Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI pada Rabu lalu, Asyraf melihat kemenangannya itu adalah isyarat daripada perwakilan yang membawa aspirasi dan harapan rakyat yang mahu UMNO berubah.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat pemimpin-pemimpin Pemuda itu sendiri untuk bersama-sama memulihkan UMNO?

ASYRAF: Sebab itu dari awal apabila saya menawarkan diri bertanding, saya tidak membawa pasukan sebab budaya kekelompokan inilah yang membawa keruntuhan kepada parti dalam keadaan parti tidak ada apa-apa hendak ditawarkan.

Budaya itulah mencetuskan kepada pertelingkahan berpanjangan sehingga pilihan raya. Saya membawa agenda dan aspirasi perjuangan yang ingin kongsikan kepada perwakilan. Bila ditanya siapa Naib Ketua Pemuda dan exco-exco saya, saya kata terserah kepada perwakilan. Siapa sahaja dipilih naib dan exco, itulah naib dan exco saya.

Waktu berkempen, saya sebutkan dalam keadaan parti begini, kita perlu insaf dan rendah diri. Yang menang tidak akan kalah semua dan yang kalah tidak kalah semua. Dalam keadaan kita hendak membina kembali parti, kita tidak boleh hilang seorang pun pejuang parti yang menawarkan diri untuk bertanding.

Kalau ada yang tewas, kita kena pastikan mereka diberikan tempat dalam arus untuk kita membina semula institusi Pemuda ini. Itu akhirnya akan memberikan satu persepsi yang positif kepada rakyat.

Datuk tidak pernah memegang jawatan dalam Pemuda UMNO termasuk di peringkat cawangan. Apakah isyarat yang diberikan oleh perwakilan dengan kemenangan Datuk sebagai Ketua Pemuda?

ASYRAF: Isyarat pertamanya, kita tidak boleh menyekat perwakilan. Mereka membawa aspirasi dan harapan rakyat di luar yang mahu UMNO berubah. Mahu kepemimpinan yang bersih dan dilihat bersih, dan dilihat ikhlas. Kita boleh cakap ikhlas tetapi gaya, perawakan dan pendekatan kita tidak menggambarkan kita ikhlas kepada perjuangan.

Kita leka dan kita dihukum oleh Tuhan dan rakyat setelah 61 tahun kita berkuasa. Apa puncanya? Kita sombong. Kita rasa kuasa kekal selama-lamanya dan duit boleh membeli segala-galanya. Ini semua meruntuhkan ego kita.

Kalau kita berasa kuasa adalah selama-lamanya, hari ini kuasa sudah hilang. Tetapi bagi saya, Tuhan masih memberi peluang kepada kita. Tuhan tidak menghancur leburkan UMNO tetapi Tuhan masih meninggalkan kita dengan kerusi yang masih menggambarkan UMNO masih lagi parti terbesar mewakili suara Melayu dan Islam di Parlimen. Maknanya, ada ruang dan harapan rakyat kepada kita.

Alhamdulillah, harapan rakyat ini diterjemah oleh perwakilan. Sebab kalau difikirkan dari segi rasional manusiawi, mustahil untuk saya menang kerana berada di luar kerangka. Saya hanya membawa aspirasi dan agenda perjuangan yang hendak dikongsikan.

Saya tidak ada keupayaan kewangan, bahkan saya tidak ada jentera pun. Tetapi yang menariknya, apabila saya umumkan penawaran untuk bertanding, ia seperti jentera yang bersifat organik.

Ia tumbuh di setiap negeri yang kebanyakan mereka saya tidak pernah kenal. Tetapi keikhlasan dan kejujuran mereka amat terbukti. Bila saya ke negeri-negeri, merekalah yang mengumpulkan perwakilan dan tidak mahu satu sen pun daripada saya. Mereka sendiri yang mengumpul dan meraikan perwakilan tanpa sebarang imbuhan.

Ini satu budaya baharu yang tidak pernah timbul. Ini adalah isyarat kepada rakyat dan perwakilan yang lebih besar bahawa hakikatnya, UMNO bersedia untuk berubah daripada bawah.

Perwakilan mempunyai aspirasi tinggi kepada kepemimpinan. Mereka mahu kepemimpinan yang bersih dan dilihat bersih. Mereka mahu perubahan yang segar supaya ia boleh membawa citra dan aspirasi rakyat.

Apakah perubahan yang ingin Datuk bawa dalam Pergerakan Pemuda?

ASYRAF: Dari dahulu saya katakan institusi Pemuda perlu memfokuskan kepada lima perkara dan saya sudah sebutkan lima perkara itu semenjak saya awal-awal terlibat dalam UMNO lagi.

Saya kata mana-mana parti politik, aspek pengkaderan adalah satu aspek yang kita tidak boleh pisahkan. Kedua, kita kena fokus kepada pentarbiahan sebab ia sinonim dengan pengkaderan. Kita tidak boleh hanya mendapatkan bakat-bakat baharu tetapi kita perlu latih dan didik mereka apa makna kita berjuang dengan UMNO dan apa makna perjuangan kita.

Kita tidak boleh retorik. Hari ini, apabila kita kata perjuangan UMNO, ABATA; agama, bangsa dan tanah air. Apa dia agama? Kita sendiri rasa canggung. Tetapi hakikat itulah yang perlu dipasak dalam pemikiran.

Yang ketiga, pembudayaan ilmu. Sebagai pembangkang, lagilah kita perlukan pemimpin di akar umbi yang berilmu supaya mereka boleh berhujah dengan kerajaan hari ini, menjadi pengantara dan pengimbang kepada rakyat dan menyalurkan suara hati rakyat. Bukan berasaskan sentimen dan emosi tetapi ilmu dan fakta. Barulah rakyat akan memandang tinggi kepada kita.

Yang keempat, pemerkasaan dari segi rohani iaitu hubungan kita dengan Tuhan. Pemuda-pemuda perlu dicanai dengan nilai begitu. Program halakah ilmu, kuatkan mereka dengan perkara-perkara asas seperti menjaga solat. Macam mana kita hendak berkat dalam perjuangan kalau perkara asas kita longgar.

Yang terakhir, pemantapan jati diri yang merupakan rumusan kepada semua. Kalau jati diri kental, kita tidak akan ada masalah walaupun datang gelombang dan isu melanda. Sekarang kita pula rasa goyah dan resah apabila datang sesuatu isu.

Ini tidak sama seperti zaman Tun Dr. Mahathir dahulu ada 1,001 isu melanda beliau sebagai Perdana Menteri tetapi institusi UMNO itu kuat dan kental. Orang kata sebab (tidak ada) media sosial. Bagi saya bukan. Sebab jati diri Pemuda dan ahli UMNO pada waktu itu kuat kerana melihat gambaran dan perjuangan yang lebih besar.

Pemimpin manusia biasa. Mereka akan melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi yang kita pertahankan bukannya individu pemimpin tetapi perjuangan kita yang lebih besar. Agama tidak boleh kita gadaikan kerana kemarahan kepada seseorang. Perjuangan bangsa tidak boleh biarkan hanya kerana kebencian atau sentimen dimainkan.

Imej UMNO mungkin agak negatif sekarang dan dilihat sebagai parti orang tua. Bagaimana Datuk sebagai Ketua Pemuda mahu menarik golongan muda dan cerdik pandai?

ASYRAF: Wajah UMNO itu perlu segar. Kalau wajah UMNO itu dipalitkan dengan pelbagai kontroversi menyentuh denyut nadi rakyat seperti mahu hidup dengan selesa. Apabila kos sara hidup naik dan keadaan jadi terdesak, denyut nadi terkait dengan persepsi pula.

Persepsi bagaimana yang ditonjolkan? Pemimpin hidup dalam kemewahan, pemimpin bongkak dan kenyataan angkuh. Ini menimbulkan kemarahan dan persepsi terwujud, dengan sendiri keyakinan dan kecenderungan rakyat untuk bersama akan jauh.

Kalau kita boleh mewajahkan UMNO sebagai satu citra yang baharu, kaedah dan pendekatan menggunakan media sosial, itu hanya kaedah. Produk apa yang kita hendak jual, produk itu yang kena betul dahulu. Hendak buat video pendek atau drama, itu mudah dilaksanakan tetapi kita kena ikhlas.

Kita boleh buat drama atau video, tetapi adakah ia mewakili wajah sebenar parti? Tambah dengan segala isu melanda rakyat hari ini sedangkan pemimpin masing-masing menonjolkan kemewahan. Masing-masing, nilai kebangsawan itu lebih menyerlah.

Tidak mengakar, merimbun dan membumi seperti perjuangan UMNO lalu. Sebab itu bagi saya UMNO kena perlu kembali kepada asas perjuangannya. Tidak perlu kaedah yang boombastic. Barulah rakyat akan terima dan kita akan diberkati.

Dengan imej negatif terpalit kepada UMNO, mampukah ia dihakis?

ASYRAF: Sebab itu pemilihan kali ini penting. Kita tidak boleh hanya mengatakan kita bersih tetapi kita harus dilihat bersih. Tetapi jika percakapan tidak seiring dengan perbuatan, itu akan dihukum oleh rakyat. Tanggungjawab saya bukan sahaja memulihkan persepsi tetapi membina akar iaitu Pemuda.

Bagi saya ini peluang yang terbaik kerana Pemuda adalah pewaris perjuangan. Sebagai Ketua Pemuda, saya mempunyai amanah dan tanggungjawab besar untuk pergi ke bawah. Apabila kata pemuda, bukan hanya yang berada dalam parti tetapi di luar parti termasuk di sekolah, universiti serta yang bekerja di kilang atau pejabat. Mereka ini perlu didekati dan dicanai pemikiran.

Ini harus dilakukan seluruh warga parti. Kekuatan UMNO ialah kita ada parti akar umbi. Kita ada struktur cawangan dan bahagian. Tetapi mereka ini diberikan hala tuju, garis panduan dan pedoman. Bukan hanya kita bersifat remote control di atas dan berasakan apa yang kita buat betul tetapi tidak memahami kehendak di bawah.

Sebab itu saya berikan komitmen jika saya menang, semua exco perlu turun ke akar umbi. Tidak ada lagi tidur di hotel, tetapi di rumah-rumah ketua pemuda. Tidak perlu program besar tetapi cukuplah program halakah di rumah untuk membina kekuatan dalaman dan dengan sendiri akan ada kesan gandaan lain dalam konteks perjuangan ini. Tetapi kalau yang tunjang pun tidak kuat, jangan harap kita dapat menyuburkan buah dan ranting yang lebih besar.