dari 2002 lagi. Sukar untuk membuktikan sejauh mana aktiviti yang dibiayai oleh IRI di Malaysia yang kebanyakannya berkait dengan matlamat untuk memperkukuhkan keupayaan parti politik dalam pilihan raya serta mematuhi amalan urus tadbir baik. Tidak dinafikan juga seperti yang ditegaskan oleh Twinning bahawa sokongan pembangunan IRI yang disalurkan kepada parti politik merentas spektrum politik dalam bentuk bengkel latihan dan rundingan untuk Pakatan Harapan (PH) dan juga Barisan Nasional (BN).

Begitu sensitifnya ungkapan IRI dan juga CIA bagi negara ­asing adalah disebabkan matlamat penubuhan terutama sekali IRI yang ditubuhkan pada 1980-an oleh pentadbiran Presiden Ro­nald Reagan. Tujuan penubuhan adalah untuk mengambil alih peranan aktiviti politik negara asing yang sebelum ini dipikul oleh CIA. Tidak dinafikan pada 1960-an dan 70-an CIA bergiat aktif untuk mewarnai suasana politik negara asing dengan pelbagai kaedah sama ada secara tersurat atau tersirat. Setelah kegiatan CIA itu terbongkar, Reagan mengambil keputusan menubuhkan IRI untuk melakukan tugas yang agak selari dengan CIA tetapi secara terbuka dan mengikut lunas undang-undang negara ber­kenaan.

Stigma aktiviti IRI menebal de­ngan bersebab. Umpamanya pada 2012, Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) Mesir telah mengenakan tuduhan kesalahan jenayah ke atas 43 pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) de­ngan pertuduhan aktiviti mereka yang dituduh bertentangan de­ngan aspirasi revolusi rakyat yang baharu sahaja melalui apa yang dipanggil Arab Spring. Menjadi kemusykilan juga pada ketika itu mengapa SCAF mengambil tindakan drastik sedemikian rupa kerana asasnya aktiviti yang dilaksanakan staf NGO berkenaan adalah untuk menyuburkan lagi proses demokrasi Mesir yang baharu sahaja menumbangkan Presiden Hosni Mubarak.

Tindakan SCAF itu sebenarnya ada kena mengena dengan alasan 19 daripada yang dituduh adalah terdiri daripada rakyat AS yang bertugas dengan empat pertubuhan Amerika iaitu IRI, Institut Demokrat Kebangsaan (NDI), Pusat Pemberita Antarabangsa (ICJ) dan Freedom House (FH). Begitulah hebatnya stigma pertubuhan AS tersebut sehingga menimbulkan syak wasangka yang begitu tinggi oleh pemerintah Mesir.

Terdapat juga tuduhan bahawa operasi IRI dan NDI adalah begitu licik sehinggakan mampu mencetuskan huru-hara atau menjatuhkan sesebuah kerajaan negara asing. Tumbangnya pemerintah Yugoslavia, Slobodan Milosevic pada 2000 disyaki didala­ngi oleh aktiviti yang dibiayai oleh IRI dan NDI kepada NGO tempatan. Begitu juga dengan meletusnya Revolusi Mawar rakyat di Georgia pada 2003 dan Revolusi Orange rakyat Ukraine pada tahun berikutnya, ramai yang menuding jari kepada penglibatan IRI dan NDI sebagai dalang di sebalik tabir. Sebab itu juga pada 2006, Presiden Rusia, Vladimir Putin memperkenalkan undang-undang mengekang NGO asing yang ber­kait dengan aktiviti demokrasi.

Malaysia sebenarnya bukan seperti Rusia, China atau Venezuela yang mana kerajaan negara berkenaan sentiasa memandang serong aktiviti yang dibiayai IRI atau pun NDI kerana rakyat kita bebas mengamalkan sistem demokrasi berbanding dengan tiga negara tersebut. Proses PRU adalah bebas dan rakyat secara sukarela membuat keputusan tanpa ada tekanan atau pengaruh pihak asing dan ini termasuk NGO atau badan pemikir seperti IRI. Keputusan PRU-14 hakikatnya adalah telah dilunaskan oleh rakyat Malaysia tanpa ugutan atau pun manipulasi.

Cuma timbul polemik penglibatan IRI dalam mempengaruhi keputusan PRU-14 adalah kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Twinning sendiri dalam forum CSIS. Bagi masyarakat antarabangsa yang meneliti hujah Twinning maka tidak menghairankan jika timbul persepsi bahawa peranan IRI dalam PRU-14 adalah begitu besar sekali jika diambil peristiwa yang berlaku di Mesir, Yugoslavia, Ukraine atau pun Georgia.

Walaupun Twinning telah me­ngeluarkan kenyataan yang menafikan penglibatan secara langsung IRI dalam PRU-14, tetapi hakikatnya kata-kata beliau di forum CSIS yang mengagumi aktiviti IRI di Malaysia seolah-olah telah menafikan dan memperkecilkan kematangan rakyat Malaysia dalam membuat keputusan PRU-14.

Penafian oleh beberapa menteri kerajaan PH seperti Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenai wujud kerjasama antara PH dan IRI untuk menjatuhkan kerajaan BN adalah amat dialu-alukan. Memang bukan menjadi satu kesalahan parti politik bekerjasama dengan badan pemikir atau NGO asing tetapi timbul kegusaran apabila pertubuhan tersebut adalah IRI kerana stigma aktiviti tersiratnya adalah begitu tebal sekali.