Pihak-pihak yang memberi pandangan adalah daripada Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera).

MOHD. ALIF ANAS MD. NOOR, Presiden GPMS
MOHD. ALIF ANAS MD. NOOR, Presiden GPMS 

Jangan tunduk desakan pelampau

 Keresahan yang dialami oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan seperti GPMS adalah berkaitan desakan pelbagai pihak supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Penentangan GPMS bukan kerana bersifat rasis kerana kami berpendapat pada zaman Malaysia baharu ini, semua kaum perlu hormat-menghormati antara satu sama lain. Tidak perlulah kita menjadi pelampau kepada mana-mana kaum.

Kami menentang UEC kerana berpendirian perlu ada hanya satu sistem pendidikan di Malaysia yang mewajibkan semua pelajar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi kami, pengiktirafan UEC yang bersifat eksklusif kepada pelajar sekolah menengah persendirian Cina akan mengundang kemarahan, bukan sahaja kepada orang Melayu, malah dalam kalangan bukan bumiputera yang mengambil SPM di sekolah-sekolah kebangsaan.

Keresahan lain melibatkan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kerajaan perlu mengambil kira pandangan awam khususnya untuk memperbaiki skim pinjaman berkenaan supaya anak-anak muda pada hari ini tidak lagi mengeluh dan tidak lagi menuntut janji kerajaan untuk memansuhkan bayaran balik pinjaman terbabit.

Perkara lain yang menjadi keresahan adalah isu yang tular dalam media sosial baru-baru ini apabila hanya pelajar kaum India dikecualikan daripada membayar yuran pengajian di Institut Latihan Perindustrian (ILP). Kenapa orang Melayu perlu bayar manakala pelajar kaum lain tidak perlu bayar? Sepatutnya perkara-perkara seperti ini tidak berlaku kerana akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan pada hari ini.

GPMS sentiasa komited untuk memberikan pandangan bersifat positif kepada kerajaan. Kita yakin kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan supaya mengiktiraf UEC kerana pemerintah hari ini mampu memberikan keadilan sosial kepada semua kaum.

IBNU NAJAH ABD. HAMID
IBNU NAJAH ABD. HAMID

Perubatan tradisonal Melayu terpinggir

DARI segi keresahan membabitkan pengamal perubatan tradisional Melayu, kita tengok tidak ramai anak muda melibatkan diri dalam bidang ini sebab banyak yang pergi ke perubatan Barat. Kita juga dapati, tidak diperkenalkan inovasi ataupun teknologi baharu melibatkan perubatan tradisional Melayu.

Di alam Melayu ini khususnya Malaysia, tidak ada satu universiti pun yang boleh mengiktiraf perubatan tradisional Melayu. Tidak ada universiti yang kita boleh sambung pengajian sampai ke peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang ini.

Kita lambat dan kita jauh ke belakang kalau nak dibandingkan dengan perubatan tradisional Cina. Ada 11 universiti yang mengiktiraf perubatan tradisional Cina. Di Thailand, ada universiti yang mengiktiraf perubatan tradisional negara itu. India pun ada universiti, sampai hendak buka cawangan di Malaysia dan saya diberitahu telah diberi lot tanah.

Saya berpendapat, perlu ada satu universiti yang menawarkan pengajian berkaitan perubatan tradisional Melayu bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai bidang ini. Semasa saya mengikuti kursus dalam bidang urutan saraf. Kebanyakan peserta berumur antara 40 dan 50 tahun. Mana pergi orang muda?

Untuk menarik minat orang muda menyertai bidang perubatan tradisional Melayu, kita perlu melakukan inovasi. Apa salahnya doktor yang berpen­didikan perubatan Barat turut belajar perubatan tradisional Melayu? Mereka ini ada ilmu perubatan konvensional yang boleh digabungkan dengan perubatan tradisional Melayu. Mereka boleh lakukan inovasi perubatan tradisional kita.

MOHAMED ZAMRI MOHAMMED
MOHAMED ZAMRI MOHAMMED 

Peniaga Melayu mangsa balas dendam?

APA yang penjaja hadapi pada era kerajaan dahulu dan sekarang adalah amat berbeza sekali, bagai langit dengan bumi. Seperti kita maklum, peniaga kecil Melayu ini adalah rakan kepada Barisan Nasional (BN). Jadi apabila kerajaan bertukar, kita yang paling ketara menerima kesannya.

Contohnya di Wilayah Persekutuan, sebelum ini sejak 30 hingga 40 tahun lalu, persatuan yang mengendalikan banyak bazar untuk penjaja termasuk bazar Ramadan tetapi kini telah diambil alih 100 peratus penganjuran oleh pihak-pihak yang ada hubung kait dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikuasai sebuah parti bukan Melayu. Bukan sahaja di Wilayah Persekutuan, malah banyak negeri lain yang PBT dikuasai parti bukan Melayu ini, lesen untuk persatuan menganjurkan bazar berkenaan telah ditarik balik.

Jadi banyak sekali tempat Melayu berniaga telah dikacau. Contohnya, tapak perniagaan yang sudah elok seperti di Danau Kota, Kuala Lumpur pun nak dihapuskan atas alasan pembangunan. Tekanan kepada peniaga Melayu ini amat teruk sekali. Bagi saya, terdapat unsur balas dendam dalam soal ini setelah dapat memegang kuasa.

Anggota majlis perunding berkaitan penjaja pun dirombak. Hanya sebahagian kecil yang tinggal, banyak dibawa masuk orang baharu daripada kumpulan dia orang ini. Majlis Pembangunan Penjaja (MPP) di Wilayah Persekutuan pun sama berlaku. Jadi penjaja Melayu berada dalam keadaan tertekan dengan perubahan yang dibawa kerajaan baharu.

Cadangan saya untuk menyelesaikan masalah ini adalah amalan baik sedia ada yang dimulakan kerajaan terdahulu tidak payahlah hendak dirom­bak. Ini kerana untuk mewu­judkan perkara baharu yang benar-benar berkesan akan mengambil masa panjang. Contohnya, nak ambil alih penganjuran bazar Ramadan, akhirnya semua pihak rugi.