Kereta Proton Saga dengan nombor pendaftaran Proton 1 itu diberikan oleh Dr. Mahathir kepada bapa Sultan Ibrahim, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa Almarhum menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 1985 sewaktu syarikat kereta nasional tersebut baru dilahirkan.

Paling mencuri tumpuan dan mengharukan adalah apabila Sultan Ibrahim sendiri memandu kenderaan itu untuk menghantar Perdana Menteri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Layanan yang diberikan bukan biasa-biasa, malah amat istimewa, bersejarah dan pastinya terpahat dalam memori sesiapa sahaja.

Boleh dikatakan pelbagai persepsi orang ramai mengenai hubungan Dr. Mahathir dengan Kesultanan Johor terus terpadam dan meninggalkan kesan yang amat positif kepada hubungan Kerajaan Pusat dan kerajaan Johor.
Proton adalah antara simbol pentadbiran Dr. Mahathir dalam usahanya mengubah struktur Malaysia ke arah sebuah negara perindustrian sewaktu kali pertama beliau menjadi Perdana Menteri.

Diplomasi yang dipamerkan oleh Sultan Ibrahim itu pastinya menyentuh hati pemimpin negara berusia 94 tahun tersebut yang begitu sayangkan Proton.
Kereta Proton membawa imej negara dan semangat patriotik, malah mengimbau kenangan lama lebih-lebih lagi kereta Proton Saga biru itu diberikan kepada Almarhum Sultan Iskandar.

Layanan yang diberikan itu juga dapat menunjukkan bagaimana Sultan Ibrahim sendiri mengiktiraf Dr. Mahathir sebagai negarawan yang telah mengharungi pelbagai onak dan duri jatuh bangun Malaysia.

Menurut Dr. Mahathir, kereta yang dinaikinya itu masih berkeadaan baik walaupun sudah berusia 34 tahun dan bagi beliau ia satu pengendorsan (sokongan) untuk kereta Proton.

Jika Dr. Mahathir dihantar sehingga ke Kuala Lumpur sekali pun menggunakan kereta berprestij buatan Barat, nilainya tidak setanding dengan Proton Saga biru yang digunakan walaupun hanya untuk jarak kira-kira 22 kilometer dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Gambar Sultan Ibrahim dan Dr. Mahathir menaiki kereta Proton Saga biru itu akan menjadi gambar sepanjang zaman sebagai khazanah negara.