Berstatus tapak Rizab Biospera, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pertama dalam Malaysia tidak menjanjikan Tasik Chini kebal daripada tangan-tangan yang rakus memunggah hasil bumi sekitarnya.

Rasanya, isu mendapan tanah dan air yang kian tohor akibat perlombongan bauksit dan pembalakan yang berleluasa sekitarnya belum pun selesai, kini dengar-dengar sudah ada isu lain pula.

Baru-baru ini, ada terdengar aktiviti melombong bijih mangan yang merupakan bahan penting dalam campuran yang digunakan industri pembuatan logam tahan karat sedang rancak dilakukan sekitar tasik tersebut, betulkah?

Ada dua syarikat katanya dimiliki dua warganegara China didakwa mengeksport bijih mangan yang diperoleh sekitar Tasik Chini menggunakan permit (AP) dari negeri lain, bukannya Pahang.

Untuk Januari lalu, sekitar 29,146 tan metrik (mt) bijih tersebut telah dieksport menerusi pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kedua-dua syarikat yang mengusahakan perlombongan bijih mangan itu juga didakwa tidak memiliki sebarang lesen melombong namun lengkap segala alatan memproses dan didapati telah beroperasi selama dua tahun tanpa sebarang tindakan.

Jika benar, pastinya aktiviti melombong bijih menggunakan AP daripada negeri lain itu bukan sahaja merugikan negeri Pahang, malah dikhuatiri turut merosakkan kawasan sekitar Tasik Chini juga.

Tasik Chini yang kaya warisan alam semula jadi memiliki sekitar 87 spesies ikan air tawar, 304 spesies haiwan dan 189 spesies burung di samping merupakan nadi kehidupan masyarakat asli dari suku kaum Jakun.

Di situlah punca rezeki mereka, tasik yang dahulunya jernih kini kian keruh dan berbau, hidupan akuatik seperti ikan juga kian berkurang, hal itu dilihat boleh menjejaskan nilai estetika tasik tersebut.

Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merekodkan aktiviti pembangunan untuk sektor pertanian dan ekopelancongan sekitar tasik yang tidak mesra alam telah membawa kesan negatif terhadap fungsi dan kepelbagaian ekologinya.

Masalah kekurangan air tasik yang semakin kritikal terutamanya ketika musim kemarau ditambah mendapan serta peningkatan tumbuhan liar di luar kawalan menjadikan masalah yang dihadapi kian meruncing.

Di dunia hanya ada 669 tapak rizab biospera UNESCO dalam 120 buah negara, Tasik Chini di Malaysia merupakan salah satu daripadanya.

Kawasan tanah bencah air tawar yang dikelilingi hutan hujan tropika tanah pamah seluas 69.22 kilometer persegi itu merupakan kawasan tadahan air semula jadi.

Rasanya sudah berbuih mulut badan bukan kerajaan (NGO) dan saintis berbicara tentang kepentingan mengekalkan kawasan hutan di sekitarnya sebagai penstabil ekosistem alam,.

Ia umpama ‘bank’ kepada pelbagai genetik asas flora dan fauna, tapak pemeliharaan kepelbagaian biodiversiti serta kawasan tadahan air, namun kelihatannya seperti tiada siapa yang peduli.

Kalau tidak kasihankan Naga Seri Gumum yang dikatakan telah menghuni tasik itu sejak sekian lama, kasiha­nilah masyarakat yang tinggal dan bergantung harap kepada kawasan tadahan air semula jadi itu sebagai sumber rezeki mereka.