Kelebihan ini jugalah membuatkan sebilangan mereka yang memegang kuasa berasa gusar dan menghelahkan bermacam alasan untuk menyekat hak-hak bersuara menerusi pelbagai cara. Walau sudah lama menelusuri zaman teknologi, kita masih dapat melihat kebebasan ini dikekang oleh kepimpinan yang lazimnya dikaitkan dengan otoritarianisme, seperti di China dan Rusia.

Rakyat Malaysia juga pernah lama merasai erti kekangan yang dimaksudkan. Saki-baki undang-undang kolonial bersifat draconian, seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sering kali diguna pakai untuk menghalalkan penahanan tanpa bicara dan penggantungan lesen akhbar.

Impaknya berlanjutan sehinggakan masih ramai yang kurang selesa ataupun takut untuk bersuara biarpun setelah tertewasnya kepimpinan Barisan Nasional pada PRK-14 yang lalu. Perasaan sebegini seharusnya dilupakan dalam usaha kita menganjak ke arah pemikiran Malaysia yang lebih matang.

Namun, penulis fahami bahawa anjakan pemikiran ini tidak mudah untuk disemai sementelah begitu lama dimomokkan oleh medan-medan ilmu yang tertutup. Biarpun budaya bertukar pandangan secara terbuka itu lazim dalam kalangan para aktivis, peguam ataupun masyarakat di bandar-bandar besar, ini bukanlah satu norma di institusi-institusi ilmu yang majoritinya di bawah kawalan jentera-jentera kerajaan.

ERTI KEBEBASAN BERSUARA

Masyarakat moden Malaysia perlu dididik bahawa kebebasan bersuara itu bukanlah sesuatu yang semberono tetapi sebagai satu proses yang membolehkan nilai-nilai mesej yang dibawa itu dinilai semula – lebih-lebih lagi apabila mesej tersebut diertikan sebagai pandangan ilmiah berkenaan isu-isu semasa.

Penulis terpanggil untuk mengulas isu ini apabila timbulnya kontroversi melibatkan ratifikasi instrumen undang-undang jenayah antarabangsa, ataupun lebih dikenali sebagai Statut Rom. Maklum diketahui bahawa Statut Rom ini bertujuan untuk memastikan tiada ketua negara (yakni Perdana Menteri dalam konteks Perlembagaan Malaysia) kebal daripada jenayah genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah terhadap pencerobohan.

Setakat ini, dua pertiga daripada negara-negara di dunia telah meratifikasikan Statut Rom, termasuklah negara-negara yang mempunyai sistem Raja Berperlembagaan seperti Belgium, Jepun dan United Kingdom.

Baru-baru ini, kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menarik balik keputusan awal kerajaan untuk meratifikasikan Statut Rom apabila dikatakan mendapat tentangan bersifat politik daripada, antara lain, golongan kerabat diraja. Hangat diperkatakan bahawa empat ahli akademik dari tiga fakulti undang-undang tempatan telah memberi pemahaman yang tidak tepat berkenaan kesan-kesan meratifasikan Statut Rom menerusi kertas kerja mereka kepada Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang telah tersebar di media sosial.

Walaupun penarikan balik ratifikasi Status Rom ini tidak dikaitkan secara langsung dengan kertas kerja tersebut, pangkalnya hujah-hujah yang dihurai kepada Agong telah dipertikai oleh ramai yang arif, seperti Profesor Shad Saleem Faruqi, seorang pakar undang-undang Perlembagaan Malaysia tersohor, Tommy Thomas, Peguam Negara, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar serta Lim Wei Jiet, seorang pengamal undang-undang perlembagaan dan Setiausaha-Agung Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia.

TIDAK JUJUR

Analisis kertas kerja ini disebut sebagai “pemikiran intelektual yang tidak jujur”, “analisis cebisan dan tidak menyeluruh”, “menyamakan sistem Raja Berperlembagaan Malaysia dengan sistem beraja mutlak” serta menimbulkan kecelaruan masyarakat berkenaan peranan dan status undang-undang Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Penulis sendiri berasakan bahawa hujahan-hujahan yang dibawa kertas kerja tersebut perlu diulas dengan lebih lanjut oleh keempat-empat ahli akademik yang berkenaan.

Jika benar kertas kerja tersebut berjaya mempengaruhi pemikiran Agong dan dalam kalangan keluarga beraja yang lain, masyarakat umum berhak untuk mengetahui asas-asas hujahan tersebut. Dan untuk bertanyakan sebarang keraguan secara langsung – lebih-lebih lagi apabila isi kandungan kertas kerja tersebut sudah diangkat sebagai panduan sebahagian gerakan politik nasional.

Kita dapat lihat bahawa perarakan himpunan anti-Statut Rom (yang melibatkan ribuan orang), sebagai contohnya, telah mengguna pakai insinuasi “mempertahankan institusi beraja”, seolah-olah kedudukan Raja Berperlembagaan itu telah dicemar oleh tindakan pihak kerajaan meratifasikan Statut Rom.

Keputusan keempat-empat ahli akademik untuk tidak memenuhi jemputan forum diskusi di Universiti Malaya baru-baru ini amat mengecewakan. Ini merupakan peluang terbaik untuk bicarai lmiah yang matang mengambil tempat agar masyarakat umum dapat kemudiannya menilai dari ulasan baik buruk meratifasikan Statut Rom.

Inilah proses penilaian mesej dalam prinsip kebebasan bersuara seperti yang didukung oleh negara-negara maju dan golongan berilmu, seperti yang sering diteladankan oleh Prof. Shad Saleem. Golongan ilmuwan seharusnya menjadi pendukung wacana dalam mendidik mereka yang kurang arif dalam penelitian sesuatu perkara, dan bukannya dengan bersikap berdiam diri lantas membolehkan kekeliruan yang sedia ada berganda.

PERBANDINGAN DUA BUDAYA

Dalam konteks ini, penulis suka untuk membandingkan pengalaman peribadi penulis ketika menelaah undang-undang di Amerika Syarikat.

Di sana, penulis dapat merasakan secara terus keseimbangan hakini apabila Profesor Amy Wax, seorang pakar tersohor undang-undang dan polisi kebajikan sosial, mengaitkan kejatuhan moral, kenaikan kadar jenayah dan kemerosotan kualiti pendidikan di Amerika Syarikat dengan kelunturan budaya borgeouis yang didukung oleh golongan berkulit putih sekitar tahun 40-an hingga 60-an.

Menurut Prof. Wax, kelunturan itu merupakan akibat asimilasi bermacam jenis budaya yang tidak semestinya sama hebat atau serasi dengan masyarakat berkulit putih sebuah negara maju seperti di Amerika Syarikat. Beliau berpendapat bahawa budaya “Anglo-Protestan adalah jauh lebih mulia” dan merupakan sebab utama penghijrahan (oleh golongan minoriti) ke “negara-negara yang dipimpin oleh golongan Eropah berkulit putih”.

Pandangan Prof. Wax ini ditentang hebat oleh ahli-ahli ilmuwan dari seluruh pelosok Amerika Syarikat dan perbincangan turut dibuat menerusi surat terbuka, forum awam, bicara bual di radio, televisyen dan juga di media sosial.

Akan tetapi, Prof. Wax tidak pernah menolak pelawaan untuk membincangkan pendirian beliau – dan perdebatan hangat sekitar pandangan ini telah menghalusi semula pemikiran generasi baharu di Amerika Syarikat tentang pengertian rasism, sejarah ketidakseimbangan pendapatan dan penstrukturan semula polisi sosio-ekonomi.

Perbincangan secara terbuka ini bukan sahaja telah memberi ruang kepada masyarakat untuk melihat dua sisi pandangan yang berbeza, tetapi membolehkan mereka untuk menilai dan membuat penilaian secara menyeluruh erti sebenar identiti dan gaya hidup sebagai seorang rakyat Amerika Syarikat.

Beginilah pendekatan yang seharusnya didekati oleh golongan ilmuwan di Malaysia dalam menyemai pemikiran matang masyarakat setempat, lebih-lebih lagi dengan adanya usaha-usaha untuk menghidupkan semula budaya bicara yang lebih terbuka baik di medan ilmu atau di pentas awam.

Biarpun rakyat Malaysia sudah semakin celik dengan maklumat-maklumat yang ada di hujung jari, peranan yang dimainkan mereka yang berilmu itu juga secara tidak langsung menjadi semakin penting agar tidak ada di antara kita yang mudah dikaburi oleh penilaian yang palsu dan kurang tepat daripada kebebasan yang sedia dinikmati ini.

PENULIS berkelayakan sebagai seorang Peguambela & Peguamcara dan merupakan sarjana Fulbright ke Amerika Syarikat.