Dalam bahasa lain, privasi me­rangkumi privasi fizikal, privasi informasi dan kebebasan daripada pengawasan yang keterlaluan.

Hak privasi diri setiap orang di negara ini diiktiraf dan dilin­dungi oleh mahkamah seperti yang telah diputuskan dalam beberapa kes sebelum ini iaitu antaranya kes Maslinda Ishak v Mohd Tahir Osman & Ors (2009) dan Lee Ewe Poh v Dr Lim Teik Man & Anor (2010). Dalam aspek privasi informasi atau kerahsiaan data peribadi pula, Parlimen telah meluluskan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2013, yang mula dikuatkuasakan pada 15 November 2013.

Baru-baru ini media Barat me­laporkan keresahan serta ke­gelisahan beberapa pihak me­ngenai ketepatan teknologi moden menggunakan perisian pengecaman wajah (facial reco­gnition software) yang digunakan oleh pihak berkuasa beberapa negara.

Sebuah portal teknologi (www.technologyreview.com) sedikit ma­sa lalu menyatakan bahawa mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Government Accountability Office Amerika Syarikat, pihak FBI sendiri telah gagal menjalankan ujian rapi tentang ketepatan sistem pengecaman wajah yang digunakan olehnya (“Are face recognition systems accurate?”, MIT Technology Review, 6 Julai 2016).

Mengikut sebuah portal lain, pasaran sistem pengecaman wajah kini bernilai hampir AS$3 bilion (RM11.84 bilion) dan dijangka berkembang dua kali ganda sehingga AS$6 (RM23.69) bilion menjelang tahun 2021. Pengawasan ke atas orang awam yang kini diamalkan oleh pelbagai agensi awam negara menjadi sebab utama pertumbuhan pasaran ini. Pihak FBI sendiri kini memiliki pangkalan data berisi imej hampir separuh populasi Amerika Syarikat. Selain keresahan rakyat berpunca daripada pengawasan yang melampau oleh kerajaan, timbul juga kebimbangan bahawa teknologi moden ini boleh disalah gunakan untuk maksud gangguan dalam talian atau jenayah stalking.

Kajian yang dijalankan oleh National Institute of Standards and Technology menunjukkan walau pun kadar kesilapan pengecaman terus berkurangan 50 peratus setiap dua tahun, ia masih lagi melebihi enam peratus. Kadar kesilapan pengecaman wajah ini le­bih tinggi daripada kadar kesilapan imbasan iris dan imbasan cap jari (pengecaman identiti seseorang berasaskan pemeriksaan mata dan cap jari).

Selain isu ketepatan pengecaman wajah itu sendiri, penggunaannya yang keterlaluan oleh pelbagai agensi awam juga me­nimbulkan keresahan dari aspek pelanggaran hak privasi diri. Se­pertimana halnya dengan pangkalan data DNA, gambar muka rakyat yang dirakam dan disimpan oleh pelbagai agensi awam menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh disalahgunakan, sekali gus menjejaskan hak privasi rakyat.

Andainya ada pihak berkuasa atau agensi awam meminta maklumat diri kita seperti cap jari, sampel darah, kuku, rambut dan sebagainya untuk memastikan identiti kita atau identiti orang lain yang disyaki ada pertalian darah dengan kita, kesemuanya itu hanya boleh diambil setelah mendapat izin dari kita atau ada perintah mahkamah. Situasi tidak sama dalam hal pengambilan gambar muka (foto) seseorang, ia boleh diambil menerusi alat CCTV dan alat perakam gambar yang dipasang di merata tempat dalam negara terutama sekali di pintu keluar masuk negara. Kita tidak tahu bila gambar muka kita telah dirakam dan di mana ia disimpan.

Pada 2015, satu kes difailkan di Illinois, Amerika Syarikat oleh Carlos Licata terhadap Facebook di bawah satu undang-undang privasi di negeri itu bernama Akta Privasi Maklumat Biometrik (BIPA) 2008. Di bawah akta itu, maklumat biometrik seseorang itu tidak boleh diperoleh dan disimpan oleh mana-mana pihak kecuali terlebih dahulu telah mendapat izin darinya. Jika ada pihak berbuat demikian tanpa izin (dalam kes ini, ia dilakukan oleh Facebook), pihak tersebut boleh diheret ke mahkamah.

Facebook telah bekerja keras melawan kes itu selain menentang usaha kerajaan negeri-negeri lain (seperti Washington, Montana, New Hampshire, Connecticut dan Alaska) meluluskan undang-undang yang sama. Pada masa ini Facebook dianggarkan ada menyimpan 350 juta foto pemegang akaunnya yang dimuat naik setiap hari.

Pada Mei 2016, majalah Fortune melaporkan bahawa di Rusia seseorang itu boleh menggunakan telefon pintar­nya untuk mengambil gambar orang lain pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat. Dan dengan menggunakan satu aplikasi pengecaman wajah sedia ada, ia boleh mengetahui siapa orang itu dan latar belakang peribadinya. Menyifatkan situasi begini sebagai satu mimpi ngeri, majalah itu menyatakan perkara ini berlaku disebabkan kecanggihan teknologi semasa yang kini nampaknya sudah di luar kemampuan pihak kerajaan selaku gatekeepers (pelindung) privasi rakyat untuk mengawalnya. Teknologi begini membolehkan seorang itu berdiri di luar bangunan seperti masjid, kelab malam gay, klinik AIDS dan seumpamanya. Dan hanya de­ngan menggunakan telefon pintar, boleh mengetahui dengan segera identiti setiap orang yang keluar masuk bangunan itu.

Majalah itu menyifatkan kebanyakan rakyat di Amerika Syarikat yang tidak peka dengan kesan buruk teknologi moden ini sebagai seekor katak dalam periuk air yang tidak sedar ia sedang direbus. Jika kita di negara ini juga kurang prihatin dengan isu yang sama, nasib yang sama boleh menimpa kita.

Saya sempat meneliti Akta Privasi Informasi Biometrik yang diluluskan di Illinois AS dan me­rasakan ada baiknya jika satu akta yang serupa dengannya boleh dikuatkuasakan di sini.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.