Tetapi itu tidak bermakna mereka tidak berkuasa mempengaruhi atau dictate siapa juga pemimpin Melayu yang menerajui kepemimpinan negara ini. Mereka adalah golongan minoriti yang kuat, sepakat dan berpengaruh.

Melayu bukan sekadar berbalah dan berpecah atas perbezaan ideologi atau ikutan politik. Mereka juga ibarat buih di lautan dalam bidang ekonomi. Lebih parah kesepakatan mereka juga sama rapuhnya dalam ikutan fahaman mengenai agama Islam yang mereka anuti.

Justeru, jika orang Melayu resah hari ini melihat kekalutan dalam arena politik, mereka juga wajib resah punca kepada lain-lain perpecahan yang gagal menterjemahkan amalan ibadat berjemaah di dalam rumah Allah; merapatkan dan meluruskan saf.

Jelas sekali bagi bangsa Melayu, amalan fardu ain dan fardu kifayah mereka adalah dua amalan yang berbeza dan masih tiada titik persamaan.

KERUNTUHAN INSTITUSI POLITIK

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) begitu banyak yang orang Melayu belajar dari keruntuhan institusi politik mereka. Kehilangan penguasaan institusi politik diterajui Melayu dalam PRU-12 menyaksikan keberanian UMNO menurunkan presidennya.

Pun begitu, tindakan itu gagal mengubah landskap politik orang Melayu. Keyakinan pengundi kepada kepemimpinan diterajui Melayu terus merudum dalam PRU-13. Mesej yang disampaikan pengundi dalam dua PRU itu pun masih gagal menginsaf pemimpin Melayu.

Pertembungan arus politik Melayu semakin merancakkan perpecahan. Sebaliknya, kekuatan institusi politik bukan Melayu menyongsang arus itu, mereka rela menenggelamkan beberapa bahtera politiknya untuk kesemuanya berada dalam satu bahtera.

Akhirnya, dalam PRU-15, orang Melayu yang selama ini mendukung UMNO reda meninggalkannya, malah sebahagian daripada mereka itu berpaling tadah bersekongkol dengan seteru politik UMNO.

UMNO masih lagi sebuah parti yang dikuasai ahli. Kepemimpinannya masih mempedulikan kehendak ahli, sekalipun ahlinya kian berkurangan. Dengan had umur pengundi akan diturunkan ke paras 18 tahun dan mereka akan menjadi pengundi automatik, maka semua parti politik akan berdepan dengan golongan pengundi yang lebih fluid dari segi kecenderungan mereka untuk memilih pemimpin, bukan memilih parti.

Sentimen kepartian kian nipis. Ia akan diganti dengan dua sentimen baharu; sebagai pengundi apa jaminan kepada kepentingan mereka sebagai pengundi, dan kedua, ketokohan calon pemimpin.

GUSAR CALON PM?

PRU-14 sudah melepasi tempoh 400 hari. Rakyat sudah tidak hiraukan parti mana yang memerintah. Bagi mereka baik PH atau BN, sama saja, selagi Perdana Menteri masih lagi orang Melayu.

Siapa kuasai kerajaan dan kementerian, itu soal kedua. Maknanya, bagi pengundi Melayu, siapa yang menyandang jawatan Perdana Menteri itu yang mencuri perhatian mereka.

Percaturan dalam kalangan pemimpin beberapa parti politik nampaknya sudah tidak kisah mengenai prestasi PH. Kebisingan keluhan rakyat mengenai tekanan ekonomi yang semakin terasa bahangnya semacam suatu kebisingan jalanan saja nampaknya.

Hiruk-pikuk dan teka-teki calon pengganti Perdana Menteri dan penyatuan parti lebih membingitkan. Inilah polemik politik semasa. Saban hari begitu banyak teka-teki yang bertukar tangan dalam kalangan rakyat jelata, meneka apakah kemungkinan perubahan pucuk kepemimpinan yang akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Pada hemat saya, orang Melayu usahlah terlalu gusar hal calon Perdana Menteri ini. Apa pun terjadi, pastinya Perdana Menteri masih dari kalangan pemimpin Melayu. Jika pun bukan-Melayu terus mendesak, habis kuat hanyalah sekadar untuk punyai seorang wakil sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Itu pun apa yang orang Melayu nak bimbangkan sangat, ia hanyalah satu jawatan ad hoc saja. Malah, Perdana Menteri boleh atau berhak lantik lebih dari satu Timbalan Perdana Menteri, jika beliau ingin puaskan hati semua pihak termasuk pengundi di Sabah dan Sarawak. Yang mustahak untuk orang Melayu semua faham ialah kuasa dan proses pemilihan Perdana Menteri dalam kalangan Wakil Rakyat Melayu di Parlimen.

Yang sepatutnya semua orang Melayu wajib desak ialah untuk Wakil Rakyat Melayu di Parlimen dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, menggunakan kebijaksanaan mereka mencaturkan sesuatu untuk Parlimen memilih individu yang berakhlak mulia, hebat, bermaruah dan berkat dalam kalangan Ahli Parlimen Melayu, untuk dipersembahkan kepada Istana Negara.

Mereka ini untuk dijadikan Perdana Menteri, tanpa mengira dari parti mana individu itu. Parti tidak lagi penting tetapi individu itu yang penting. Semua orang wajib faham peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam proses pemilihan Perdana Menteri.

HENTIKAN POLEMIK

Kita sudah lama terikat dengan norma proses pemilihan Perdana Menteri mengikut parti politik dukungan pemimpin parti, hanya kerana kita sebagai pengundi mengikut kehendak mereka. Majoriti pengundi sudah lama mengetepikan parti dan memilih pemimpin yang dikehendaki.

Sebagai pengundi mereka hendakkan para Wakil Rakyat mereka memilih siapa ‘si kancil’ dalam kalangan mereka yang berakhlak mulia, hebat, bermaruah dan berkat itu, yang layak diangkat Perdana Menteri. Soalnya, bila lagi para Wakil Rakyat Melayu akan turut berislah mengikut jejak langkah pengundi, memilih ‘si kancil’, bukan parti untuk dijadikan Perdana Menteri.

Angin perubahan kepada proses pemilihan ini sama ada kita sedari atau tidak, sudah pun terjadi. Tun Dr. Mahathir bukan dari parti yang mempunyai bilangan wakil Wakil Rakyat terbesar di Parlimen tetapi beliau adalah ‘si kancil’ yang dipilih PH dan diperkenankan oleh Istana Negara untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Kita boleh takrifkan insiden itu sebagai satu ‘proses baharu’ atau ‘lembaran baharu’ bagi pemilihan Perdana Menteri. Itu maknanya angin perubahan pemilihan Perdana Menteri oleh Parlimen dan diperkenankan oleh Istana Negara ada persamaan dengan angin perubahan pemilihan Wakil Rakyat oleh pengundi. Parti tidak lagi menjadi keutamaan.

Jika pengundi pun sudah tidak lagi party-centric, masakan Wakil Rakyat masih perlu kekal party-centric. Yang pastinya, kefahaman Agong mengenai angin perubahan ini juga sama seperti rakyat. Baginda tahu apa yang rakyat mahukan dan rakyat juga tahu Baginda bijaksana dalam memilih wazirnya, iaitu Perdana Menteri.

Mulai saat ini eloklah orang Melayu hentikan teka-teki dan polemik itu. Lebih bermanfaat bagi orang Melayu membuat bising kepada kerajaan agar jentera pentadbirannya dengari keluhan mereka yang kian tertekan dek kegawatan ekonomi.

Prof Jomo Sundram dah banyak kali bersuara mengenai gelora ekonomi yang semakin hampir membadai. Ia bukan cakap-cakap kosong atau hujah akademik semata-mata. Ia adalah satu realiti.

Dah semakin banyak pemain industri dikalangan orang Melayu yang sudah gulung tikar sejak beberapa bulan lepas. Ribuan orang Melayu hilang pekerjaan. Ini bukan satu teka-teki atau polemik.

Sayugia kita semua maklum, dek gelora kepemimpinan mencaturkan parti mana layak mentadbir dan siapa selayaknya menjadi Perdana Menteri yang berlarutan lebih 10 tahun, daya-saing negara kita, sekalipun dalam kalangan negara-negara ASEAN, sudah jauh tercicir di belakang.

Usah dibandingkan dengan Singapura, berbanding dengan Vietnam dan Filipina pun dalam indeks kemajuan ekonomi dan kemakmuran serantau, kita sudah tercicir.

Kami semua idamkan kehidupan yang makmur. Kami semua idamkan negara ini kembali ke landasan yang mampu mengejar kemajuan dan kemakmuran setanding dengan apa yang dicapai oleh Korea Selatan atau Taiwan, malah China.

Orang Melayu wajib tahu apa keutamaan mereka buat masa ini, politik atau periuk nasi.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).