Penolakan ini semakin jelas dan ia sudah pun sampai ke tahap membimbangkan. Malah ia juga umpama senjata makan tuan apabila agenda yang selama ini diperjuangkan parti yang jelas hala tuju perjuangan seperti DAP, kini turut memalit sama rakan sekutu dalam blok kerajaan.

Ini semua apabila PH sendiri bertindak di luar realiti politik Malaysia yang di dominasi orang Melayu dan Islam sejak sekian lama. Mereka mungkin boleh memahami jika DAP dan PKR yang bertindak mencabar kedudukan Islam dan Melayu.

Tetapi apabila rakan sekutu hanya boleh mengangguk dan dilihat bersekongkol walaupun agak keberatan, orang Melayu sudah tidak mampu menanggungnya lagi.

Ini sememangnya satu realiti politik baharu tanah air. Setelah pelbagai janji yang terlalu utopia sifatnya dihambur kepada pengundi yang ketika itu dahaga akan kebenaran kisah 1MDB yang gagal ditangkis kerajaan ketika itu. Kini mereka melihat nasib tidak menyebelahi mereka.

Walaupun pahit namun orang Melayu masih melihatnya sebagai satu bentuk kompromi pada awalnya. Kekalahan BN dan UMNO belum sampai ke tahap “kiamat” bagi mereka.

Sebagai orang lebih terdidik dan melebihkan agama serta menimbang akal dari nafsu, tidak ada kebangkitan perlu diangkat apatah lagi mengaruk di jalanan seperti orang hilang akal, hanya kerana bertukar kerajaan.

Mereka seolah-olah boleh hadam dan ada juga yang menerimanya sebagai akibat kesalahan sendiri. Yalah kalau sudah disuruh berubah tetapi tetap degil dan merasa diri hebat dan besar, maka akibatnya tanggunglah sendiri.

Kecil hati

Soal manifesto yang gagal di tunai satu perkara. Bersabar dengan kepimpinan yang lupa diri dan sentiasa berasa diri di puncak selamanya, juga antara punca ramai orang Melayu kecil hati dan enggan peduli realiti politik yang banyak berubah selepas PRU.

Namun kini suasana sudah berubah dan orang Melayu sudah membuka mata dan tersedar dari kepompong antara marah dan alpa.

Apatah lagi apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri semakin lama berselirat dengan kenyataan-yang dilihat meminggirkan Melayu dan Islam. Ia semakin parah dan “makan dalam” bagi orang Melayu terutama di luar bandar yang masih menebal semangat dan jati diri Melayu.

Nak diharap pada Parti Amanah Nasional (PAN) ramai antara kita sendiri tak tahu apa sebenarnya dimahukan. Orang ramai melihat agenda mereka tidak lebih sebagai menyambung perseteruan dengan Pas. Apatah lagi mereka masih belum dapat keluar dari persepsi parti yang dibayangi DAP, tentu sukar untuk diterima orang Melayu.

Jika PH dilihat meminggir janji manifesto yang sememangnya sukar dilaksana, namun masyarakat secara umum masih boleh menerimanya kerana bagi mereka ia melibatkan soal kehidupan seharian.

Bagi kebanyakan pengundi mereka masih seperti biasa walaupun hati memang agak panas, namun ia bukan perkara baharu. Kita semua sudah melalui hidup sama ketika era kerajaan terdahulu dan kini hanya mampu tersenyum kerana keadaan balik asal walaupun pahit.

Namun apabila soal agama kelihatan seperti diperlekeh dan semakin hari semakin terpinggir maka orang Melayu dilihat tidak mampu berkompromi dalam hal ini.

Terbaru apabila Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan realiti politik hari ini yang membiarkan umat Islam dibuli telah menyebabkan rakyat berasa agama Islam berada dalam keadaan tidak begitu selamat di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Terancam

Beliau turut menegur kenapa ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam tidak pula diambil tindakan. Malangnya ketegasan beliau ini pula di selar sebagai “pekak”.

Itu baharu satu isu sedangkan setelah hampir genap setahun PH memerintah banyak perkara menyedihkan berlaku kepada orang Islam Melayu yang dikatakan sedikit demi sedikit dilayan seperti rakyat kelas kedua.

Antaranya isu kekerapan Nabi Muhammad SAW dihina tanpa tindakan, isu ICERD, kedudukan Raja-raja Melayu diperlekeh, dan banyak lagi telah menghakis kepercayaan rakyat. Ini menimbulkan persoalan apakah PH terutama daripada parti majoriti Melayu sengaja alpa akan perkara ini.

Apakah mereka tidak sedar apa yang dilakukan menjadi antara punca utama populariti PH semakin menjunam dalam kalangan rakyat. Apatah lagi kajian demi kajian menunjukkan sokongan terhadap mereka semakin merosot.

Dan terbaru kajian oleh Merdeka Center jelas membuktikan PH semakin gagal memikat hati dan sokongan rakyat. Sesuatu perlu dilakukan PH jika mahu terus menjadi kerajaan dan bukan hanya sekadar sepenggal.

Apatah lagi momentum pembangkang sudah semakin berbisa melibatkan UMNO, BN dan Pas. Sayang jika politik keterlaluan yang hanya segelintir orang dapat manfaat diteruskan dan dijadi agenda utama kerajaan PH.

Tiada cara melainkan kembalikan agenda Islam Melayu di hadapan kerana adalah tidak mustahil majoriti Melayu mahupun bukan Melayu akan menyesal dan mengalih sokongan kerana berasa terancam.

Ini adalah tindakan normal dan lumrah apabila manusia berasa tergugat. Namun sampai bila PH nak membiarkan rasa tergugat itu berterusan. Sudah sampai masanya sesuatu perlu dilakukan supaya PH kekal relevan di mata rakyat.