Tindakan beliau yang sanggup bersekongkol dengan DAP dilihat mampu menggugat kuasa politik orang Melayu. Bagaimanapun bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, DATUK SERI MAHDZIR KHALID, beliau mempunyai pandangan berbeza. Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. ASRON MUSTAPHA serta jurugambar AIZZUL A. MAJID, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu melontarkan analisis politik beliau.

 

UTUSAN: Bagaimana Datuk Seri melihat Pakatan Harapan dengan adanya Dr. Mahathir bersama mereka?

MAHDZIR: Dr. Mahathir tiada falsafah yang jelas apabila me­nubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Beliau lebih tertumpu kepada usaha membalas dendam terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr. Mahathir juga tidak mempunyai platform kuat kerana PPBM baharu ditubuhkan dengan sokongan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Sebab itu Dr. Mahathir bergabung dengan DAP yang telah ditinggalkan Pas.

Pada saya, Dr. Mahathir bukanlah faktor sangat kepada Pakatan Harapan, sebab kita tahu yang dominan dalam Pakatan Harapan ialah DAP. Itulah yang saya nampak.

 

Tetapi ada yang melihat keha­diran Dr. Mahathir sedikit seba­nyak boleh menggugat sokongan orang Melayu terhadap UMNO?

Sepanjang tempoh menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, beliau berkali-kali memberi amaran bahawa DAP adalah parti paling cauvinis di Malaysia.Tetapi apabila beliau sendiri berpakat dengan Lim Kit Siang dan kemudian kata beliau silap kerana DAP bukan anti-Melayu, maka pada saya, Dr. Mahathir sudah melakukan kesilapan.

Dalam hal ini (berpakat de­ngan DAP) Dr. Mahathir tidak mendapat sokongan orang Melayu sebab beliau mengatakan dan saya sendiri dengar ucapan itu sejak 1982 lagi bahawa DAP parti cauvinis yang perlu dijauhi orang Melayu.

Sebab itu, pada pandangan saya, Dr. Mahathir tidak mendapat sokongan, kalau ada pun yang menyokong jumlahnya kecil.

Ia kerana selepas Dr. Mahathir sebut berpuluh-puluh tahun bahawa DAP adalah parti cauvinis, anti-Melayu tetapi tiba-tiba mahu duduk bersama bagi menubuhkan kerajaan, mana boleh macam itu. Saya tak fikir ada logiknya untuk orang Melayu sokong.

Pakatan Harapan menyasarkan untuk mendapatkan 10 hingga 15 peratus peralihan undi Melayu bagi membolehkan mereka merampas Putrajaya. Apa komen Datuk Seri?

Kita mempunyai tiga kategori pengundi. Pertama, dipanggil Malay belt (majoriti Melayu).

Malay belt ialah kawasan yang lebih 80 peratus adalah pengundi Melayu. Kedua kawasan marginal, kawasan yang ada dalam­nya pengundi Melayu, Cina dan India.

Ketiga, kawasan pengundi Cina melebihi pengundi bangsa lain. Jika mereka mahu tsunami Me­layu, Pakatan Harapan perlu mendapat undi di seluruh kawasan Malay belt atas nama PPBM atau PAN. Saya tidak fikir itu akan berlaku dalam politik negara kita.

Sejauh mana Datuk Seri melihat pengaruh Dr. Mahathir dan sentimen ke atas Mukhriz akan mempengaruhi keputusan pengundi di Kedah dalam PRU-14?

Mereka ada sedikit sebanyak pengaruh di bahagian tertentu di Kedah tetapi pada sayalah, secara keseluruhannya teras orang Melayu ini masih kepada UMNO.

Dua tahun lebih, asakan terhadap Najib sebagai Presiden dan Perdana Menteri. Saya ingat mereka sudah menggunakan semua kaedah hinggalah ke soal peribadi untuk meminta supaya kalau boleh ada sedikit kecairan dalam kalangan ahli UMNO untuk tidak menyokong Najib ketika terjadinya perpecahan apabila Muhyiddin, Mukhriz dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal me­nubuhkan parti baharu.

Di Kedah dalam PRU-13, aura Mukhriz untuk dilantik sebagai menteri besar berjaya mempenga­ruhi pengundi, benarkah?

Saya tak fikir Mukhriz dipromosikan itu menjadi faktor utama BN menang sebab, Datuk Seri Ahmad Bashah (Md. Hanipah) jadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Pengarah Pilihan Raya negeri tiga tahun lebih awal daripada itu.

Makna­nya strategi pilihan raya ini telah dibuat lebih awal dan berterusan, cuma di penghujung­nya sahaja baharu kita umumkan bakal menteri besar adalah Mukhriz.

Sebenarnya, kita sudah meletakkan jangkaan berapa jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita akan menang lebih awal lagi dan jumlah itulah juga yang kita dapat walaupun selepas Mukhriz diumumkan tetapi Mukhriz mendakwa kalau tidak kerana dia datang, tak menang di Kedah.

 

Satu lagi strategi pakatan ialah meletakkan Dr. Mahathir di Langkawi dalam usaha nak menawan negeri dan juga menuju ke Putrajaya, di Kedah sentimen itu bagaimana?

Memanglah wak­tu Dr. Mahathir men­jadi Perdana Menteri, beliau men­jadikan Langkawi sebagai sebuah pusat pelancongan dan bebas cukai tersohor tetapi itu tugasan semasa beliau masih Per­dana Menteri te­tapi pada sa­yalah dalam sebuah negara demokrasi, dalam ber­politik ini, Dr. Mahathir perlu ingat bahawa beliau datang dalam kerajaan itu bukan datang atas individu bernama Mahathir Moha­mad.

Beliau datang atas nama parti politik, kalau Dr. Mahathir bertanding atas nama Mahathir Mohamad dan beliau menang itu lain, tetapi beliau datang atas parti politik. UMNO inilah yang bawa Dr. Mahathir dahulu, baharulah beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Hari ini, Dr. Mahathir tidak lagi bersama UMNO, parti yang melalui sejarah panjang. Dari segi pilihan raya, UMNO hanya pernah kalah teruk sekali sahaja disebabkan faktor individu iaitu pada 1999 apabila timbul isu mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akibat isu itu, UMNO tewas di banyak kawasan termasuk saya sendiri di Padang Besar.

Bagaimanapun BN masih menjadi kerajaan dan memerintah. Kali ini, datang pula Dr. Mahathir tetapi beliau tiada elemen dramatis, berbeza dengan Anwar.

Saya tak pasti beliau nak bertanding atau tidak tetapi saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa ahli UMNO tidak akan mengkhianati parti.