Berdasarkan pilihan raya yang lalu, peratusan keluar mengundi sangat memberangsangkan dengan melebihi 85 peratus pengundi daripada jumlah keseluruhan yang layak mengundi seramai 13.3 juta orang. Peratusan ini adalah yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Pencapaian ini sangat membanggakan kerana seiring dengan pembangunan negara, kesedaran politik yang tinggi telah memberi satu penanda aras positif terhadap amalan demokrasi di negara ini. Justeru, apa yang bakal kita tempuhi pada 9 Mei nanti merupakan satu lagi lanjutan proses penting demokrasi yang sentiasa menjadi amalan kerajaan Malaysia setiap lima tahun sekali.

Apa yang menarik untuk kita nilai adalah bagaimanakah sambutan pengundi kali ini terhadap Pilihan Raya Umum ke-14? Melihat kepada jumlah pengundi yang semakin meningkat, iaitu seramai 14,968,304 orang, maka kita menjangkakan lebih ramai akan keluar mengundi dan menentukan pemerintahan negara ini. Legitimasi dan kedaulatan pemerintahan akan lebih kuat dan kukuh sekiranya jumlah yang keluar mengundi adalah tinggi.

Tidak dapat dinafikan, peranan pemerintah dalam mendidik masyarakat bagi memainkan peranan dalam proses demokrasi merupakan satu proses pendidikan politik yang penting. Ia mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai pemikiran politik matang dan menghargai amalan demokrasi dianjurkan pemerintah.

Namun, seperti apa yang berlaku pada pilihan raya yang lalu, media baru atau informasi melalui teknologi maklumat telah memainkan peranan dalam mempengaruhi persepsi pengundi dan seterusnya menjadi cabaran pendidikan politik yang menjurus kepada pemikiran yang lebih berobjektif.

Peperangan persepsi di alam maya telah menjadi satu strategi utama bagi setiap parti politik dan ia menjadi lebih hangat pada pilihan raya kali ini. Ia bakal menjadi salah satu penggalak utama kepada pengundi untuk keluar mengundi dan menentukan calon pilihan.

Selain itu, corak dan pola pengundian di negara ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh sentimen komunal dan perkauman yang menunjukkan komposisi kaum di Malaysia. Hakikat ini perlu dihadapi oleh semua pihak walaupun ia memberikan gambaran negatif terhadap usaha perpaduan kaum.

Ini kerana ia memberikan pengaruh yang besar bagi setiap kumpulan etnik dari segi kesedaran politik dan seterusnya kadar keluar mengundi sehinggalah parti mana yang diundi. Maka tidak hairanlah ketika setiap parti politik sibuk mengenal pasti calon bagi setiap kawasan yang bakal ditandingi, faktor majoriti kaum setempat menjadi salah satu kriteria utama khususnya di bandar-bandar utama.

Namun begitu, pemikiran pengundi baru dan golongan muda juga sukar diramal. Walaupun seringkali dimomokkan sebagai mereka sering cenderung kepada parti pembangkang namun apa yang berlaku di akar umbi adalah sebaliknya.

Sebagai contoh, kajian yang dilakukan oleh Sarjit Singh Gill dan rakan-rakan dari UPM pada tahun 2012 sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu telah menunjukkan bagaimana kelompok minoriti golongan muda daripada komuniti Portugis, Baba Nyonya dan Chetti di Melaka memberikan sokongan kepada Barisan Nasional atas komitmen penyatuan kaum dan pembangunan yang dijalankan.

Pendedahan

Ini menjadi satu bukti bagaimana pendidikan politik tidak boleh dilihat dari satu sudut sempit sahaja iaitu terlalu tertumpu kepada politik kepartian. Tetapi juga ia harus dilihat dari perspektif yang lebih luas mencakupi pelaksanaan dasar-dasar pemerintah, keselamatan dan pertahanan serta kemakmuran ekonomi politik. Demokrasi itu sendiri meletakkan rakyat sebagai pusat dan punca utama kuasa.

Sekiranya rakyat tidak mampu membuat penilaian dengan baik maka ia memberi risiko besar terhadap pelebaran parameter demokrasi di negara ini. Penyertaan dalam demokrasi juga tidak terhad hanya dengan menjadi pengundi dalam pilihan raya yang berlangsung setiap lima tahun tetapi diteruskan sepanjang masa.

Seringkali kita mendengar kritikan dan keluhan tentang kelemahan pemerintah namun penyertaan masyarakat dalam memberikan cadangan dan turut sama menjayakan dasar-dasar dan program pemerintah perlu lebih meluas lagi.

Penyertaan masyarakat sama ada dalam bentuk membantu pelaksanaan dasar pemerintah dan juga peranan semak dan imbang merupakan proses kesedaran politik yang berterusan. Rakyat perlu diberikan pendedahan bahawa politik bukan sekadar pilihan raya dan parti-parti politik tetapi lebih luas lagi terutama dari segi tanggungjawab membangunkan ekonomi mahupun sosial.

Walau bagaimanapun, tumpuan ramai yang diberikan terhadap pilihan raya kali ini merupakan satu refleksi terhadap isu-isu semasa yang berlaku di negara ini dan juga keinginan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kali ini bakal berlangsung pada hari Rabu dan ia terus menjadi satu isu besar khususnya dalam kalangan parti pembangkang. Namun, komitmen parti pemerintah iaitu BN untuk memastikan rakyat berpeluang menunaikan hak masing-masing dapat dilihat dengan jelas apabila dengan segera mengumumkan cuti umum pada hari tersebut.

Selain itu, perjalanan dan pelaksanaan pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR telah melalui beberapa proses penambahbaikan khususnya yang memberikan kemudahan kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Tempat mengundi dan proses pengundian yang selesa dan cepat memberi motivasi kepada para pengundi untuk keluar mengundi.

Sekuat dan sepanas mana pun persaingan antara parti politik yang bakal bertanding pada 9 Mei ini, harus diingat bahawa kematangan kita dalam berpolitik perlu diterjemahkan dengan memastikan keharmonian masyarakat yang dinikmati selama ini tidak tergugat.

Pendidikan politik yang tidak formal sepanjang tempoh berkempen perlu diambil peluang oleh masyarakat khususnya golongan muda untuk terus memastikan kuasa rakyat dapat diteruskan seperti jaminan yang diberikan oleh pemerintah semenjak merdeka.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Pahang.