Status yang dimuat naik pas­tinya diselitkan dengan fotografi lokasi menarik, mengenai keindahan lokasi ekopelancongan itu yang masih terpelihara.

Malah, Malaysia sebenarnya merupakan salah satu destinasi ekopelancongan dunia di mana ada pengembara dan pelancong sanggup menghabiskan perjalanan selama lebih 20 jam terbang ke Malaysia hanya untuk menikmati keindahan alam flora dan fauna di negara ini.

Sabah dan Sarawak antara yang mendapat perhatian. Namun Semenanjung Malaysia juga tidak kurang hebat.

Semenanjung mempunyai pelbagai lokasi ekopelancongan menarik dari laut, darat sehinggalah ke kawasan pergunungan yang menjadi kegilaan pengembara dari dalam dan luar negara.

Namun disebabkan atas dasar pembangunan sejak akhir-akhir ini, banyak lokasi ekopelancongan di Semenanjung Malaysia sema­kin rakus diteroka dan musnah.

Hutan hujan tropika Taman Negara yang terletak dalam Pahang, Kelantan dan Terengganu dan berusia melebihi 130 juta tahun itu adalah antara yang tertua di rantau ini. Namun tidak terkecuali terbabit dengan kerakusan pembangunan yang dilihat hanya tamakkan wang ringgit.

Bayangkan keadaan hutan yang sudah berusia jutaan tahun itu, sudah pastinya menyimpan pelbagai aset dan warisan yang pastinya tidak terdapat di mana-mana tempat lain di dunia ini.

Tempoh lebih 130 juta tahun juga bukan singkat. Tamadun awal manusia hanya dikesan sekitar 2.5 juta tahun yang lalu ketika Zaman Paleolitik Awal, jadi Taman Negara pasti menyimpan pelbagai khazanah yang ada di antaranya masih belum ditemui pengkaji.

Pada 2014, Taman Negara Kuala Koh yang merupakan sebahagian daripada komponen Taman Negara dan terletak di Kelantan diteroka untuk pembalakan.

Tinjauan ketika itu yang dilakukan bersama bekas Timbalan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Profesor Dr. Ahmad Ismail mendapati, aktiviti pembalakan giat dijalankan berdekatan perkampungan Orang Asli suku Batek di Sungai Balai.

Kehidupan Orang Asli di situ semakin sukar selepas punca air bersih mereka di Sungai Balai tercemar dan menjadi keruh selain sumber makanan dan hasil cucuk tanam mereka dimusnahkan oleh penyangak alam sekitar di situ. Malah, kawasan kubur adat Orang Asli di situ turut dimusnahkan.

Tidak diketahui sama ada kejadian banjir buruk yang melanda Kelantan atau dikenali sebagai ‘Bah Kuning’ pada Disember 2014 ada kaitan dengan aktiviti yang dilaporkan di Taman Negara Kuala Koh itu atau tidak.

Ketika itu, beberapa perkampungan khususnya yang terletak di tepi jalan dari Kota Bharu ke Kuala Krai seakan-akan ‘hilang’ dari peta Kelantan, akibat ditelan air bah.

Beberapa laluan utama yang menghubungkan Kelantan dengan negeri lain turut terputus. Ada yang runtuh, ada juga yang dinaiki air yang tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan termasuk kenderaan berat.

Jambatan kereta api di Kemubu turut runtuh, jambatan yang menghubungkan Gua Musang-Jeli juga menerima nasib sama akibat dibaham ‘sang air’ manakala nama Manek Urai semakin popular kerana ditenggelami air.

Kesannya hingga sekarang. Ada penduduk yang masih menunggu penggantian rumah mereka yang hanyut dibawa bah kuning.

Kini di Merapoh yang terletak di dalam Taman Negara Pahang, aktiviti pembalakan turut dikesan.

Sebelum ini, cadangan Kerajaan Pahang untuk membina kilang simen di situ berjaya dihalang aktivis alam sekitar.

Namun, Merapoh yang menyimpan pelbagai khazanah ekologikal Malaysia berusia ratusan juta tahun kini di ambang kepupusan dalam sekelip mata.

Memang tidak dinafikan, pembalakan di Merapoh sudah terjadi sekian lama, namun ketika ini, ia semakin tidak terkawal. Dan kini aktiviti pembalakan seluas 1,052.18 hektar di dalam kawasan tadahan hujan sedang berlaku.

Bekalan air bersih kepada lebih 10,000 penduduk kampung sekitar bakal terjejas.

Merapoh bukan hutan se­kunder tetapi merupakan limpahan hutan hujan asli dan kini memiliki ratusan buah gua batu kapur yang menyimpan pelbagai warisan alam Malaysia.

Bukit batu kapur sekitar Merapoh bukan sahaja mempunyai fosil haiwan laut berusia jutaan tahun, malah menyimpan rahsia mengenai peristiwa kepupusan massa bumi pada 251 juta tahun lampau atau lebih dikenali sebagai Kepupusan Usia Perm-Trias (Permian-Triassic Extinction).

Kini, semuanya diancam kepupusan. Semuanya bakal dilanyak secara rakus atas nama pembangunan.

Selain kepupusan total dalam sekelip mata, penduduk sekitar Merapoh juga bakal ‘dihidangkan’ dengan bencana besar menyerupai bah kuning ekoran kawasan tadahan air utama negara itu diganggu.

Buktinya sudah ada, pada 2014 ketika bah kuning melanda Kelantan, Merapoh turut terpalit. Banyak kampung terjejas.

Sampai bila kita mahu sedar bahawa pembangunan yang tidak terkawal mampu mengancam ekopelancongan?