Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UM Cares) telah menganjurkan satu bengkel ekoterapi yang melibatkan murid-murid berkeperluan khas.

Mereka datang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Alam Shah (2), SK Taman Medan, SK Damansara Jaya (1) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Damansara. Bengkel tersebut yang telah diadakan di Rimba Ilmu, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya, melibatkan 73 murid berkeperluan khas bersama dengan ibu bapa serta 25 guru Pendidikan Khas.

Bengkel One With Nature ini bertujuan memberi pendedahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas mengenai pelbagai teknik dan aktiviti ekoterapi. Dan bagaimana mereka boleh memainkan peranan untuk membantu perkembangan anak-anak mereka dalam aspek emosi, tingkah laku, keyakinan diri, kemahiran psikomotor dan aspek-aspek sosial.

Bengkel-bengkel seperti ini amat penting kerana murid-murid berkeperluan khas kurang mendapat pendedahan ke alam semula jadi disebabkan ibu bapa kurang mengetahui bagaimana untuk membantu anak-anak mereka.

Terapi untuk anak-anak de­ngan keperluan khas kini mahal serta ibu bapa tidak mempunyai kepakaran dan kurang pendedahan dalam teknik-teknik rawatan untuk mengendalikan terapi seumpama ini dengan sendiri di rumah. Oleh itu ibu bapa sering meninggalkan anak-anak mereka bersendirian di rumah.

Projek ini memberi fokus kepada penyampaian maklumat teknik-teknik dan aktiviti ekoterapi motor kasar dan halus yang berkesan kepada ibu bapa secara praktikal dan teori sambil dipantau oleh Ketua Projek, Dr. Donnie Adams iaitu Pensyarah Kanan di Institut Kepimpinan Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Menurut Prof. Madya Dr. Aznan Che Ahmad, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia yang juga merupakan penyelidik bersama program ini, melalui kajian dan pengamatan, ramai ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas kurang pendedahan mengenai kemahiran asas dalam teknik rawatan pemulihan yang boleh dilakukan bersama anak-anak mereka di rumah. Bengkel ini diharapkan dapat memindahkan kemahiran tersebut kepada mereka melalui kaedah amali yang praktikal, dan sesuai diadakan secara berkala dan konsisten.

Pemindahan ilmu dan hasil pendedahan yang diterima dalam program ini memberikan impak kelesterian kepada ibu bapa tentang pelbagai teknik dan aktiviti ekoterapi yang berkesan untuk anak-anak berkeperluan khas di mana segala ilmu dan kemahiran yang didedahkan kepada mereka semasa program ini boleh dipraktikkan dengan cara yang mudah dan kos efektif di mana-mana taman rimba atau taman rekreasi.

Kesemua aktiviti yang dilaksanakan dan didedahkan dalam bengkel tersebut telah direka khusus untuk membantu membina kemahiran motor kasar dan halus murid-murid berkeperluan khas. Semua pergerakan dan aktiviti yang dilaksanakan itu tidak sukar untuk dipelajari dan diamalkan di rumah, mahu pun di taman-taman rekreasi sedia ada.

DR. DONNIE ADAMS ialah Pensyarah Kanan, Institut Kepimpinan Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).