Malah, kerajaan berpendapat kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berumur antara 15 hingga 24 tahun merupakan fenomena biasa yang dihadapi oleh negara membangun dan maju di dunia.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, golongan ini dikatakan berada dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada realiti pasaran pekerjaan.

Namun, bilangan lebih setengah juta orang tidak memi­liki pekerjaan ini, dari anak mata rakyat mar­haen adalah angka yang besar. Banyak faktor boleh dibentangkan berkaitan punca angka itu tinggi, sama ada berkait soal pekerjaan yang kurang, cerewet memilih pekerjaan atau syarat pengajian yang ketat dan ada masanya, luar biasa.

Luar biasa bila macam-macam syarat dikenakan semasa proses temu duga, seperti berat badan tidak sejajar dengan indeks massa badan atau BMI. Ia merupakan suatu pengukuran yang menunjukkan hubungan antara berat badan dan tinggi badan iaitu apakah berat badan normal, kurang, berlebih, atau obes.

Inilah kes membabitkan seorang wanita yang menghadiri temu duga kerja eksekutif di sebuah syarikat, mendakwa telah ditolak kerana paras BMI dirinya ialah 38 yang bersamaan dengan ‘obes’.

  • GEMUK

Kes wanita itu bukan yang pertama meng­hadapi `diskriminasi’ berat badan. Pada 2017, syarikat penerbangan meme­cat lima pramugara kanan setelah mereka didapati mening­kat berat badan. Seorang daripadanya setinggi 175 sentimeter dan berat 80 kilogram.

Seorang peguam yang mengkhusus kepada undang-undang penggajian dipetik sebagai berkata, definisi ‘diskriminasi’ di tempat kerja dalam Perlembagaan Negara hanya terhad kepada agama, kaum, asal-usul, tempat lahir dan jantina. Tiada bab kesihatan, apa lagi berat badan.

Maka itu, tidak mungkin seseorang pekerja akan dapat meraih kejayaan jika mengambil tindakan perundangan terhadap majikan atas dakwaan diskriminasi berat badan.

Obes secara umumnya terang­kum di dalam konteks kesihatan, dengan Persatuan Perubatan Amerika pada 2013, mentakrifkannya sebagai suatu penyakit.

  • PENDIRIAN

Dari sudut majikan terutama pegawai yang ditugaskan menya­ring calon pekerja, khasnya Jabatan Sumber Manusia diberi mandat untuk tidak menerima individu yang laporan kesihatannya didapati tidak baik dan dalam konteks BMI, mungkin dianggap sebagai berisiko tinggi.

Aspek di atas diterjemahkan sebagai individu itu akan jatuh sakit dan selalu sakit, sekali gus mengurangkan produktiviti dan pada masa sama, meningkatkan kos rawatan kepada syarikat.

Mungkin ada kalangan sahabat kita walaupun berbadan gempal dan gemuk, tetapi mereka ini cukup aktif sama ada dalam melaksanakan tugas apalagi bersukan. Sekilas itu kita terfikir, gemuk tidak sepatutnya dikaitkan dengan bermasalah. Betul?

Namun, rasionalnya ialah walaupun ditermakan diskriminasi, inilah mekanisme perlindungan bagi sesebuah organisasi daripada menanggung kos tinggi.

Ini kerana dalam usaha `melin­­­dungi’ kepentingan sya­rikat, pemilihan pekerja patut meliputi serba-serbi hal kesihatan, bukan terhad kepada gemuk atau BMI semata-mata. Majikan wajar menilai indikator lain risiko kesihatan seperti sama ada seseorang itu merokok atau tidak.

  • PEROKOK?

Ini dilakukan secara meluas dan teliti di Jepun. Dalam kertas permohonan, calon ditanya apakah dia merokok atau tidak. Jika dia merokok, apakah jenis rokok? Jenis tradisional atau produk alternatif rokok seperti IQOS iaitu sejenis produk tembakau yang dipanaskan dan begitu popular di Jepun dengan lebih enam juta pengguna.

Pelbagai kajian saintifik bebas telah membuktikan produk bebas asap seperti ini kurang berbahaya berbanding rokok biasa.

Apa salahnya pendekatan ini diamalkan juga di Malaysia? Semua maklum kadar individu yang mengalami masalah kesihatan berkaitan tabiat merokok di negara ini adalah antara yang tertinggi di dunia. Apa yang jelas tabiat merokok perlu berubah.

Namun, tidak pula disarankan majikan terus menolak perokok. Ini pun suatu diskriminasi. Kerana tabiat ini agak menebal dalam masyarakat kita. Lihatlah apa terjadi kepada peraturan larangan merokok di premis makan. Meja dialihkan!

Yang disarankan ialah seandainya majikan bersetuju menjadikan kriteria merokok atau tidak dalam kalangan bakal pekerjanya, kelonggaran boleh difikirkan jika mereka memilih produk e-rokok yang sememangnya menjadi trend masa kini.

Selain itu, sudah pasti jika warga kerja yang merupakan perokok tegar digalakkan menukar gaya hidup kepada produk alternatif yang mengikut kajian tidak membahayakan orang sekeliling, sudah pasti persekitaran tempat kerja menjadi lebih bersih, selesa dan bebas asap.

Ini sangat penting untuk menjamin keselamatan dan keselesaan terutama tempat kerja berbahaya seperti kilang dan tapak pembinaan misalnya.

  • PERUNDANGAN

Pada masa sama, sewajarnya Kementerian Kesihatan melihat soal perundangan produk e-rokok secara holistik. Pertama, kategori-kategori produk ini harus diklasifikasikan dengan tepat dan terperinci daripada e-rokok kepada produk tembakau yang dipanaskan.

Dapatkan maklumat lengkap yang berasaskan kajian saintifik bebas atau lakukan satu kajian saintifik menyeluruh peringkat nasional tentang produk bebas asap terbaharu di pasaran sebelum menggubal undang-undang.

Peraturan perlu diselenggara dan kualiti produk diutamakan bagi menjamin keselamatan pengguna. Dengar pendapat dan rintihan semua pihak kerana sudah tentu sekali perundangan yang dinanti-nantikan ini memberi impak besar terhadap pekerja dan majikan serta produktiviti pekerja di Malaysia.