Saya sebut ‘agak-agaknya’ sebab kalau diamati, peribahasa tidak lagi dijadikan amalan untuk diselitkan semasa berinteraksi sesama kita.

Apa lagi di laman-laman sosial. Sebahagian besarnya pakai tujah, terjah sahaja. Keindahan bahasa dan pekerti yang baik dalam berkomunikasi lenyap sudah.

Maksud peribahasa tadi lebih kurang begini - Hendaklah mengikut aturan dan adat yang

RAJA Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn
RAJA Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn 

diamalkan di tempat yang kita berada. Cara kehidupan perlu disesuaikan dengan tempat dan keadaan.

Beberapa peribahasa seerti antaranya, di mana ranting dipatah, di situ air disauk, masuk di dalam kawanan gajah berdering atau masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Kalau peribahasa Inggerisnya - When in Rome, do as the Romans do.

Menghairankan saya, mereka yang lakukan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial bukannya baru habis sekolah pun. Sudah besar panjang dan pastinya telah melewati pembelajaran subjek Sejarah semasa di sekolah.

Eric Liew Chee Ling, Nur Alia Astaman dan beberapa lagi yang ‘tangannya gatal’ atau kata rakan seperjuangan saya, Ku Seman Ku Hussain, ‘macam kera dapat bunga’ ini bekerja di tempat-tempat yang dikelilingi orang yang baik-baik dan cerdik belaka - syarikat Cisco ASEAN, TNB atau berurusan dengan pembeli kereta mewah seperti Honda. Tapi mengapa, lagak dan fiil begitu sekali?

Bukan sahaja Yang di-Pertuan Agong ‘dibahannya’, anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut dipalitkan oleh mereka yang saya fikir sakit mental agaknya. Ya lah, berperilaku sedemikian, ada yang ahli majlis daerah, tapi perangai masya-Allah.

Dalam bab ini, saya kena pujilah juga respons pihak-pihak swasta ini yang bertindak pantas dan tampak patriotik berbanding sebuah parti politik itu yang tiba-tiba membantah pula tangkapan dua tiga individu yang  menghina Agong kita. Bukan waktu ini anda harus berlagak hero ya.

Sebenarnya peribahasa, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung tidak sesuai untuk saya ibaratkan pada si pelaku-pelaku menghina Agong ini sebab mereka ini warganegara Malaysia.

Lebih sesuai bidalan ini ditujukan kepada orang asing. Namun kerana celuparnya mereka di alam siber, elok juga mereka ini dikategorikan sebagai ‘warga asing’ yang hakikatnya warga asing sebenar pun tidak sebusuk hati pelaku-pelaku ini.

Pelaku-pelaku hina Agong ini sebenarnya bernasib baik kerana kesalahan itu tidak dilakukan di negara tetangga kita, Thailand. Di sana penghina raja dan kerabatnya ada yang dipenjarakan hingga 30 tahun. Undang-undang ketat Lese-majeste yang dipraktikkan itu berdasarkan Kanun Jenayah yang melarang perbuatan menghina atau mengancam raja, permaisuri, bakal raja atau pemangku raja.

Mahkamah Thailand juga pernah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun setengah ke atas seorang wanita buta kerana menghina anggota diraja negara.

Eh! Si buta pun kena? Nurhayati Masoh, 23, didapati bersalah selepas berkongsi artikel yang menghina anggota diraja Thai di akaun Facebooknya. Artikel itu bukannya Nurhayati empunya. Tetapi ditulis oleh Giles Ungpakorn, seorang ahli akademik keturunan Thai-Britain dan penentang keras keluarga diraja Thai yang melarikan diri dari Thailand selepas dituduh di bawah undang-undang Lese-majeste pada 2009. Nurhayati dikatakan menggunakan aplikasi komputer yang membantu golongan buta memuat naik catatan di media sosial.

Hai macam-macam hal dunia. Undang-undang tetap undang-undang. Malah, sejak kemangkatan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016, pihak berkuasa telah menutup beratus-ratus laman web yang menghina atau mengkritik kerabat diraja.

Di negara ini, tidak kiralah orang Melayu, Cina, India dan semua etnik, realitinya kerajaan Malaysia masih memiliki toleransi dan tolak ansur yang tinggi terhadap rakyatnya.

Contoh paling tepat, kontrak sosial dengan jus soli nya lahir daripada hasil toleransi.

Tanpa kontrak sosial, mungkin negara ini gagal mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana penjajah British ketika itu menjadikan pemuafakatan kaum sebagai prasyarat untuk membolehkan Malaya diiktiraf sebagai negara merdeka.

Kontrak ini harus difahami berkisar Perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara.

Jangan sesekali mempertikaikan kontrak sosial dengan membuat andaian negatif kononnya ia hanya untuk kepentingan Melayu dan tidak adil kepada kaum lain.

Semoga syak wasangka ini tidak bersarang di laman-laman sosial Facebook, Instagram dan aplikasi WhatsApp sekali gus menyebabkan anda terperuk dalam sel besi sehingga terpaksa berpisah sementara meninggalkan insan-insan tersayang.